Dalam perubahan: Membaca tanda dan mengubah fungsi: membawa seni cetak ke daerah asalnya.

Oleh Safrizal Shahir



Seni seperti juga mana-mana objek atau tradisi budaya, berkembang mengikut peredaran masa. Tidak pula bermaksud seni ditentukan oleh faktor masa sebagaimana “masa” yang biasa difahami, sebaliknya masa mempunyai banyak ramuan atau kapasiti dalam memberi wajah dan makna kepada sesebuah objek atau tradisi budaya. Di dalam masa tertentu terdapat idea, emosi dan bentuk tertentu. Keadaan itu pula berkembang secara organik, walaupun ada pihak yang menyatakan faktor idea dan bentuk boleh di paksakan dalam sesebuah dimensi, tetapi kita umumnya boleh bersetujui bahawa seni yang baik dan bermakna adalah cetusan idea dan rasa dari nurani manusia yang peka dengan ruang sekeliling hidupnya tanpa syarat.


Jika kita bersetuju bahawa seni tidak boleh dibekukan dalam ruang masa tertentu dengan gaya dan bentuk tertentu untuk sentiasa diterima sebagaimana idea asalnya, maka kita semakin hampir untuk memahami sifat seni yang berubah-ubah. Apa yang dimaksudkan sebagai berubah-ubah di sini bukanlah hanya dalam aspek gaya penyampaian sesebuah bentuk seni itu, tetapi ia meliputi cara dan corak ia difahami dan diterima oleh masyarakat seluruhnya. Kesan imej yang terdapat didinding Gua Tambun di Ipoh, Perak dikatakan telah berusia sekitar 3,000 tahun. Apa yang kita fahami kini dengan melihat imej-imej yang terdapat didinding Gua Tambun adalah ikan, dugong (seperti) atau mergastua yang dilukis atau kesan tapak tangan yang dilekapkan didinding gua tersebut. Tetapi kira-kira 3,000 tahun dahulu imej tersebut berkemungkinan bukan sebuah “lukisan” atau “cetakan” seperti apa yang kita fahami pada hari ini. Teknik penciptaan dan bahan yang digunakan bagi penciptaan imej di Gua Tambun itu mungkin dapat diketahui kini namun idea, falsafah dan fungsi imej-imej yang dicipta itu hampir pasti akan kekal sebagai satu misteri yang tidak dapat huraikan sampai bila-bila. Dari contoh imej-imej gua Tambun itu, ia mengesahkan premis awal yang dikatakan tadi bahawa seni berubah mengikut peredaran masa. Kita tidak boleh menarik ruang masa beserta dengan idea-ideanya sekali untuk mengesahkan apa yang dibuat pada hari ini adalah sama dengan apa yang dibuat pada 3,000 tahun dahulu. Kembali menggunakan contoh dikawasan gua Tambun adalah kesan-kesan contengan grafiti di sekitar dinding gua tersebut kini, yang berkemungkinan dilakukan oleh sekumpulan anak-anak muda dalam sekitar masa empat atau lima tahun lepas. Dari segi ideanya, contengan grafiti itu berkemungkinan adalah sebuah seni pada sebahagian manusia pada hari ini, namun pada sebahagian manusia yang lain ia adalah satu perbuatan laku musnah (vandalisme). Dari perspektif lain pula, walaupun pelaku grafiti itu ingin mencipta imej atau tanda visual sebagaimana yang telah dilakukan oleh manusia yang mencipta lukisan asal di gua Tambun itu, pada hakikatnya imej atau tanda visual bercorak grafiti itu amat jauh berbeza Sekurang-kurangnya perbezaan itu terletak kepada sebab dan fungsi sesebuah imej atau tanda itu dicipta.


Bagi penyelidik visual, imej atau tanda akan dikaji untuk mencari atau menghurai pelbagai sebab kepada kewujudan imej atau tanda tersebut. Tetapi hakikatnya, dengan menoleh kebelakang melalui teropong sejarah seni visual, imej atau tanda visual yang dicipta oleh manusia sepanjang sejarah peradaban adalah sebenarnya hampir serupa dari sudut gesaan penciptaan dan kesan kejadian imej itu sendiri. Tetapi paradoksnya imej atau tanda visual yang dicipta hampir serupa itu tidak hanya berakhir sebagai imej atau tanda semata-mata. Imej atau tanda visual (kesan cetak) pada asalnya juga telah dijadikan atau difahami sebagai isyarat oleh manusia. Ia “dibaca” dan ditafsirkan oleh manusia berkaitan dengan sesuatu. Dikatakan bahawa tanda atau bahan grafik pertama yang menjadi perhatian dalam sejarah ketamadunan manusia adalah kesan tapak kaki binatang buas. Tapak kaki binatang buas diatas tanah telah dijadikan pedoman bagi manusia dalam menentukan kelangsungan hidupnya. Kesan tanda grafik tapak kaki tersebut samada boleh “dibaca” sebagai sebuah ancaman atau sebagai sebuah peluang. Untuk sekian lamanya manusia telah bermain atau berurusan dengan tanda-tanda grafik ini.


Pada peringkat seterusnya manusia telah mencipta tanda-tanda yang lebih “abstrak” iaitu merujuk kepada bunyi-bunyian yang divisualkan. Bunyi-bunyian verbal itu pada asalnya adalah asas kepada sistem bahasa yang wujud bagi setiap komuniti atau bangsa. Bunyi-bunyian yang divisualkan itu kemudiannya berkembang menjadi satu sistem bahasa yang kukuh bagi sesebuah komuniti beserta dengan cara atau kaedah ekspresinya. Sistem bahasa ini kemudiannya berkembang pesat sehingga terdapat keperluan untuk merekod bentuk visual bahasa tersebut secara lebih luas dan banyak. Di sini muncullah idea oleh manusia untuk mencari atau mencipta peranti cetakan yang menjadi sarana bagi tujuan penyebaran bahan-bahan visual tersebut. Peranti cetakan bukan hanya menjadi alat penyalin atau perekod bahasa semata-mata tetapi ia telah menjadi alat penyebaran visual secara lebih meluas. Peranti cetakan telah menjadi teknologi yang memperkukuhkan fungsi dan sistem bahasa pada zaman awalnya. Disini kita bukan bercakap mengenai teknologi mesin cetakan Offset yang zahir pada abad ke 19 sewaktu revolusi industri itu, tetapi kita bercakap mengenai teknologi cetakan kayu yang dikatakan telah wujud di negara China sejak kira-kira 200 tahun sebelum masihi. Buku-buku yang berkaitan dengan bahasa dan agama tertentu yang pada asalnya telah dihasilkan melalui tulisan tangan telah cuba disalin secara besar-besaran dengan menggunakan teknologi cetakan kayu. Usaha ini telah memberi kesan besar kepada aspek pendidikan khususnya yang berkaitan dengan penyebaran bahasa dan agama tertentu. Maka dalam hal ini imej dan tanda visual telah diberi maknanya dalam konteks-konteks tertentu. Kembali mengambil contoh imej dan tanda dari Gua Tambun di Ipoh, Perak. Imej yang terdapat di gua tersebut telah dihasilkan sejak beribu tahun dahulu dan ia pula telah dicipta dalam “bacaan” tertentu. Ia mungkin berbentuk sebuah ekspresi atau sebuah pemujaan dan mungkin juga satu proses komunikasi. Tetapi dari apa yang telah kita dapat soroti sebelum ini, imej atau tanda visual bukanlah sepenuhnya menzahirkan apa yang terzahir secara tidak sengaja atau dizahirkan dengan sengaja oleh pemerhatinya. Manusia sering ingin membaca atau menafsirkan imej atau tanda visual sebagai “sesuatu” yang lain dan bukan sepenuhnya berkaitan imej atau tanda visual yang “asal”. Bacaan manusia terhadap sesebuah imej atau tanda visual itu pula adalah rencam, ditambah lagi jika ia ditafsirkan dalam jarak masa yang amat jauh berbeza. Adakalanya bacaan dan tafsiran yang dilontarkan adalah amat jauh tersasar dari apa yang dicipta dan difahami oleh penciptanya. Soalnya adakah seni perlu ditafsirkan dengan benar dan betul sebagaimana “maksud asal” atau sekurang-kurangnya sama seperti yang mahu diketengahkan oleh penciptanya.


Karya-karya seni yang dipamerkan dalam pameran Go Blok: Wabak - seni cetak kontemporari


Sama seperti apa yang dikatakan sebelum ini iaitu perubahan, cara bagaimana manusia “membaca” seni adalah rencam. Imej atau tanda visual sebenarnya tidak dapat dipasung dalam satu tafsiran atau makna. Kepelbagaian dalam membaca imej dan tanda visual telah sebenarnya membuatkan objek seni senantiasa segar dengan kefahaman dan makna baru. Maka karya-karya yang terpamer dalam pameran Go Blok: Wabak ini sebenarnya telah menjelma dan boleh “dibaca” dalam kerangka imej sebagai tanda yang begitu subjektif. Tanda pula boleh dibaca atau ditafsirkan sebagai apa-apa yang releven untuk anda berdasarkan ruang idea dan pengalaman anda sebagai pemerhati. Namun ketidakupayaan untuk memahami subjek atau proses asal kepada kejadian imej atau tanda itu berkemungkinan boleh mengherotkan bacaan atau tafsiran anda. Sama seperti kes manusia berhadapan dengan kesan tapak kaki binatang buas, jika manusia gagal memahami bahawa kesan atau imej tersebut dihasilkan oleh binatang buas dengan mengatakan bahawa kesan atau imej tersebut terhasil dari kesan alam semulajadi maka kesilapan pemahaman tersebut bukan hanya boleh disifatkan sebagai satu kejahilan tetapi ia berpotensi besar membawa malapetaka yang lain pula.


Tidak seperti imej atau tanda visual yang dihasilkan oleh jurucetak sejak lebih 500 tahun dahulu, imej atau tanda visual yang dihasilkan oleh seniman-senimancetak moden. Secara lahiriah usaha itu mungkin berjaya, tetapi apa yang tidak kurang hebatnya adalah bagaimana sejarah telah memutarkan dirinya kembali dalam memberi keinsafan bahawa apa yang diusahakan ini adalah satu menifestasi kesedaran kepada sifat asal usul seni cetak yang bermula atau dicetuskan dari bahan, proses atau objek yang bukan berkaitan seni cetak. Perubahan adalah lahiriah dan ia membawa kepada dimensi baharu yang sebenarnya membentuk set kefahaman baru, namun perubahan secara implisit sebenarnya membawa makna dan erti kembali kepada asal demi kelangsungan yang mampan secara lahiriah.



*Artikel dipetik dari Katalog pameran - WABAK: Go Block The Expanded Contemporary Printmaking (10-28 November 2020 , G13 Gallery)



44 views0 comments

Recent Posts

See All