top of page

GO BLOCK: 5 Pembuat Seni Cetakan Kontemporari Malaysia

Oleh Dr. Safrizal Shahir



Dari Kiri: Juhari Said, Shahrul Jamili, Izan Tahir, Zulkifli Yusuff, dan Kim Ng



Pameran bertajuk Go Blok yang berlangsung di galeri Petronas, KLCC ini mengetengahkan karya-karya seni cetak yang boleh disifatkan sebagai berbeza, lain dan bertaraf maju. Karya-karya seni cetak tersebut dihasilkan oleh lima orang seniman tempatan iaitu Juhari Said, Izan Tahir, Zulkifli Yusoff, Shahrul Jamili dan Ng Kim Peow (Kim Ng). Kesegaran atau perbezaan jenis dan bentuk seni cetak yang diketengahkan oleh seniman-seniman tersebut amatlah terkehadapan jika kita menggunakan doktrin seni cetak konvensional sebagai kayu ukurnya. Pemerhati tidak lagi dihidangkan dengan kepipihan karya yang dijelaskan melalui soal edisi dan pengesahan cetak yang asli. Keadaan ini dengan jelas melambangkan semangat penerokaan baharu dalam bidang seni cetak, bahkan turut boleh memberi takrifan berlainan kepada konsep dan teknik seni cetak itu sendiri.


Juhari Said sebagai seorang seniman seni cetak tegar tempatan telah hadir dengan sebuah karya seni pemasangan yang bertajuk UNTITLED II (2009). Karya ini dengan sedar telah cuba untuk memberi tafsiran lanjut atau maju kepada idea dan konsep cetak dan cetakan. Persoalan atau isu tentang matrik dan impresi konvensional dalam seni cetak telah dikembangkan melalui tafsiran yang diketengahkan berdasarkan elemen ruang dan masa. Karya beliau telah memanfaatkan aspek cahaya dan bayang sebagai ganti kepada dakwat dan tanah liat sebagai ganti kepada matrik. Hasilnya melalui seni pemasangan tersebut kita telah dihidangkan dengan sebuah karya seni pemasangan yang juga sekaligus sebuah karya seni cetak ‘alternatif’ berdasarkan tafsiran baru kepada idea dan konsep mencetak berdasarkan ruang masa yang berubah-ubah dan juga baharu.


Juhari Said, Untitled II, Tanah, Serbuk Pewarna and lampu Neon , Instalasi, 2009



Tafsiran dan takrifan baharu ini dengan nyata telah meleburkan sifat ‘kebekuan’ seni cetak yang dikatakan terlalu patuh dengan doktrin konvensionalnya. Seni cetak telah menjadi medan eksplorasi yang bersifat eksperimental berdasarkan tafsiran kendiri kepada asas idea atau kata kunci ‘cetak’ dan ‘mencetak’. Apa yang lebih menarik bagi karya-karya yang wujud dalam pameran ini adalah sifat rentas bentuk yang wujud pada karya-karya terbabit, namun pada waktu yang sama mempunyai asas kukuh dari segi tafsiran kepada wawasan, falsafah dan teknik seni cetak itu sendiri.

Contoh ketara boleh diketengahkan melalui karya Izan Tahir bertajuk GOING (2008) yang dengan jelas boleh mengelirukan kita dengan konsep, idea dan teknik seni cetak. Bentuk-bentuk tapak kaki yang terhasil dalam karyanya adalah penzahiran sebuah cetakan yang di manfaatkan melalui serat kertas. Serat kertas yang merupakan asas atau pelantar kepada penerima bahan bercetak pipih bagi seni cetak konvensional telah dimanfaatkan dan ditekan ke tahap timbulan dalam yang melampaui sifat timbulan biasa dalam seni cetak konvensional. Penggunaan kaki sebagai matrik tentunya akan menghasilkan impresi yang berbeza dan pada tahap tertentu membuatkan pemerhati biasa akan tertanya-tanya adakah karya GOING ini sebuah karya seni cetak atau ia sebuah arca. Keadaan yang sama juga berlaku jika seseorang pemerhati melihat karya beliau yang bertajuk WHEN YOU ARE AWAY (2009). Penerokaan kepada aspek timbulan yang terhasil melalui tekanan kepada objek ini dari beberapa sudut telah menginsafkan kita dengan idea ‘cetak’ yang paling asasi sekali.


Izan Tahir, When You Are Away,

Instalasi, Akrilik dan Perspek, 2009


Praktis eksperimentasi ini sesungguhnya adalah sebuah latihan penerokaan yang mencabar dan sekaligus menarik kerana walaupun penerokaan bentuk seni cetak baharu ini terlihat seakan-akan terpesona dengan gerak bentuk seni pemasangan yang biasa dijayakan oleh seniman sezaman, namun asas wawasan dan matlamat ciptaan karya mereka sebenarnya berada dalam landasan ingin mencabar dan meluaskan maksud dan tafsiran kepada konsep dan praktis ‘cetak’ dan ‘cetakan’.


Shahrul Jamili melalui karyanya seperti RETURNING IN KIND (2008) dan FACE VALUE (2008) telah mengingatkan kita tentang sifat cetakan dan cetak yang amat rapat dan berkitar dalam kehidupan kita sehari-hari. Melalui karya RETURNING IN KIND, Shahrul telah menggunakan cap jari manusia sebagai imej utama karya. Cap jari yang ditindan secara berlapis di antara warna hitam dan kelabu tersebut telah juga menyedarkan kita bahawa proses cap jari adalah praktis seni cetak yang sebenarnya telah dipraktikkan oleh hampir semua manusia. Wawasan semantik mungkin tidak berlanjutan dalam karya ini namun sifat mantik cap jari adalah amat signifikan menjelaskan proses dan idea seni cetak itu sendiri. Nada yang sama juga terlihat melalui karya FACE VALUE, apabila dengan mudah kita boleh menyimpulkan bahawa duit syiling sebenarnya adalah hasilan cetakan yang dipergunakan secara meluas dengan tidak memberi perhatian kepada proses pembuatannya yang ‘bercetak’.


Kesedaran kepada proses dan idea cetakan yang diketengahkan ini berupaya membuatkan pemerhati sedar dengan wawasan seni cetak yang sebenarnya serta dapat menghayati persoalan dan idea penerokaan yang dilakukan oleh seniman-seniman terbabit. Bahkan dalam banyak keadaan dengan mengambil contoh-contoh biasa yang terlihat di persekitaran, kita dapat menghayati secara lebih mendalam dan bermakna berkaitan proses cetak dan cetakan secara lebih luas. Dalam banyak keadaan seni cetak sebagai satu bidang ikhtisas atau genre khusus dalam seni halus telah dikekang dengan sifat eksklusiviti demi untuk menjaga keaslian hasil seni cetak itu sendiri. Namun ironinya pula kekangan melalui ciptaan doktrin tersebut telah menyempitkan pula ruang eksplorasi yang lebih luas dalam bidang tersebut. Dalam persoalan kesempitan nada ekspresi seni cetak itu pula telah wujud peluang kepada eksplorasi bertindan demi untuk mencipta kesegaran bentuk tampakan seni cetak. Karya oleh Kim Ng telah menggemakan semula sifat eksplorasi seni cetak secara bercampur-campur yang boleh disifatkan sebagai satu strategi demi untuk mewujudkan ketajaman visual. Melalui karyanya yang bertajuk THE FACE OF THE LAND (2008), gemaan sifat seni cetak campuran gabungan ala Robert Rauschenberg telah bergema dengan tajam dan garing. Namun karya Kim Ng yang bertajuk IN PRESERVING AND CONSERVATION (2008) dilihat lebih bernada eksploratif. Karya ini yang bersifat timbulan cetak telah mewujudkan sifat kedinginan yang menggigit dari aspek visual mahupun teknikalnya. Idea cetakan timbul yang dibuat hasil dari proses cetakan serigrafi keatas plaster, nyata telah memadukan sifat konvensional dan eksploratif yang tajam dan strategik. Keputihan plaster itu sendiri telah memberikan nilai minimalis yang hening dan memukau.



Zulkifli Yusoff, MERDEKA 57 (perincian) , 2009,

Media campuran, 914 × 244 × 244 cm,

Koleksi Balai Seni Lukis Negara


Sementera itu Zulkifli Yusoff pula telah tampil dengan karya pemasangan yang bertajuk MERDEKA 57 (2009) . Karya ini boleh disifatkan sebagai penting bukan hanya bagi pameran ini bahkan dalam konteks praktis seni sezaman Malaysia, kerana karya ini telah mengembleng dengan ‘gagah’ aspek bentuk, konteks dan teknik dalam proses ciptaan seni halus. Dalam karyanya ini Zulkifli Yusoff telah melaraskan ciptaan beliau kepada usaha untuk membina sebuah konstruksi seni pemasangan yang dengan jelas juga memanfaatkan gabungan dan proses silangan teknik dan proses seni cetakan. Nyata juga bahawa teknik serigrafi telah mendominasi keseluruhan proses cetakan bagi imej yang terhasil tersebut. Gabungan aspek tiga dimensi yang disusun atur berupa biji getah telah menjelmakan satu sifat keterujaan bentuk berkonteks yang mempersonakan bagi sesebuah karya dalam landasan yang disebutkan tadi. Kekuatan teknik dan proses yang wujud dalam karya ini juga telah memberi dampak yang amat mewah dan kental dari segi visualnya. Tahap ketajaman yang paling ketara pula tentunya berdasarkan kepada konteks dan pautan subjek dan idea karya yang dilandaskan melalui sejarah sosio budaya Malaysia itu sendiri.


Keseluruhannya pameran GO BLOCK ini amat berjaya sekali menyerlahkan sifat dan sikap baharu yang didambakan dalam bidang seni cetak, sekurang-kurangnya di rantau Asia Tenggara. Tafsiran dan takrifan baharu itu telah meluaskan lagi batas seni cetak dari hanya terpasung dengan proses baku dan konvensional yang adakalanya memerangkap seniman itu sendiri. Adalah nyata pameran ini telah meletakkan tanda aras baharu dalam praktis seni cetak sezaman Malaysia dan tidak keterlaluan pula dikatakan bahawa pameran ini boleh dianggap sebagai antara salah satu pameran seni paling berjaya di Malaysia dari segi bentuk dan konteks dalam beberapa tahun kebelakangan ini.


DR SAFRIZAL SHAHIR

Universiti Sains Malaysia

Pulau Pinang


Pameran bertajuk 'Go Blok' berlangsung di Galeri Petronas, KLCC

pada 5 Februari -15 Mav 2009


Esei ini dipetik dari Wacana Seni, Jil/8, 2009

Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang





 


GO BLOCK: 5 CONTEMPORARY MALAYSIAN

PRINTMAKERS


GALERI PETRONAS, KLCC,

5 FEBRUARY – 15 MARCH 2009


The Go Block exhibition taking place at Galeri Petronas, KLCC showcases print art that can best be described as different, unusual and progressive. The exhibited prints are the handiwork of five local artists: Juhari Said, Izan Tahir, Zulkifli Yusof, Shahrul Jamil and Ng Kim Peow (Kim Ng). The fresh, different and unusual forms of print brought forth by these artists are certainly ahead of the curve if we are to measure them against conventional print doctrine. Audiences

no longer need to contend with just the banal details of editions and authenticity of print. What comes across clearly is the renewed spirit of exploration to printmaking, and in certain instances, even the bold questioning of accepted concepts and technicalities of the print art itself.

Juhari Said as the stalwart of the Malaysian printmaking

scene makes his presence felt with an installation dubbed UNTITLED II (2009). This work consciously attempts to provide an added dimension to the idea and conceptual framework of printmaking. The inquiry into issues of the matrix and conventional impressions of print art is conducted through time-space and given centre stage by the artist. His work makes use of the interplay between light and shadow as a substitute for ink, while clay is deployed to substitute the matrix. As a result, the installation acts as an alternative form of print, relying on new interpretations to the idea and concept of print art that comes into being when viewed through shifting and new points in the space-time continuum. These new interpretations and definitions have shattered the ‘rigidity’ of print art that is oft criticised as being too subservient to its conventional doctrines. Printmaking has now become a field to be experimented and explored based on the individual interpretations of the core ideas and the key words ‘print’ and ‘printmaking’. What makes the exhibited works of even more interest is that the dissection of forms is undertaken without carelessly disregarding the strong fundamentals of vision, philosophy and printmaking technicalities themselves.


A clear example of this can be seen in Izan Tahir’s GOING

(2008) which at a glance could come across as somewhat confusing in its manifestation of printmaking concepts, ideas and techniques. The shapes of footprints imprinted on her work is manifest of print derived from paper pulp. The use of paper pulp as a base or platform to receive the imprinteslender shapes is further pushed to receive pressure that is stronger than that is normally applied (and needs be said, against printmaking conventions) to achieve her impressions. The use of the bare soles of the feet as a matrix is bound to leave inconsistent impressions thus forcing us to ponder the question: is GOING a work of print or is it sculpture? This same ambivalence can be witnessed in the artist’s work WHEN YOU ARE AWAY (2009). Exploration of impressions left by applying pressure upon objects has somewhat reacquainted us with the primary and most basic ideas of ‘print’.


This act of experimentation is an exploration that challenges and yet at the same time excites us. While it may appear that these new attempts are fascinated by contemporary movements in installation, yet the basic vision and mission of their works remain firmly rooted on the premise of challenging and deepening the meaning and interpretations to the concepts and acts of ‘print’ and ‘printmaking’.


Sahrul Jamli through his piece RETURNING IN KIND (2008) and FACE VALUE (2008) reminds us of the close-knit relationship between printmaking and the print and how they revolve in our daily life. Through the piece RETURNING IN KIND, Shahrul utilises the thumbprint as his main imagery. The thumbprints, layered between gray and black, make us realise that virtually every human being in modern society has in some way performed printmaking at some point in their lives. Not with standing that the semantic vision wasn’t further elaborated in the work, the divining nature of the thumbprint is significantly clear, clarifying the process and idea of printmaking itself. The same undertones are present through his work FACE VALUE, where we can easily conclude that while coining or coin minting itself is an act of mass printing, it pays little heed to the ‘printmaking’ process.


Awareness to the idea and process of printing enables audiences to realise the actual vision and exploration of printmaking undertaken by these artists. Taking into cognizance the common examples taken from our surroundings, we may delve deeper and fully appreciate the process of printing and print in their wider capacity. In many instances, printmaking as a discipline or specific genre in the fine arts have been restrained by the very same exclusive characteristics meant to preserve its authenticity. Ironically, what has been prescribed to protect has resulted in restricting its growth and discouraged deeper exploration. Within the narrow confines of printmaking expression, now comes the opportunity for multiple explorations in the pursuit of creating fresh new forms of visual art. The works by Kim Ng echoes yet again this explorative journey. The use of mix layer print can be taken as a strategy to create visual exactness. Through the piece titled THE FACE OF THE LAND (2008); the mix layer approach combined with Robert Rauschenberg influences yield an outcome that is both exact and unambiguous. On the other hand, Kim Ng’s IN PRESERVING AND CONSERVATION (2008) is deemed to be even more explorative. This piece which uses low relief technique has created an impact in both its visual and technical aspects. The relief was made from deploying serigraphy upon plaster; combining the conventional and the explorative, strategically and precisely. The paleness of the plaster adds a minimalist appeal that keeps us transfixed to its barren silence.


Meanwhile, Zulkifli Yusoff has come forward with his installation MERDEKA 57 (2009) . This work can be held significant not just in light of this exhibition but in the context of the timeless Malaysian practice of art—it grandly brings together form, context and technique used in the fine art creation process. In his work, Zulkifli Yusoff had clearly aligned the construction of his installation to reap the combined benefit of both cross-process techniques and printing processes. It is quite apparent too, that in giving rise to the image, his serigraphy had dominated the entire printing flow. The integration of the three dimensions, arranged akin to rubber seeds found in nature, has manifested an exciting form made ever more relevant to the foundations of this work. The technical adeptness and process inherent in the art piece has resulted in a luxurious and substantial visual. The most apparent level of exacting execution remains the contextual link to the work’s subject matter, that the idea of the work lends itself to the rich Malaysia socio cultural experience.

On the whole, the GO BLOCK exhibition successfully displays an attitude and character long yearned for in printmaking, at least within the Southeast Asian experience. Re-interpretations and new definitions have expanded the boundaries of printmaking art, freeing it from the shackles of the conventional and the rigidity of process that can ensnare even the artist himself. Clearly, this exhibition has raised the bar in Malaysian printmaking. It would not be too absurd to claim that this exhibition is one of the few more successful art shows in Malaysia, in both the context of Form, and in light of the artistic landscape of these later years.


DR SAFRIZAL SHAHIR

Universiti Sains Malaysia

Pulau Pinang


Translated by Dhogee

Essay taken from Journal of Arts Discourse. Vol/8. 2009

Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang

1,139 views0 comments

Recent Posts

See All
bottom of page