top of page

Mini print cabar keupayaan perupa seni cetak mengolah teknik menghasilkan karya berskala kecil

Oleh Mimi Salleh



Menyahut cabaran imaginasi seni di atas permukaan yang lebih kecil daripada kebiasaan bagi menghasilkan karya seni yang melangkau daya kreativiti sedia ada



Novel Jonathan Swift, yang bertajuk Gulliver’s Travels diterbitkan pada tahun 1918, membawa kita melalui pengembaraan Lemuel Gulliver. Sebaik terjaga, dia keliru dan terpinga-pinga dikelilingi rakyat Liliput yang bersaiz kecil, sekecil ibu jarinya. Cuba bayangkan jika Gulliver memasuki galeri pameran lukisan di negara Lilliput.


Kini, pameran mini print bukan lagi sekadar imaginasi. Pameran sebegini sudah ada peminatnya di seluruh dunia. Misalnya, bulan Ogos lalu telah berlangsung “13th Biennial Miniature Print International Exhibition 2021” yang turut diadakan serentak dengan “Pertandingan Mini Print Antarabangsa 2021” untuk lukisan cetak berukuran 12 inci x 12 inci. Bulan Ogos juga telah berlangsung “Jogja International Miniprint Biennale 2021 (JIMB)”.


Bermula Sept 25 sehingga Okt 15 ini kita boleh melalui pengalaman melihat lukisan seni cetak berskala kecil di dalam pameran maya “Rabbit’s Hole Mini Print”. Pameran ini dianjurkan oleh Galeri ArtVoice melibatkan 21 orang artis dari 10 negara. Nama-nama seperti Anna Trojanowska, Vasil Angelov dan Valerie Syposz bukanlah nama asing dalam pameran mini print. Malah, Stephen Menon seorang perupa seni cetak (printmaker) dari Malaysia kerap terlibat dalam pameran mini print di luar negara.


Seni cetak adalah proses kreatif yang mengalih imej daripada matrik atau blok ke satu permukaan seperti kertas, fabrik atau kanvas. Dewasa ini, perupa seni cetak turut menggunakan teknologi untuk mempelbagaikan teknik konvensional menjadi lebih moden. Justeru, mengolah seni cetak ke skala kecil memerlukan artis mencabar keupayaan diri dan kemahiran teknik seni masing-masing dalam ruang melakar yang terhad.


Karya Shu Chuan Lee bertajuk Mountain, 1_1, guna teknik S.C.lithographic di atas kertas bersaiz15 cm x13 cm



Ini kita boleh lihat daripada karya Lee Shu-chuan bertajuk Mountain, 1/1. Lukisan ini dihasilkan di atas blok kertas bersaiz 15cm x 13cm menggunakan teknik S.C. lithografik. Teknik lithografik melibatkan proses yang berlapis-lapis. Berskala kecil tidak bermakna proses menghasilkan corak itu dibuat ala kadar. Shu-chuan menghasilkan karya dengan penuh ketelitian. Sepertimana karya-karyanya yang terdahulu Shu-chuan mengambil inspirasi daripada tekstur tinggalan sejarah seperti bangunan-bangunan lama.



Karya Anna Trojanowska bertajuk THE FORM OF ADAPTATION_08 bersaiz 10.5 cm x 15 cm.



Begitu juga mini print hasil karya Anna Trojanowska bertajuk Forma Adaptacji_08 (The Form of Adaptation_08) 2020. Jika teknik lithografik melibatkan lapisan proses yang perlu dibuat dengan teliti, bayangkan apabila lukisan seni cetak itu dihasilkan di atas batu marmar (carrara marble) bersaiz 10.5 cm x 15 cm dengan 3 warna. Melihat secara dekat, kita boleh lihat tekstur yang terhasil. Malah, semakin diamati semakin terasa kagum teknik yang Trojanowska gunakan untuk menghasilkan karya yang kemas, seimbang dan ada kedalaman. Lukisan ini juga menjadi pilihan kurator sebagai pelengkap poster pameran “Rabbit’s Hole Mini Print”.


Menelusuri pameran mini print ini melalui katalog “Rabbit’s Hole 2021” yang boleh dimuat turun pasti berlegar-legar di fikiran satu soalan, “Bagaimanakah teknik itu diolah dalam skala kecil?” Misalnya karya Valerie Syposz bertajuk Self, 2018. Imej bersaiz 10.5 cm x 7.5 cm dihasilkan dengan menggunakan teknik ukiran atas kayu (wood engraving) yang kemudiannya dipindahkan ke atas kertas bersaiz 25 cm x 21 cm. Setiap garis halus membentuk ekspresi, tekstur dan terselit penceritaan.


Karya Juhari Said bertajuk Gelora guna teknik etching bersaiz 14 cm x10 cm


Semakin lama kita meneliti karya-karya tersebut, semakin tertarik untuk kita memahami setiap teknik yang digunakan oleh para perupa mini print ini. Apatah lagi apabila Juhari Said, nama yang tidak asing dalam dunia seni cetak menggunakan teknik etching pada karya bersaiz 14 cm x 10 cm berjudul Gelora. Teknik etching melibatkan proses ukiran atas plet, rendaman asid dan persiapan plet yang akan dicalit catan sebelum kertas ditekap bagi menghasilkan karya yang unik. Memikirkan mengenai proses etching dan melihat gradien warna serta tekstur pada lukisan Gelora timbul rasa kepuasan. Kita bukan sahaja melihat proses seni cetak malah seni hasil tangan yang halus.


Kini dengan teknologi, wujud pula satu teknik yang dinamakan cetakan arkib (archival inkjet print.) Cetakan ini menggunakan pigmen warna berpartikel halus yang akan menghasilkan karya akhir yang mempunyai warna resolusi tinggi. Menariknya teknik cetakan ini dicipta untuk kekal lama, tanpa pudar antara 75 sehingga 400 tahun. Keunikan warna ini boleh dilihat daripada karya Muhammad Atif Khan berjudul Flight, ii yang dihasilkan menggunakan cetakan arkib di atas kertas Hahnemühle bersaiz 7 inci x 7 inci.


Karya Stephen Menon bertajuk Otak Udang bersaiz 15 cm x 15 cm



Walaupun berskala kecil, setiap artis turut memasukkan elemen penceritaan. Stephen adalah antara artis perupa seni cetak yang sering memasukkan elemen innuendo dan satira dalam karyanya. Di pameran “Rabbit’s Hole” ini, Stephen menghasilkan karya bertajuk Otak Udang bersaiz 15 cm x 15 cm menggunakan teknik screen print. Melihat imej otak udang di atas kerusi dan mengaitkan dengan peribahasa otak udang yang bermaksud bodoh, kita boleh faham sindiran itu ditujukan kepada tampuk pimpinan atau orang yang berkuasa. Stephen seolah-olah membuka ruang kepada kita untuk membincangkan polemik politik negara mengikut intepretasi masing-masing.


Alice (dari cerita Lewis Carroll Alice’s Adventures in Wonderland) yang terjatuh ke dalam lubang arnab melalui pengembaraan imaginasi yang mengubah caranya melihat dunia realiti. Begitu juga pameran “Rabbit’s Hole 2021” ini. Melangkah masuk ke pameran maya yang julung-julung kali dianjurkan di Malaysia membuatkan kita menghargai keupayaan, kemahiran dan ketelitian para artis menggunakan teknik atas permukaan yang kecil daripada kebiasaan.


Di helaian terakhir e-katalog “Rabbit’s Hole”, kita bukan sahaja selesai menikmati 21 karya perupa seni cetak dari 10 negara malah mendalami teknik-teknik seni yang ada. Pameran sebegini bagus untuk peminat seni cetak, artis yang sedang memantapkan teknik masing-masing dan perupa seni cetak yang sedang mencari inspirasi. Pameran “Rabbit’s Hole” ini boleh diikuti di Instagram dan Facebook.



*Artikel dipetik dari laman sesawang BASKL (Bandar Aktiviti Seni Kuala Lumpur) :


https://baskl.com.my/mini-print-cabar-keupayaan-perupa-seni-cetak-mengolah-teknik-menghasilkan-karya-berskala-kecil/

47 views0 comments

Recent Posts

See All

Comments


bottom of page