Oleh Juhari Said
Di Eropah dan Amerika, kesenian seni grafik begitu pesat membangun dan berkembang. Suasana dan iklimnya begitu meriah. Kesenian dan teknologi bergerak bergandingan serta serentak meredah zaman. Mungkin sedikit sebanyak tradisi School of Bauhaus yang bertapak di tahun 30an memainkan peranan dalam industri seni grafik di Eropah dan Amerika. School of Bauhaus begitu mempelopori kaedah dimana setiap individu yang berkepakaran harus duduk semeja menggembleng tenaga dan fikiran kreatif untuk bersama-sama memajukan segalanya.
Di Paris ,William Hayter, seorang ahli kimia menubuhkan Atelier 17 pada 1927, kemudian di New York pada 1940. Di studio ini seniman boleh berkarya dan sebahagiannya belajar seni grafik. Ini agak berbeza sedikit dari Atelier La Courrier yang lebih bergerak sebagai rumah penerbitan untuk seniman-seniman besar di Eropah. Pengkaryaan seni grafik begitu aktif di Eropah ,sehingga bagi setengah golongan seniman yang menimba ilmu kesenian di Paris menganggap Atelier 17 dan Atelier La Courrier ibarat sebuah ‘universiti’ bagi mereka.
Imago I, Potongan lino, 15x11cm, 1963 (Koleksi peribadi)
Di New York, selain dari penubuhan Atelier 17 pada 1940, Printmaking Workshop juga dibuka pada 1948. Kemudian Pratt Graphic Centre yang didukung oleh Rockefeller Foundation dibuka pada 1956 untuk golongan pelajar dan karyawan. Pada 1962, Crown Point Press yang menghasilkan karya Richard Diebenkorn pula muncul. Kenneth Tyler bersama beberapa orang temannya membuka Gemini Gel pada 1965 sebelum beliau menubuhkan Tyler Graphics Ltd pada 1974. Di Gemini GEL, karya-karya Robert Rouschenberg dan Roy Lichtenstein dihasilkan dan pada ketika ini kegiatan berkarya seni grafik pop-art amat memberansangkan di New York.
Sememangnya dekad 60-an begitu menghairahkan, mencabar dan mendebarkan deria, naluri dan jiwa. Sosio-budaya manusia itu diangkat dan dijulang untuk disaksikan ,dinilai, disanggah, dituruti atau dibiarkan saja sendirian lalu mati. Budaya alternatif menular, perang Vietnam memuncak, hak asasi kemanusiaan tersedar, pengerakan pelajar meresap dan media elektronik tumbesaran. Tiba-tiba seorang pemuda yang berusia lingkungan 20-an daripada Lenggeng berada dicelah-celah himpitan dan gelojak arus itu. Hanya dirinya seorang yang mengalami, merasai, kerana kemana saja kita berada, kita didasari dan didukung oleh latar belakang yang menjadi tulang diri. Ternyata setiap individu dibesarkan dengan cara yang cukup berbeza.
Monograf atau monotype yang dihasilkan oleh Latiff Mohidin (LM) adalah satu teknik paling asas, sama seperti melukis dengan pensel atau arang diatas kertas putih. Monograf tidak ada salinan atau edisi. Ia berupa sebuah nota bergambar karyawan. Dalam karya alam kaku ini (1961) beliau begitu akur pada pendidikan serta asuhan seni lukis yang diperolehinya di Berlin.
Imago II, Potongan lino, 15x11cm, 1963 (Koleksi peribadi)
Comments