Oleh Wan Omah Ahamed
“Generasi kami adalah wadah kegiatan dan kesanggupan di mana idea dan imajinasi seniman dierapkan dengan kejujuran dan sifat kebenaran.”
-Manifestasi Anak Anak Alam-
Taman budaya, di persiaran Tun. Dr. Ismail, adalah sebuah rumah yang terpencil dari kesibukan-kesibukan lalu lintas dan sengketa bising mesin-mesin. Di sini tinggal beberapa orang pelukis dan penyair dari kumpulan “Anak Alam” di antaranya Latiff Mohidin. Sekaligus rumah itu merukapan studio “Anak Alam” denga manifestasinya yang tersendiri.
Walaupun rumah ini letaknya agak terpencil, tapi ia tidak terpencil dari kehidupan kota itu sendiri. Di rumah ini pada 2-16 disember, 1974 yang lalu diadakan “Pameran Grafik Anak Alam”. Lebih dari 40 orang peserta ikut dalam pamiran ini dengan karyanya yang berbagai- bagai bentuk dan teknik. 13 orang dari mereka pelajar dari MARA. Teknik dan bentuk yang dibawa mereka termasuklah kolaj, tintanwarna, gurisan, lino, cungkilan kayu, dengan sebebebas mungkin disertakan dengan bahan-bahan yang anih-anih, pelik dan mistirius bagi menyatakan kecintaan mereka terhadap alam.
Ruang Pengabdian, Mustapha Ibrahim
Sesuai dengan konsep dan nama-namanya, maka lukisan-lukisan “Anak Alam” ini cuba berkomunikasi dengan alam, melahirkan rasa kecintaan mereka terhadap keindahan di sekelilingnya, misalnya pada karya-karya “Imago” (Latif Mohidin), Ruang Pengeabadian II (Mustapha Ibrahim), Muara Sungai Kelantan (S. Zainon Ismail), Cakap-Cakap ( Zainudin Jamil), juga karya-karya lain lagi dengan judul-judul seperti pemandangan, Nature In Law, Alamku, Menuju Kelam, Frankfurt dan lain-lain lagi, Kesemuanya oleh Mohamad Abdullah, Salehuddin Mohamad, Tajudin Ismail, Zarafuddin Zainuddin, Mail Munji, Ahmad Ghazie Ibrahim, Syarifah Zubir dan lain-lain. Sebelum pamiran grafik pertama ini diadakan, Anak Alam telahpun ikut dalam berbagai-bagai aktiviti kesenimanan sejak bulan Jun yang lalu mereka telah memberikan beberapa sumbangan kepada perkembangan kesenian di ibu kota Kuala Lumpur, antara Hari alam. Hari puisi ketiga, Drama Pemburu Perkasa dan Pembacaan Puisi Perseorangan A.Ghajar Ibrahim.
Cakap-Cakap, Zainuddin Jamil
Kebanyakkan dari kegiatan-kegiatan ini lahirnya tidak ada hubungan dengan seni lukis. Tapi mengikut kata Latiff “pelukis pelukis zaman sekarang ini kami kira tidak patut memencilkan daerah imijinasinya, tetapi mereka mesti cuba mendalami secara fizikal mahupun visual daerah-daerah seni lain. Dan ini kita lihat dari kumpulan Anak Alam sendiri misalnya telah lahir beberapa orang penulis puisi yang mempunyai bakat yang baik. Penglibatan ini adalah penting dan menggembirakan sekali kerana ianya telah menambah pengalaman sebagai pelukis.” demikian kata Latiff. Pamiran Anak Alam kali ini nampaknya hanya menumpukan kepada seni grafik sahaja. Dan ini juga penting tambahan pula Studio Anak Alam yang kecil ini tidak dapat hendak menapung sekiranya hendak diadakan satu pamiran besar-besaran.
Imago, Latiff Mohidin
Comments