top of page

Persoalan Tema, Gaya & Teknik dalam cetakan KLIMEX19

Updated: Apr 29, 2021


Jamil Mat Isa, Ph.D.

Fakulti Seni Lukis & Seni Reka

Universiti Teknologi Mara, Shah Alam





Sorotan


Menyorot kembali perkembangan seni cetak negara seawal tahun 1930an yang dirintis oleh Chuah Thean Teng (1914-2008) dengan karya cetakan kayunya berjudul Break Time, 16.5 x 13.5 cm (1936), Working 12 x 10 cm (1938), adalah bersaiz kecil. Begitu juga dengan Pokok Beringin, 17.8 x 12.5 cm (1936) oleh Abdullah Ariff (1904-1962), Ianya merupakan permulaan kepada sesuatu yang lebih menarik dan mencabar, bukan sekadar saiz malah lebih kepada penerokaan suatu teknik yang lebih mencabar yang seterusnya membuka ruang perbahasan terhadap istilah seni cetak itu sendiri. Ianya sejajar dengan situasi semasa dan revolusi teknologi yang terkini.


Siri-siri pameran seni cetak di Malaysia dalam kontek bersaiz kecil ini dapat disorot kembali seawal tahun 1990an, satu pameran seni cetak bersaiz kecil yang terbesar dari segi jumlah cetakan yang dipamerkan ialah pada tahun 1996. The Third World Triennial of Miniature Prints Exhibition memperagakan sebanyak 830 cetakan oleh pencetak dari 86 negara termasuk Malaysia. Pameran ini telah berlangsung di Galeri PETRONAS yang pada ketika itu beroperasi di Kompleks Daya Bumi, Kuala Lumpur dari 4 – 24 Mac 1996.



Segaris dan Seni cetak


One Over Two merupakan judul pameran seni cetak dalam edisi Kuala Lumpur International Miniprint Exhibition 2019. Pameran seni cetak bersaiz kecil ini merupakan tahun kedua anjuran Segaris Art Center (SAC). Ianya merupakan kolaborasi bersama TERAS Print Studio dari Yogjakarta, Indonesia. Pameran ini sangat menarik kerana kehadiran pencetak dari benua Eropah, Amerika, Australia serta Asia dan ianya dihoskan di dua lokasi di Asia.


Pencetak dari Malaysia yang menyertai One Over Two juga telah terpilih untuk keperingkat akhir The 3rd Jogja International Miniprint Bieennale (JIMB) ialah Stephen Menon, Liu Cheng Hua, Kim Ng dan Ahmad Noor Rashidi Salleh dan Fawazie Arsyad, Marcin Bialas dari Kanada meraih Best Work. Excellent Work pula telah diraih oleh Evee Eesma dari Estonia dan Thamrongsak Nimanussornkul dari Thailand.

Cleo Wilkinson dari Australia dan Rakesh Bani dari India telah meraih anugerah Best Work begitu juga dengan Dimo Kolibarov dari Bulgaria dan Silvana Martignoni dari Itali meraih Excellent Work dalam dalam The 2nd Jogja International Miniprint Bieennale (JIMB). Pencetak dari United Kingdom, Lidija Antanasijevic pula pernah meraih anugerah dalam The 1st Jogja International Miniprint Bieennale (JIMB) yang lalu.


Persoalan tema figura


Melihat akan karya-karya yang terpilih dalam pameran ini didapati figura mendominasi tema dalam KLIMEX19 ini. Ianya bukanlah satu penetapan oleh pihak penganjur. Tema abstrak juga masih kuat dibincangkan oleh pencetak. Dalam persoalan teknik ianya juga menarik untuk dilihat, ianya pasti berbeza dengan disiplin seni lukis yang lain. Cetakan punya keistimewaannya yang tersendiri sejak ianya mula diperkenalkan. Catatan sejarah telah menyatakan permulaan teknik cetakan berlaku di timur dan barat. Cetak-saring bermula di China sekitar AD 221 dan dimajukan lagi oleh Jepun, cukilan kayu juga di China sekitar abad ke 9. Teknik intaglio atau cetak-dalam pula di Eropah sekitar penghujung abad ke15.


Pencetak senior Malaysia yang prolifik, Loo Foh Sang memperagakan Recitation B (2019) cukilan kayu hitam putih. Subjek figura yang digayakan itu mengingatkan kepada watak-watak dalam persembahan wayang kulit. Pencetak mengolah secara symmetrical, subjek-subjek diimbangi dalam format secara berhadapan sesama sendiri. Dua subjek utama sedang menyingkap kain hadangan untuk melihat atau berkomunikasi dengan tiga subjek lain yang berada disebaliknya. Kelihatan sumber cahaya yang terang dilatar cetakan ruang cetek ini. Limpahannya keatas subjek-subjek membantu pembinaan bentuknya. Figura-figura jinjang sememangnya menjadi identiti pencetak ini.


Reminiscence (2018), cetak-saring foto oleh Ahmad Noor Rashidi (Malaysia), melihat kepada raut wajah anak kecil itu memungkinkan subjek tersebut adalah pencetak sendiri yang sedang bermain ketika kecil dahulu. Sudah menjadi kebiasaan anak-anak kecil ketika bermain dilaman atau padang dengan memakai selipar yang besar milik orang dewasa. Kesan cahaya dan bayang amat jelas membina bentuk subjek dengan bantuan kesan halftone. Posisi subjek juga menarik. Cetakan hitam putih ini memperlihatkan kesan foto lama dengan halftonenya yang tidak jelas sejajar dengan tajuknya.


Rutin Harian II (2018), cukilan kayu berwarna oleh Fawazie Arsyad (Malaysia) merakamkan aksi seorang penjual ikan di pasar. Subjek dilihat sedang memproses ikan yang telah dibeli pelanggan. Garisan-garisan kasar kesan torehan bagaikan menggambarkan cabaran dalam meneruskan kegiatan ekonomi mereka. Ini dikuatkan lagi dengan penggunaan warna yang terhad dan juga kesan latar yang diringkaskan,

Penyucian (2019), cetakan kombinasi gurisan dan akuatin dalam hitam putih oleh Shamsuddin Abd. Wahab @ Buden, pencetak muda Malaysia yang prolifik ini sering menghidangkan karya-karya berstailkan surrealnya. Merakamkan aksi seorang pawang dalam proses penyucian keatas seorang wanita bertubuh gempal. Pencetak jelas memiliki kemahiran melukis yang tinggi, kemampuannya merakamkan suasana atau situasi proses “penyucian” itu begitu terperinci sekali. Ini disokong oleh kombinasi kedua-dua teknik yang juga berjaya dikuasainya. Cetakan ruang dalam ini memaksa penghayat meneroka keseluruhan format untuk menikmati subjek-subjek yang dibina dengan perincian yang baik. Setelah menganalisis subjek-subjek yang terdapat dalam cetakan ini, penghayat dipertemukan dengan sebuah potret lelaki yang sedang melihat ke arah sudut kiri format.


The Physician (2018), cetak-saring foto oleh Stephen Menon (Malaysia), cetakan warna ini memaparkan potret Perdana Menteri Malaysia ke 7 sebagai subjek utama. Ianya disokong oleh beberapa imej-imej lain dan teks “1957” yang merujuk kepada tahun kemerdekaan negara, “Under Construction” dibahagian bawah yang diulang merujuk kepada pita yang sering digunakan untuk memberitahu akan keadaan sesuatu lokasi yang sedang dalam proses kerja atau baik pulih. Ikon lalu lintas (simpang empat) disudut atas kanan menunjukkan harapan yang positif dalam proses membaikpulih situasi negara kini. Pelbagai imej yang menjadi latar bagaikan memperlihatkan betapa komplek situasi kini. Penggunaan pelbagai warna yang terang dan ceria sebagai latar dan subjek utamanya digelapkan dikuatkan lagi dengan raut wajahnya yang agak sukar ditafsirkan. Cetakan bergaya pop ini mengharapkan penghayat untuk mentafsirkan akan ekpresi wajah subjek utamanya itu.


Kim Ng turut memperagakan cetak-saring fotonya yang berjudul Urban Blast V (2018). Cetakan berwarna ini memungkinkan satu rakaman kepelbagaian aktiviti dan aksi warga kota metropolitan Kuala Lumpur. Terdapat logo Central Market disudut atas kanan format. Ianya memberi clue akan mesej cetakan ini. Proses penghasilan cetakan ini secara lapisan demi lapisan imej dalam spot colour yang pelbagai. Kombinasi warna-warna panas dan sejuk secara berlapisan itu telah menimbulkan kesan visual yang komplek. Ini dikuatkan lagi dengan kesan tindanan warna-warna lutsinar. Teknik yang telah diaplikasikan oleh pencetak menyokong mesej yang ingin dikongsi bersama penghayat.


Three Sisters (2019), cukilan kayu hitam putih ruang cetek oleh Fuad Fathil (Malaysia) dalam format organik. Cetakan ini merakamkan aksi tiga wanita Melayu bersaudara yang berusia dengan penuh akrab. Ianya dikesan dari penggunaan penutup kepala yang sering menjadi sebahagian daripada pakaian kaum wanita Melayu yang berusia. Dua daripadanya berkaca mata. Garisan-garisan dalam pelbagai kualiti memainkan peranan penting dalam membina subjek. Ianya digubah untuk memenuhi format yang berupa organik itu.


Reno Megy Setiawan (Indonesia) merakamkan aksi seorang kanak-kanak perempuan sedang bermain anak patung dalam Malu (2017). Cukilan kayu berwarna dalam format potret ini memperlihatkan subjek sedang menutup muka dengan telapak tangannya bagaikan rasa malu apabila melihat anak patungnya berpakaian agak seksi. Itulah reaksi spontan dan naluri si anak kecil, rasa malu sememangnya wujud meskipun hanya melihat akan patung mainannya sendiri. Cetakan ruang cetek ini memperlihatkan kesan torehan yang kasar namun ianya masih mampu membina bentuk subjek-subjeknya.


Alim Bachtiar (Indonesia) menjadikan potret seorang wanita sebagai subjek dalam cetakan sepia dengan aplikasi teknik dry point. Cetakan yang berjudul Melati Van Java in Brown (2017) ini memperlihatkan raut wajah seorang perempuan yang sedang merenung tepat kepada penghayat. Terselit sekuntum bunga “melati putih” dirambutnya menambahkan keayuan gadis timur. Kesan cahaya yang kuat jelas menyimbah kewajahnya untuk membina bentuk. Pencetak mungkin merujuk kepada Nicolina Maria (Marie) Sloot (1853-1927), seorang penulis Belanda kelahiran Semarang, Jawa.


M. Muhlis Lugis (Indonesia) memperagakan cukilan kayu hitam putih berjudul Nutrisi Penghancur (2018) dalam format lanskap. Seorang bayi yang sedang disusukan menjadi subjeknya, jika ditelitikan, bayi tersebut sedang disusukan dengan botol susu yang berbentuk sebutir bom tangan. Pencetak bijak mengaplikasikan garisan yang membina bentuk terhadap subjeknya dan ekpresi wajah bayi tersebut. Kesan cahaya yang baik membantu pembinaan bentuk subjek. Mesejnya jelas akan kerisauan pencetak terhadap pelbagaian nutrisi yang menjadi hidangan untuk jenerasi muda dewasa ini. Keseluruhan latar berjaya dibentuk dengan baik hasil penguasaan pencetak mengendalikan alatan mengukir, kelembutan latar dijelmakan dengan jelas hasil alunan garisan dan kesan cahaya.


Rakesh Bani (India) juga mempamerkan karya dalam tema yang sama dengan judul Waiting (2018) hasil kombinasi teknik gurisan dan akuatin. Cetakan berwarna minima ini merakamkan aksi seorang wanita bagaikan sedang menanti seseorang. Subjek utama begitu dominan memenuhi sebahagian format bulat cetakan, ditemani oleh lampu minyak dibahagian atas kanan format sebagai sumber cahaya yang melimpah keatas subjek untuk memperjelaskan bentuk subjek utama. Ini menghasilkan kesan cahaya yang agak dramatik. Kelihatan sekumpulan serangga dalam pelbagai saiz sedang mengelilingi lampu minyak. Pencetak mahir mengaplikasikan teknik akuatin untuk mencipta kesan tekstur pada kulit figura dan kesan terang gelap pada bahagian latar iaitu dinding bilik yang menjadi lokasi rakaman. Ini dikuatkan lagi dengan penguasaan lukisan pencetak. Garisan-garisan dalam pelbagai kualiti berjaya membina subjek dan latar.


Ana Melano (Argentina) mewakili benua Amerika Selatan dengan karyanya Certain Look 1 (2018). Cetakan kombinasi teknik ukiran atas kepingan akrilik dan chine collé ini memperlihatkan subjek potret seorang lelaki yang sedang merenung tepat kepada penghayat. Latarnya adalah kesan aplikasi chinecollé iaitu mengaplikasikan sekeping kertas yang nipis. Kesan garisan dan titik–titik dari teknik ukiran dengan aplikasi dakwat hitam menghasilkan bentuk pada wajah subjek. Pada bahagian tersebut dibiarkan putih kertas untuk menguatkan lagi bentuk wajah yang dibina. Begitu juga pada pakaiannya.


Entropia (2017), cetakan mezotin hitam putih karya Cleo Wilkinson (Australia) turut memilih potret sebagai subjeknya. Pencetak berjaya menghasilkan kesan cahaya yang dramatik melimpah keatas wajah wanita tersebut, melalui kemahirannya yang tinggi menguasai teknik mezotin. Ianya memperlihatkan kesan tekstura kulit dan bentuk wajah wanita tersebut. Menariknya karya ini bukan hanya pada kemahiran pencetak menguasai teknik tetapi beliau juga berjaya mencipta ekpresi wajah subjeknya. Kesan legap dibahagian kiri format mengimbangi wajah subjek.


Erik I Aleks (2018), gurisan oleh Rosario Chincha (Sepanyol) memperlihatkan wajah ceria sepasang kanak-kanak dalam cetakan hitam putih dari sudut pandangan yang menarik. Kemahiran menguasai teknik gurisan dan melukis memberi kelebihan kepada pencetak untuk mencipta mod yang ceria dan membina bentuk pada subjek-subjek utamanya. Pencetak memfokuskan subjeknya melalui kesan cahaya dan perincian yang diciptanya dan latar digelapkan dengan perincian yang ringkas.


Facing Reality 4 (2018), cetakan drypoint hitam putih oleh Soren Kastalje (Denmark) merakamkan aksi sepasang remaja berpakaian santai sedang berpelesiran. Kesan garisan-garisan kasar pada latar menghasilkan tekstura bagaikan memberi maksud yang tertentu. Wajah subjek wanita digelapkan dengan garisan-garisan kasar juga memberi clue pada penghayat untuk menterjemah maksud cetakan ini. Walaupun garisan–garisan kasar mendominasi cetakan ini namun pencetak dilihat mempunyai kemahiran melukis yang baik melalui pembinaan subjeknya yang dilihat sempurna.


Rakaman potret lelaki berkacamata berjudul Stan Glow (2017) oleh Alberto Balletti (Itali) juga menarik walaupun sekadar cetakan hitam putih, kekuatan cetakan gurisan ini jelas kepada penggunaan kualiti garisannya. Pencetak bijak mengadunkan antara teknik dan kemahiran melukisnya untuk mewujudkan sedikit kesan cahaya pada potret lelaki tersebut. Garisan kasar dan bersahaja diaplikasikan untuk membina subjek dan mengambarkan wataknya. Seorang lelaki bermisai tebal, berambut nipis dan bersubang disebelah kanan. Kacamata berbingkai tebalnya itu jelas diperlihatkan meskipun garisan-garisan yang diaplikasikan pencetak hampir sama kualitinya. Potret yang sedikit mendongak dan melihat keatas itu mampu memberi clue akan saiz tubuhnya yang agak gempal.


Mawashi Geri (2018), cukilan lino hitam putih oleh Joe Ryan (Ireland) merakamkan aksi dua orang lelaki yang sedang bertarung/berlatih karate. Judul cetakan ini merujuk kepada aksi tendangan dalam seni mempertahankan diri Jepun itu. Pencetak berjaya menghasilkan latar yang legap dan subjek dibiarkan putih kertas melalui rupa. Ianya bertepatan dengan penampilan ahli-ahli karate ketika berlatih atau bertarung dalam unifom putih dan bertalipinggang hitam.


Lukasz Cywicki (Poland) dari kelompok pelukis seni cetak Eropah mempersembahkan Person of Time-31 (2018). Potret yang digayakan ini lebih kepada karikatur dengan cukilan lino hitam putih. Latarnya yang legap itu menonjolkan subjek dengan jelas. Kesan kontras yang dihasilkan pencetak memberi penyataan visual yang tersendiri.


Antara pencetak-pencetak lain yang memilih figura sebagai tema mereka ialah Liu Cheng Hua (Kapitan Larut, 2019), Nur Hasliza Abdullah (Si Hitam Manis Dayang Senandung, 2019), Aqilah Razak (Tutup Suara, 2019), Nurul Akma Abdul Wahab (The Phenomenon, 2019), Nurfatihah Hazayati (The Faces, 2019),


Farhanah Abu Sujak (Jack of All Trades, 2019), Jamizan Jalaluddin @Mohd Rashid (Let’s Sign Together, 2019), Nurul Shafinaz Baharin (Gemala Senja Malam, 2019) mereka merupakan pencetak baru atau dari generasi muda Malaysia. Indra Kesuma (Bermain Sendiri, 2018), Yamyuli Dwi (Untitle 2), AB. Raharja (No Title, 2019), Angga Sukma Permana (Dua Kubu, 2018), dari Indonesia. Anton Pavlov Rusia (Figure 1, 2018), Eve Easma Estonia (XY, 2017) dan Lidija Antanasijevic UK (Glass, 2018).


Persoalan tema stil-life


Stil-life juga menjadi pilihan pencetak. B-Cushion Stripes 5 (2017) hasil cetakan Haruko Cho dari Jepun membicarakan tema ini. Keistimewaan cetak saring foto ini terletak kepada pengaplikasian teknik pisahan empat warnanya.Subjeknya berkemungkinan adalah sebuah objek. Pencetak berjaya mengolah subjek menjadi satu bentuk yang lain dengan mengambil peluang akan sifat objek tersebut. Latarnya yang kabur dan kelam berjaya menonjolkan subjek dengan kesan visual yang kuat.


Seorang lagi pencetak dari negara matahari terbit, Kouki Tsuritani memperlihatkan kemahirannya dalam menguasai teknik ukiran kayu yang halus. Rocking Sheep (2017) dicetak dalam hitam putih. Formatnya dalam rupa organik membezakan beliau dengan kebanyakan pencetak lain. Subjek utama iaitu mainan tiga ekor biri-biri berada ditengah format diiringi oleh langsir dikiri dan kanan mengimbangi format. Subjek berada di atas bingkai tingkap kayu. Limpahan cahaya bulan turut membantu pembinaan subjek-subjek dalam cetakan ini. Namun kekuatan cetakan ini terserlah pada kemahiran pencetak mengaplikasikan garisan-garisan yang berbeza kualitinya untuk menghasilkan sifat subjek. Kelembutan pada subjek utama dan langsir dan kerasnya bingkai tingkap kayu dapat dirasai secara visual. Cetakan ruang cetak ini berlatarkan warna legap, menjelmakan suasana malam yang gelap.


Pengembangan (2018), cetakan hitam putih kombinasi teknik gurisan dan akuatin oleh Oscar Sastra dari Indonesia juga menarik untuk dilihat. Mesin pencetak dan seekor sotong kurita menjadi subjeknya. Pencetak cuba menimbulkan kesan – kesan cahaya dalam cetakannya. Terang gelap pada subjek berjaya membina bentuk subjek-subjeknya kesan aplikasi teknik akuatin. Latar kelihatan kosong walaupun terdapat setompok kesan gelap padanya. Sudut pandangan juga menarik dan subjek memenuhi hampir keseluruhan format.


Brian D. Cohen, pencetak dari Amerika ini menjadikan buah pine sebagai subjek dalam cetakan gurisan hitam putihnya. Kekuatan Pine Cone (2017) dilihat pada kemahiran pencetak menguasai teknik gurisan dan kemahiran melukis yang baik. Rupa-rupa organik dibina dan disusunatur sedemikian yang akhirnya membentuk sebiji buah pine. Pencetak sengaja menggelapkan latar mengikut bentuk buah pine tersebut untuk mendapatkan kesan dramatik dengan aplikasi akuatin. Latar dihiasi dengan garisan-garisan halus yang melintang dan menegak.


Beetle 1943 (2016), cetakan akuatin hitam putih oleh Adriano Castro dari Brazil merakamkan sebahagian dari kereta klasik kegemaran ramai ini. Model KdF Type 60 keluaran Volkswagen ini begitu signifikan, kerana keluarannya yang terhad. Pencetak agak mahir menguasai teknik untuk membina subjeknya, meskipun subjek kelihatan sebegitu rupa bentuknya. Kemahirannya dapat dikesan pada pengaplikasian pelbagai tona hasil teknik akuatin. Kesan cahaya cuba ditonjolkan dan keseluruhan latar digelapkan.


Pencetak dari benua Amerika Selatan, Floki Gauvry (Argentina) memperagakan cetakan hitam putihnya berjudul Cactus (2018). Pencetak mengaplikasikan teknik photo-intaglio dan pohon kaktus menjadi subjek pilihannya. Kekuatan cetakan ini dilihat pada sudut pandangan dari atas subjek dijelmakan. Rupabentuk pokok kaktus itu dan latarnya iaitu batu-batu kecil kelihatan sama.


Still-life (2019) menjadi judul cetakan berwarna Juhari Said, pencetak tempatan yang prolifik ini memilih teknik cukilan lino untuk berkarya. Subjeknya sebuah kendi berbentuk bulat berwarna hitam yang tergantung mendominasi ruang kanan format. Latarnya kombinasi pelbagai warna sejuk dan panas bagaikan bergerak kearah kanan untuk mengiringi subjek. Kesan tekstura kecil hasil cukilan bertindak sebagai “pemangkin” untuk menggerakkan pandangan penghayat dari kiri ke kanan format, dari ruang yang kosong untuk bertemu dengan subjek. Bentuk bukanlah keutamaan pencetak dalam cetakan ruang rata ini. Subjek mungkin sebagai kenangan pencetak terhadap masa silamnya.


Antara pencetak-pencetak lain yang menjadikan stil life sebagai tema ialah Nicolas Poignon  Peranchis (Little Crasspedia 1, 2018), Raden Kukuh-Indonesia (Window, 2018) dan Mahalakshmi Kannapan-Singapura (Marketing Intimacy, 2018). Asuaq Najwa Mohd Pauzi (Di Kala…?, 2019), Muhammad Arif Ezzedin Mohamad Misbakh (Classic Journey, 2019), Rosliza Abdul Rahim (Palas, 2019), Rosiah Md Noor (My Useless ‘Kendi’, 2019), Nadiah Mohamad (Bunga Dahlia, 2018), Mumtaz Mokhtar (Yellow Capsicum, 2019) dan Adinur Iman Mohd Jamal (Memoir Sang Perindu, 2019) adalah kelompok pencetak muda dari Malaysia.


Persoalan tema abstrak


Beberapa orang pencetak dikesan begitu selesa dengan tema abstrak. Antaranya ialah Syahrul Niza Zaini yang dikenali dengan karya-karya landskap mujaratnya. Lost Land 1 (2019). Cukilan lino hitam putih. Mohamad Sukhairi Shuid dengan cetakan serigrafi berwarna yang berjudul Reform 01 (2019). Lapisan warna-warna sejuk dan panas disusun secara menegak dan ada diantaranya bertindih sesama sendiri untuk menjelmakan kesan warna yang lain. Mark Tan memperagakan cetak-saring hitam putinya berjudul Hive (2019). Formatnya yang unik memberi kesan visual yang tersendiri pada penghayat.


Faizal Suhif, pencetak muda yang prolifik ini sentiasa mempersembahkan cetak-cetakan yang unik meskipun dalam hitam putih. Keunikan cetakannya bukan sekadar pada aplikasi tekniknya semata, formatnya juga harus diberi perhatian. Sepohon Sepi (2019) dihasilkan dari aplikasi teknik potongan simen. Lanskap mujarat sememangnya begitu sinonim dengan pencetak muda ini.


Pencetak senior dari Indonesia, Setiawan Sabana juga selesa dengan tema abstak. Nature II (2016) cetakan hitam putih dalam format lanskap ini dihasilkan dari teknik cukilan kayu. Imej boleh ditafsirkan sebagai riak-riak air. Apple Skin I (2019) oleh Syahrizal Pahlevi juga dari Indonesia punya kekuatan yang tersendiri. Cukilan kayu kayu berwarna minimal ini berjaya menimbulkan impak visual yang kuat kesan dari pengaplikasian warna yang kontras atas latar putih kertas. Pencetak bijak mengambil tawaran yang diberikan oleh sifat permukaan kayu yang dipilihnya. Rupa-rupa organik yang kuat dan kesan tekstura yang nipis bagaikan membentuk ruang dalam format.


Beyond 9 (2018), oleh pencetak dari Taiwan ini juga mengambil peluang atas sifat permukaan kayu yang dipilihnya. Lapisan warna-warna sejuk mendominasi formatnya, hanya sedikit warna panas disarankan untuk menimbulkan kesan kontras. Rupa-rupa organik bertaburan dalam format untuk memberi satu penyataan visual kepada penghayat.


Dariusz Kaca, pencetak dari Poland dengan judul The Lunar Nocturne II (2018) cukilan lino hitam putih memperlihatkan alam yang dimujaratkan. Pencetak mahir mengcungkil kepingan linonya untuk menghasilkan tekstura kecil yang akhirnya membina pelbagai rupa dan kualiti tona, seterusnya menyarankan kepada penghayat satu permandangan alam yang mujarat.


Janne Laine memperagakan Big Seed (2017). Cetakan berwarna ini hasil kombinasi teknik spit bite aquatint, carborundum dan dry point. Antara pencetak-pencetak lain yang turut mengasilkan cetakan bertema abstrak ialah Karen Kunc-Amerika (Large Stone, 2017), Koari Asanuma – Jepun (Self-Potraits G, 2018), Josée Wuyts & Frans de Groot-Belanda (Castle, 2018), Ivan Ninov Bulgaria (Sign, 2017), Jadranka Njedogan-Crotia (Botanische Notities 3, 2017) dan beberapa pencetak lain.


Kesimpulan


KLIMEX 2019 mempersembahkan cetakan dalam pelbagai tema, gaya dan teknik. Tema figura (manusia, haiwan dan potret) dikesan mendominasi pada tahun ini. Stil-life dan abstrak terus menjadi tema pilihan pencetak. Lanskap juga terus diraikan. Kepelbagaian teknik yang ada tidak menjadi halangan dalam proses penghasilan cetakan. Teknik tradisional dan moden terus diraikan oleh pencetak serata dunia.


Adalah diharapkan KLIMEX terus berkembang dalam proses kelangsungan seni cetak tempatan. Syabas kepada Segaris Art Center dalam usaha meraikan bidang seni yang tertua ini dengan membuka peluang dan ruang kepada bakat-bakat baru pencetak tempatan untuk memperagakan karya cetakan mereka bersama pencetak dari luar negara. Pameran ini menambahkan lagi iklim seni cetak tempatan.



Jamil Mat Isa, Ph.D.

Fakulti Seni Lukis & Seni Reka

Universiti Teknologi Mara, Shah Alam






Rujukan :-


Mohd Jamil Mat Isa (2017). The Development of Style in Malaysian Printmaking: 1930-2000. (Tesis Ph.D). Universiti Teknologi MARA: Shah Alam


Terap:Contemporary Malaysian Printmaking. Katalog Pameran. 24 Julai – 7 Ogos 2016. Segaris Art Center: Kuala Lumpur


Kuala Lumpur International Miniprint Exhibition 2018 (KLIMEX18). Katalog Pameran.12 April – 13 Mei 2018. Balai Seni Lukis Negara: Kuala Lumpur



28 views0 comments

Recent Posts

See All
bottom of page