*penulisan merupakan ulasan untuk buku bertajuk – Teknik Seni Cetak oleh Latiff Mohidin.
Seni cetak bermula apabila manusia ingin berkongsi maklumat, gambar atau tulisan dengan ciri dan rupa yang sama. Dari kemurnian ini datang pula keinginan berkomunikasi. Dari itu manusia mula berfikir untuk mencipta berbagai medium berkesan untuk tujuan tersebut. Sejarah seni cetak bermula sangat lama sejak 3000 tahun dahulu di Sumeria, dengan membuat kesan gurisan diatas batu dan tulang. Di abad kedua pula orang Cina sudah mula mengecap mohor menggunakan dakwat dari jelaga dengan blok gurisan batu yang dicetak di atas kertas yang dilembabkan. Orang Mesir kuno pula di abad ke enam dan ke tujuh sudah mula mengecap dan mencetak kain dengan menggunakan blok kayu. Ketika ini juga sami-sami Buddha mula mencetak gambar dan tulisan suci di atas kertas dengan teknik potongan kayu. Bertujuan bukan sahaja untuk pulihara malahan menyebarkan ajaran Buddha itu sendiri.
Kegiatan ini dipacu pesat oleh pengeluaran kertas di zaman Dinasti Tang (618-907). Lalu sami-sami Buddha di Tripitaka mencetak skrol dari 130,000 kepingan blok kayu (972-83). Di Sepanyol pembuatan kertas secara komersial di Xativa dan Toledo pada 1151 juga membantu seni cetak berkembang. Di tahun 1400 barulah seni cetak timbul bertunas di Eropah. Dari seni cetak timbul yang berasal dari timur, maka di abad kelima belas seni cetak benam pula muncul di Jerman. Kesenian ini juga berasal dari tukang hias logam dan pembuatan senjata di sebelah timur. Kaedah cetak benam atau intaglio merangkumi turisan (engraving), gurisan asid (etching), turis kering (dry point), akuatin dan mezotin. Amnya seni cetak berkembang di Jepun dan Eropah di abad kelapan belas.
Paling menarik jika diteliti, sejarah seni cetak hari ini bermula dari kerja asasi harian. Tetapi kerana halusnya pengamatan seniman maka ia berkembang subur kearah kesenian sejagat yang begitu luas praktiknya. Ini dapat di lihat di Itali apabila muncul seniman Giovani Tiepolo, William Hogarth pula di England dan Kitagawa Utamaro di Jepun dan seterusnya Francisco de Goya di Sepanyol yang begitu mahir dan terkenal dalam bidang ini. Setelah seni cetak berkembang, muncul pula teknik lithografi pada 1786. Teknik ini menarik kerana menggunakan unsur alam iaitu minyak dan air tidak menyatu. Maka ramai seniman Eropah seperti Delacroix, Manet, Touluse Lautrec, Degas dan Munch menggunakan teknik tersebut. Tambahan pula apabila negeri Peranchis menguasai kesenian di Eropah pada abad ke sembilan belas maka dengan sendirinya makin ramai seniman yang melibatkan diri dalam seni cetak. Terutama Honore Daumier, Manet, Degas dan Pissaro yang membuat begitu banyak gurisan asid dan lithografi.
Walaupun kekuasaan Peranchis pada kesenian Eropah berterusan hingga abad dua puluh namun negara Jerman telah menjadi pusat perkembangan seni cetak pada ketika itu. Seniman seperti Picasso, Miro, Kandinsky, Chagall, Klee serta Matisse berlumba menghasilkan karya cetakan mereka dengan begitu banyak sekali. Tidak dinafikan perdagangan antarabangsa juga membantu perkembangan seni cetak dunia, contohnya seni cetak gaya Ukiyo-e dari Jepun begitu banyak digunakan untuk menghias barangan eksport mereka ke Eropah. Lantas ramai pula seniman Eropah seperti Gaugan, Van Gogh dan Toulouse Lautrec serta yang lain terpengaruh. Begitu juga sutera saring yang berasal dari negeri Cina datang ke Eropah dan ke Amerika melalui perdagangan.
Dalam bahagian sejarah, penulis membawa kita terbang jauh ke benua besar. Ditekankan bahawa seni cetak adalah satu tradisi kesenian yang penting dalam sejarah seni tampak dunia. Ia sebuah praktik kesenian setanding dengan kesenian yang lain. Kemudian beliau menggamit rendah ke daerah Nusantara yang penuh tradisi. Masyarakat Nusantara sudah mula menjalankan aktiviti cetakan sejak di zaman Neolitik kira-kira 3,000 tahun dahulu. Mereka sudah pandai mengambil kesan dari kulit kerang, ukiran kayu yang primitif untuk dipindahkan ke tembikar, piala, azimat dan lain-lain. Kegiatan melekap atau menerap berulang-ulang ini sudah lama turun temurun. Orang tua kita sejak dari dulu sudah menerap atau membuat kuih dari acuan kayu, ayan dan loyang. Ini adalah proses ulangan yang merupakan foundamental cetakan. Apa lagi batik cap yang menjadi pakaian harian merupakan contoh paling hebat. Cuma kerana kita memakainya setiap hari setiap waktu maka unsur seni cetak itu menjadi lali lalu alpa untuk kita dari memahami nilai kebijaksananya. Begitulah juga telepok yang menambah kemewahan busana. Asasi seni cetak itu sudah lama bertapak di Nusantara cuma pengendalian dan matlamatnya menyeluruh, berbeza dari seni cetak moden yang condong kepada penghayatan seni semata mata.
Perdagang pasti membawa sesuatu yang baru. Maka pada 1846 mesin cetak berciri industri pertama di bawa ke Melaka bertujuan untuk mencetak akbar, hasil sastra dan sebagainya. Tetapi sekarang yang paling menarik untuk kita imbau adalah sejarah seni cetak moden atau kontemporari di Nusantara yang dipelopori oleh beberapa orang seniman seperti Mokhtar Apin di Bandung, Chalood Nimsamer di Bangkok, Manuel Rodriguez Sr di Manila dan Lee Joo For di Kuala Lumpur. Inilah barisan seniman yang merintis seni cetak moden Nusantara di tahun 60 dan 70an. Kalau di Filipina mereka ada buku ‘Okir-The Epiphany of Philippine Graphic Art (1982), di Indonesia mereka ada buku Setengah Abad Seni Grafis Indonesia (2000). Mungkin akan datang buku ini akan menjadi mangkin untuk sebuah dokumentasi sejarah seni cetak Malaysia.
Dalam bab teknik cetak, penulis memperkenalkan tentang teknik kontemporari yang biasa diamalkan di sekolah, pusat pengajian tinggi dan studio-studio pelukis seperti cetak timbul dan tinggi, cetak dalam dan benam, cetak saring, cetak datar dan cetak sekali. Sayugia diingatkan bahawa buku ini tidaklah menjanggau kepada sebuah manual seni cetak. Ia lebih kepada sebuah pengenalan. Di bahagian keempat kita pula di dedahkan kepada peralatan untuk berkarya. Ini kerana untuk melibatkan diri dalam bidang tersebut ia memerlukan alat-alat yang khusus. Mungkin penulis begitu prihatin kepada pelajar-pelajar menengah yang berminat tapi masih kabur bagaimana harus untuk memulakannya. Dari gaya penulisan buku ini begitu mudah difahami. Cuma yang terasa janggal adalah istilah yang digunakan oleh penulis. Jika kita teliti istilah ‘terap’ itu sudah menjadi amalan di daerah Nusantara sejak dari dulu lagi lalu berkembang kepada istilah seni cetak. Oleh itu istilah ‘printmaking’ yang digunakan dalam buku ini mungkin boleh dilupakan buat sementara. Kalau di Indonesia seniman yang berkarya dalam bidang ini di panggil pegrafis, adakah mungkin perlu kita meminjam istilah? Ada kalanyanya istilah teknikal sukar untuk diterjemah, tetapi usaha ke arah itu sudah ada (sila rujuk buku glosari seni lukis, terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, 1996). Bahasa itu ibarat manusia, untuk terus hidup ia harus makan dan meminjam. Kalau perlu mesti berani untuk mencipta istilah baru!
Di bahagian terakhir sebelum glosari, kita dapat melihat karya-karya seni cetak dari pelbagai teknik yang dihasikan oleh penulis sejak beliau masih lagi seorang pelajar di Eropah di tahun 60an. Juga termasuk karya-karya cetakan beliau semasa pengembaraanya di New York, Peranchis dan Anak Alam di Kuala Lumpur. Terdapat 35 plat penuh warna karya beliau dalam buku ini. Bagi seorang pelajar yang ingin membuat kajian terhadap karya seni cetakan Latiff Mohidin buku ini juga begitu membantu. Tetapi bagi seorang peminat seni visual buku ini merupakan satu buku pengenalan yang manafaat untuk menambah ilmu kerana seni cetakan merupakan satu cabang seni visual yang penting dalam sejarah.
Comments