top of page

Seni Cetak Kontemporari Malaysia

Updated: Apr 29, 2021

Oleh Muliyadi Mahamood



Hasil penulisan tentang perkembangan seni cetak di Malaysia masih terlalu kurang jika dibandingkan dengan seni catan. Seperti seni arca, seni cetak tidak begitu mendapat perhatian dalam perkembangan awal seni lukis kontemporari Malaysia kerana perkembangan sejarah seni moden lazimnya dilihat dari sudut sejarah seni catan. Hal ini diburukkan oleh hakikat bahawa seni cetak hanyalah kegiatan “seni pinggiran” bagi karyawan catan pada peringkat awal perkembangan seni lukis kontemporari Malaysia.


Fenomena ini menyebabkan seni cetak terpinggir, meskipun dari sudut sejarah, seni cetak berkembang seiringan dengan seni catan sewaktu era penjajahan Inggeris. Bastin dan Rohatgi dalam kajian mereka menyebut bahawa penemuan teknik cetakan akuatin telah memungkinkan keindahan landskap tanah jajahan yang dirakamkan menerusi lukisan dan catan pelukis Barat sekitar 1786 hingga 1824 dipindahkan dalam bentuk seni. Dalam konteks ini, seni cetak turut memainkan peranan dalam mempopularkan tema landskap dalam kegiatan seni lukis era penjajahan.


Antara faktor lain yang menghalang seni cetak berkembang sebaik catan adalah kerana disiplin seni ini memerlukan persediaan kelengkapan yang besar kos perbelanjaannya seperti penyediaan bengkel dengan peralatan-peralatan khusus. Hal ini tidak memungkinkan kegiatan seni cetak dilakukan secara serius oleh kebanyakkan pelukis, kecuali mereka yang benar-benar komited.

Sulaiman Esa, Waiting for Godot, 55×39 cm, Gurisan (Etching) 1977

Di samping faktor-faktor fizikal ini, seni cetak turut dihimpit oleh kecenderungan khayalak dan institusi seni yang secara umumnya lebih memihak kepada seni catan, baik dalam konteks penaungan, pemilikan, mahupun penganjuran aktiviti serta pemeran. Kefahaman khayalak terhadap konsep dan etika disiplin seni cetak asli masih diragukan, serta lenyapnya batasan dalam mentakrifkan cabang-cabang seni halus juga merugikan bidang seni cetak. Di samping itu, kemunculan seni digital yang berlandaskan kemajuan teknologi komputer turut mencabar kewibawaan bidang seni cetak dalam mengharungi arus perkembangan seni lukis negara. Justeru, kepentingan pengertian seni cetak semakin dipersoalkan.

Perkembangan awal seni cetak kontemporari di negara ini boleh dirujuk kepada kegiatan seni cetak potongan kayu oleh pelukis-pelukis Akedemi Nanyang di Singapura pada akhir tahun 1940-an. Tidak seperti kegiatan seni catan awal pada akhir tahun 1920-an yang tertumpu pada tema landskap alam semula jadi yang romantis, karya seni cetak awal lebih banyak menggambarkan suasana kehidupan seharian masyarakat, seperti kehidupan pekerja buruh kasar, peniaga, dan kehidupan penduduk di kawasan setinggan dan kampung Melayu. Hal ini ada kaitan dengan prinsip seni pelukis Nanyang, kecenderungan media massa, dan pengaruh seni cetakan kayu Cina.


Meskipun kecenderungan merakamkan pemandangan tempatan menjadi trend umum pelukis-pelukis nanyang sejak penubuhannya pada tahun 1938, terdapat sekumpulan pelukis muda akademi itu pada akhir tahun 1940-an yang lebih berminat menggambarkan tema kemasyarakatan.


Perkembangan tema dan gaya seni lukis kontemporari Malaysia pasca merdeka banyak dipengaruhi oleh faktor pendidikan. Pada dekad 1950-an, dua kumpulan pelukis yang penting telah ditubuhkan di Kuala Lumpur, iaitu Wednesday Art Group (1952) dan Angkatan Pelukis Semenanjung (1956), Ketika negara belum mempunyai sekolah seni lukis secara formal, kedua-dua kumpulan ini memainkan peranan besar dalam mengembangkan seni lukis menerusi kelas-kelas lukisan yang dianjurkan.


Pada tahun 1954 program latihan guru seni lukis diperkenalkan di Institut Perguruan Ilmu Khas untuk melahirkan guru-guru terlatih dalam mengendalikan mata pelajaran seni lukis di sekolah-sekolah. Kesedaran akan pentingnya pendidikan seni serta kekurangan guru-guru terlatih memungkinkan lebih ramai pelukis dihantar belajar ke luar negara bagi mendalami bidang seni. Antara mereka ialah Tay Hooi Keat, Syed Ahmad Jamal, Abdul Latiff Mohidin, Lee Joo For, Yeoh Jin Leng, Ismail Zain dan Ibrahim Hussein. Pada dekad 1960-an lebih banyak pelukis menuntut di luar negara, seperti Redza Piyadasa, Sulaiman Esa, Joseph Tan, Long Thien Shih, Loh Foo Sang, Hashim Hassan dan Ahmad Khalid Yusof.



Ahmad Khalid Yusoff, Alif Ba Ta, 83×65 cm, Cetakan sutera saring 1971



Lee Joo For dan Abdul Latiff Mohidin adalah antara pelukis negara yang aktif menghasilkan karya seni cetak pada dekad 1960-an. Meskipun begitu, seni cetak umumnya masih bersifat sampingan kerana kerja kreatif utama pelukis Malaysia ketika itu ialah catan. Menerusi cetakan gurisan asid dan potongan lino, Lee Joo For menggabungkan jalinkan imejan-imejan kepelbagaian budaya yang dipinjam daripada kesenian tradisi Jepun, India dan malahan daripada karya-karya pelukis moden seperti Matisse, Picasso dan kubisme.


Meskipun kegiatan seni cetak masih bersifat pinggiran, terdapat juga beberapa pameran khusus mengenainya di Kuala Lumpur pada sekitaran dekad 1960-an itu. Antaranya pameran seni cetak potongan kayu Akedemi Nanyang (1966) dan pameran gurisan asid pelukis Atelier 17 Paris di Galeri Samat (1968). Pameran-pameran seumpama ini telah mendedahkan khayalak, terutamanya guru-guru dan murid-murid sekolah akan keunikan seni cetak, justeru telah mempopularkan bidang seni cetak potongan lino di sekolah-sekolah. Edward Pragasam adalah antara guru seni cetak yang gigih mendidik pelajar-pelajarnya seni cetakan lino di Sekolah Menengah Baki Johor Bahru pada sekitar 1970-an.


Menjelang akhir tahun 1960-an, lebih banyak pelukis tempatan melanjutkan pengajian di luar negara. Antara mereka yang turut menyumbang ke arah perkembangan gaya dan tema seni cetak di negara ini ialah Sulaiman Esa, Long Thien Shih, Loo Foh Sang dan Ahmad Khalid Yusof. Long Thien Shih, Loo Foh Sang dan Abdul Latiff Mohidin mengikuti pengajian seni cetak di Atelier 17, Paris pada akhir dekad 1960-an.


Ahmad Khalid Yusof yang menuntut di Wichester School of Art di England (1965-69) banyak menghasilkan karya seni cetak sutera saring pada tahun 1970-an, begitu juga dengan Lee Kian Seng yang belajar seni cetak di Institut Seni Cetak Tokyo, Universiti Seni Halus Jepun. Sumbangan para pelukis ini dalam perkembangan gaya dan tema seni cetak Malaysia begitu menyerlah mulai tahun 1970-an.


Long Thien Shih dalam tulisannya menyebut bahawa pada akhir tahun 1960-an, karya seni cetak terus terpinggir oleh kepopularan seni catan abstrak dan seni catan bukan objektif. Seni cetak yang berukuran kecil tidak dapat bersaing dengan karya catan yang besar. Dalam keadaan seni cetak terus terhimpit, kegigihan beberapa pengkarnya untuk terus mengetengahkan seni cetak telah memastikan ia tidak terus terkubur.Dalam konteks ini,penglibatan para lulusan Atelier 17, Paris seperti Long Thien Shih, Loo Foh Sang, Abdul Latiff Mohidin dan Sulaiman Esa serta karyawan-karyawan lain seperti Lee Joo For, Ahmad Khalid Yusof dan Lee Kian Seng amat penting dalam meneruskan tradisi seni cetak kontemporari di negara ini.


Pada tahun 1970 seni cetak menerima nafas baru apabila ditawarkan sebagai satu bidang pengkhususan di samping catan dan arca dalam program diploma seni halus di Kajian Seni Lukis dan Seni Reka (KSSR), Institut Teknologi MARA (ITM). Antara tenaga pengajar ketika itu ialah Abdul Latiff Mohidin, Sulaiman Esa, Lee Kian Seng dan Kok Yew Phuah. Penawaran seni cetak sebagai satu bidang pengkhususan dalam program seni halus di KSSR, ITM telah berjaya menghasilkan banyak pengkarya seni cetak yang utama di negara ini seperti Ponirin Amin, Mansor Ibrahim, Ismail Latiff, Juhari Said, Awang Damit Ahmad, Rahime Harun, Bahaman Hashim dan Mohd Jamil Mat Isa.


Sistem kurikulum yang membolehkan pelajar memilih bidang pengkhususan major dan minor daripada cabang-cabang seni catan, arca dan cetakan telah memungkinkan pelajar-pelajar di institusi itu terdedah kepada seni cetak. Hasilnya mereka kenal dan mampu menghasilkan karya seni cetak, kalaupun tidak menjadikannya sebagai medium ekspresi estetik yang utama.


Ada antara lulusan seni cetak itu yang melanjutkan pengajian di luar negara dalam bidang seni cetak itu yang melanjutkan pengajian di luar negara dalam bidang seni cetak dan kembali sebagai tenaga pengajar misalnya Ponirin Amin (West Surrey School of Art and Design, Manchester Polytechnic UK), Abdul Mansor Ibrahim (Atelier 17, Paris), Bahaman Hashim (School of Art Institute, Chicago) dan Mohd. Jamil Mat Isa (University of Central England).


Juhari Said pula menerima anugerah penyelidikan daripada Kerajaan Perancis untuk mengikuti pengajian seni cetak di Paris pada tahun 1993 dan anugerah daripada Japan Foundation untuk mengikuti pengajian seni cetak tersohor Jepun Yoshisuke Funasaka. Dalam barisan nama pelukis tanah air, Juhari Said muncul sebaga salah seorang pengkarya seni cetak sepenuh masa yang paling profilik, gigih, konsisten dan berjaya.


Selain penawaran seni cetak sebagai bidang pengkhususan program seni halus di institusi-institusi pengajian tinggi tempatan, suasana sihat seni cetak pada dekad 1970-an turut tercermin menerusi panganjuran pameran dan pertandingan seni cetak oleh Balai Seni Lukis Negara. Lee Kian Seng memenangi hadiah utama menerusi karya of Image Object, Illusion off Series Mechanism dalam Pertandingan Terbuka Seni Lukis dan Cetakan Grafik 1971 anjuran ESSO dan dikelolakan oleh Balai Seni Lukis Negara. Pameran Terbuka dan Pertandingan Seni Cetak Kebangsaan pada tahun 1974 yang bertujuan menghidupkan minat terhadap seni grafik di negara ini menerima 196 karya daripada 41 peserta.Karya serigrafi Raja Zahabuddin Raja Yaacob yang berjudul Luar dari yang Tidak Diketahui memenangi hadiah utama.Dalam Salon Malaysia 1978/79, karya Ponirin Amin berjudul Di Atas Pentasmu Nan Sepi dan karya Ismail Latiff Lembah Binaan memenangi anugerah Frank Sullivan.


Tema dan gaya seni cetak tidak terpisah daripada isu-isu berkaitan kebudayaan dan kesenian setempat, terutamanya dalam persoalan mencari identiti. Setelah gaya seni abstrak Barat mendominasi seni lukis dekad 1960-an, para pelukis berusaha mencari pengucapan seni yang baru bersesuaian dengan rupa dan jiwa setempat, di samping mempersoalkan gaya sedia ada. Justeru, muncul kumpulan pelukis yang berusaha mencari gaya estetik alternatif menerusi pameran-pameran seperti The New Scene (1969), Experiment 70 (1970), dan Dokumentasi 72 (1972). Pelukis-pelukis yang terlibat dalam pameran-pameran ini ialah Redza Piyadasa, Sulaiman Esa, Tan Teong Eng, Tan Teong Kooi, Tang Tuck Kan, dan Choong Kam Kow.


Mohamed Ali Abdul Rahman dalam kajiannya Modern Malaysian Art : Manifestation of Malay Form and Content antara lain menghuraikan aspek-aspek rupa dan jiwa melayu dalam karya-karya seni tempatan terjelma menerusi rujukan para pelukis terhadap kesusasteraan dan mitologi ; agama,kepercayaan dan adat ; alam semula jadi, kuasa ghaib dan luar biasa ; serta hikayat dan lagenda. Sumber-sumber asas ini diolah oleh para pengkarya menerusi tatabahasa visual yang pelbagai.


Pendekatan figuratif dalam seni cetak digunakan oleh Long Thien Shih dan Lee Kian Seng dalam menyelesaikan persoalan identiti. Long Thien Shih menerusi cetakan gurisan asid Not Yet, But It’s Going To Happen (1971) dan Roh-roh yang Mentertawakan Kita (1975) menggabung jalinkan unsur-unsur jenaka dan surealistik bagi membangkitkan isu kemanusiaan dan alam sekitar. Lee Kian Seng pula menggunakan ciri-ciri seni pop melalui teknik serigrafi dan batik untuk menggarap isu-isu jati diri dan identiti seperti dalam Of Image Object, Illusion off Series Mechanism (1971) dan Yin Yang Series Soul and Form … Sound (1973/74).


Persoalan identiti, terutamanya isu pertembungan atau konflik nilai Timur Islam dengan Barat telah dikupas oleh Sulaiman Esa menerusi karya cetakan gurisan asid yang kontroversi berjudul Waiting For Godot (1978). Pertentangan nilai itu dikiaskan oleh pelukis menerusi imejan figura wanita bogel yang mewakili budaya barat dengan ragam hias seni bina Islam bagi mewakili nilai-nilai Islam.


Dalam konteks seni lukis kontemporari Malaysia, Piyadasa menyifatkan salah satu sumbangan besar Sulaiman Esa dalam dunia seni lukis tempatan adalah menerusi bidang seni cetak yang diceburinya. Menjelang pertengahan 1980-an, Sulaiman Esa menemui identiti keislaman dalam seninya menerusi karya-karya abstrak motif Islam ke Arah Tauhid


Kongres Kebudayaan Kebangsaan mempengaruhi terutamanya bentuk dan makna karya-karya seni cetak pelukis Melayu dan lulusan KSSR, ITM. Ahmad Khalid Yusof menerusi catan dan cetakan sutera saring seperti Alif Ba Ta (1971) menggunakan huruf-huruf Jawi sebagai motif seni yang bukan sahaja menyelesaikan masalah ruang dan permukaan karya malah menjawab kepada persoalan mencari identiti seni berteraskan nilai-nilai tradisi dan keislaman. Dalam konteks ini, dia telah sejak awal 1970-an menyelesaikan isu-isu yang dibangkitkan dalam Kongres Kebudayaan Kebangsaan.


Di samping Ahmad Khalid Yusof, nafas kesenian Islam turut terjelma dalam karya-karya cetakan Ponirin Amin, lulusan dan tenaga pengajar di ITM. Berbeza daripada Ahmad Khalid Yusof yang menggunakan Jawi, Ponirin memindahkan petikan-petikan ayat suci al-Quran ke dalam karya seni cetaknya, justeru menghubungkan secara langsung tradisi seni cetak kontemporari Malaysia dengan pendekatan seni Islam.


Karyawan-karyawan lain yang turut merujuk kepada aspek-aspek tradisi dan peribumi ialah Victor Chin, Ilse Noor, Tay Chee Toh, Ismail Latiff, Othman Mansor, Lai Loong Seng, Mansor Ibrahim, Juhari Said, Awang Damit Ahmad, Mohd Jamil Mat Isa dan Wan Jamarul Imran.

Antara pengucapan unik yang tercermin dalam karya-karya Juhari Said, merujuk kepada peribahasa dan simpulan bahasa sebagai asas subjek dan pengerak bentuk serta mesej, seperti dalam karya Katak Nak Jadi Lembu (1999) dan Bila Telunjuk Menunding ,Tiga Jari Menunding ke Arah Kita (1996). Rujukan terhadap kedua-dua cabang kesusasteraan tradisi ini amat menarik dan segar, kerana sebelumnya banyak karyawan merujuk kesusateraan tradisi sebagai sumber ilham, tetapi lebih tertumpu pada aspek-aspek sejarah, hikayat dan legenda.


Namun begitu,sebelum menemui siri karya berasaskan peribahasa dan simpulan bahasa ini, Juhari telah melewati beberapa tahap penting dalam kariernya : era percubaan (1982/83) ; pencarian subjek kukuh (1984/85) ; siri taman (1986/89) ; siri baju kurung (1990/92) ; dan printmaker’s drawing : baju kurung no. 1-9 (1993). Karyanya Tiga Cawan Kopi (potongan kayu dan lino,1991) memenangi hadiah utama bahagian seni cetak dalam salon Malaysia 1991/1992. Percubaan beberapa karyawan memperkenalkan teknik cetakan komputer dari satu sudut memperluaskan kemungkinan baru dalam pengolahan tatabahasa visual seni itu, dan dari satu sudut yang lain memperjudikan nilai seni cetak asli dengan mengaburkan definisi dan etika penghasilannya.


Penerimaan karyawan dan khayalak seni cetak terhadap cetakan komputer Kamarudzaman Md Isa Tanpa Tajuk (1985), ataupun karya-karya Ismail Zain Al Rumi (1986) dan Happy Birthday, Mr. Parameswara (1987) sebagai seni cetak asli, masih boleh dipertikaikan. Namun begitu, dalam era pluralis yang menyaksikan peranan seni berpihak kepada suatu wadah pernyataan, apa jua bentuk seni yang dilihat daripada persepsi konvensional akan berdepan dengan pelbagai cabaran dan kemungkinan. Jika direnungkan kembali serta dibandingkan dengan perkembangan pada dekad 1940-an hingga akhir 1960-an, seni cetak di negara ini ternyata telah melalui satu proses perubahan yang memberansangkan, sama ada dari segi tema mahupun gaya, ataupun penerimaan khayalak dan institusi seni secara umumnya.


Dalam era pluralis yang memberi banyak ruang serta kebebasan untuk pelukis berkarya tanpa dikongkong oleh batasan perngertian bentuk seni, kefahaman khayalak terhadap konsep dan etika disiplin seni cetak asli sewajarnya diperkukuhkan. Lenyapnya batasan dalam mentakrifkan seni cetak asli hanya akan merugikan bidang seni cetak itu sendiri.


Kemunculan seni digital yang berlandaskan kemajuan teknologi komputer turut mencabar kewibawaan bidang seni cetak dalam mengharungi arus perkembangan seni lukis negara. Justeru,pengertian serta etika menghasilkan seni cetak asli sewajarnya dipelajari dan dipertahankan, di samping menggunakan kemajuan teknologi sebagai pengukuh dalam proses pengkaryaan.



MULIYADI MAHAMOOD

Dewan Budaya Julai 2003



656 views0 comments

Recent Posts

See All

Commentaires


bottom of page