Oleh A. Rahman Haji Mohamed
studio seni cetak
Tinjauan terhadap beberapa pameran seni cetak kebangsaan yang dianjurkan oleh Balai Seni Lukis Negara mendapati perkembangan seni cetak di Malaysia agak perlahan jika dibandingkan dengan medium-medium seni lain seperti catan, arca malah seni video dan seni media baru. Seperti yang terdapat di banyak tempat, seni cetak dianggap sebagai seni sampingan sahaja. Keadaan ini agak berbeza dengan keadaan di Filipina. Sejak dari awal tahun 1960-an, arena seni lukis di sana telah dilanda arus seni cetak sebagai wadah seni perdana seiring dengan seni catan. Hal ini berlaku sebaik sahaja kepulangan beberapa senimannya yang ditaja pengajian mereka di Pratt Graphics Center, New York oleh Yayasan Rockefeller (Benesa, 1975). Di Malaysia pula, negara ini bukanlah kekurangan seniman yang mendapat latihan dalam bidang seni cetak tetapi terdapat ramai seniman dan pelajar seni yang mendapat didikan dalam bidang ini semasa mereka berada di universiti atau kolej seni di dalam mahupun di luar negara.
Pelajar yang mendapat pendedahan dalam bidang seni cetak di Malaysia ialah mereka yang mengikut pengajian seni lukis dan seni reka di Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Sains Malaysia (USM), Central College of Art, Malaysian Institute Of Art (MIA) dan beberapa universiti dan kolej seni yang lain. Selain itu, terdapat juga guru-guru yang telah menjalani kursus khas guru seni di Maktab Perguruan Ilmu Khas, Cheras yang didedahkan kepada bidang seni cetak sejak tahun 1965 lagi. Maktab tersebut dilengkapi dengan mesin cetak untuk gurisan asid, mesin cetak litografi untuk plat aluminium dan plat zink serta mesin kecil untuk cetakan cap peras.
studio seni cetak
Comments