top of page

Unsur Seni Cetak Sebagai Gandingan Dalam Karya Choong Kam Kow

Updated: May 20, 2021


Oleh Muhammad Juhari Muhammad Said

Penulis tamu


“Bila awak semua habis melukis. berus yang digunakan mestilah dicuci dengan turpentine sehingga bersih. Selepas itu dicuci dengan sabun. Kemudian direndam pula dengan air panas lalu dikeringkan. Faham?”


Begitulah bunyi arahan yang saya terima 33 tahun yang lalu dari Choong Kam Kow ketika beliau baru pulang dari New York. Beliau sebagai pensyarah yang baru tiba setelah menjalani Fullbright Research dan saya pula adalah pelajar tahun tiga di Jabatan Seni Halus, Institut Teknologi Mara, Shah Alam. Displin ini walaupun suda begitu lama diperdengarkan tetapi bukti kesungguhan itu tetap dapat dilihat dari dua batang berus bersaiz 7sm yang pernah digunakannya di tahun 60-an tetap lagi tersimpan dengan begitu baik di studio beliau hingga kini.


Ada ketikanya pula sedang saya asyik melukis, seorang pensyarah bernama Tang Tuck Kan akan datang merapati saya. Dengan berbisik beliau memberitahu bahawa warna di palet saya lebih baik dari catan landskap yang sedang saya kerjakan. Terbakar? Tapi itulah suasana belajar ketika itu dimana ada waktunya hati pelajar dibentuk dan dibina sebaiknya. Disaat yang lain pula mereka boleh dipanggang hidup-hidup atau direbus sahaja.


Asuhan disiplin bekerja dalam studio, peraturan-peraturan yang mesti dipatuhi dan emosi yang sering tercabar sudah menjadi rencah kehidupan harian. Semakin lama ia menjadi darah daging, bersemadi bersama kerjaya dan kehidupan harian saya sehingga ke hari ini. Ternyata disiplin yang ketat dan emosi yang sering tercabar merupakan sebahagian dari resipi untuk menjadi manusia berhati kental dan bersemangat waja serta berjiwa besar. Tetapi itu ditahun 80-an, sekarang mungkin sudah berbeza agaknya dan cerita-cerita di atas adalah sebahagian kecil landskap kehidupan Choong Kam Kow di tahun 80-an yang sempat saya rakamkan.


Selain akal dan fikiran. peralatan serta bahan merupakan titik permula dalam sebuah pengkaryaan yang sejati. Peralatan begitu dihormati dan dijagai oleh golongan sebegini. Peralatan bagi mereka adalah ibarat bilah-bilah senjata yang akan dibawa untuk ke kancah peperangan yang mana hujungnya sebuah penyelesaian dan meraih kejayaan yang berpanjangan. Pernah saya belajar dengan seorang guru yang hanya membenarkan pelajar-pelajarnya menggunakan alat-alat yang dibuat sendiri. Untuk membeli sama sekali tidak diizinkan. Bayangkan ditahun 60-an dan 70-an seorang pelajar fotografi diwajibkan membuat kamera sendiri supaya mereka betul-betul faham tentang peranan cahaya pada sebuah kamera . Choong Kam Kow adalah merupakan salah seorang karyawan muda yang saban hari duduk dan berdiri dalam ruang lingkup dunia sebegini. Mungkin bagi generasi sekarang, cerita ini adalah sebuah keanehan. Boleh juga ditafsir sebagai satu situasi baru yang begitu asing. Atau bagi mereka barangkali ia perlu dijauhi sahaja kerana itu lebih menyenangkan.


Ketika berusia 29 tahun, Choong Kam Kow sudah pun menghasilkan karya-karya yang berupa media campuran. Ini adalah petanda-petanda awal dimana media campuran telah dijadikan satu sumber dalam pengkaryaan beliau. Bukan itu sahaja, malahan jika kita perhatikan ia sudah melarat menjadi satu ‘tabiat’ dalam sepanjang beliau berkarya. Karya- karya media campuran yang terawal dapat dilihat dalam siri-siri Kinta yang dihasilkannya pada tahun 50-an dan 60-an. Dua buah karya yang bertajuk “Village by Water” (1963) dan “Beautiful River Side 4” (1964) merupakan titik tolak yang penting dalam sejarah seni lukis Choong Kam Kow.

Village by the Water 1, 38x57cm, Cat air atas kertas, 1963

Beautiful River Side 4, 24x37cm, Cat air atas kertas, 1964

Kegemaran beliau dengan teknik media campuran telah mendasari kerja-kerjanya. Media campuran seperti menawarkan satu perluasan daerah dan juga sempadan dalam pengkaryaan serta mampu meningkatkan kreativitinya. Teknik media campuran berupa seperti penjanaan dan mekanisma dalam karya-karya beliau seterusnya. Baginya teknik serta proses yang pelbagai akan membina martabat sesebuah karya dan tidak disangkal lagi ini adalah sebagai mercu tanda dalam banyak karya-karya beliau. Unsur-unsur seni cetak paling jelas diperlihatkan sebagai gandingan mantap dalam eksploitasi media campuran dan teknik yang pelbagai dalam karya-karya beliau seterusnya.


Seperti yang dibincangkan pada peringkat awal tadi pendekatan Choong Kam Kow adalah begitu teknikal, teliti dan rapi sejak dari mula lagi. Dari peralatan yang digunakan sehinggalah kepada bahan-bahan dan teknik untuk berkarya, beliau amat berhati-hati kerana ini adalah begitu penting baginya. Dengan pendekatan tersebut secara tidak langsung beliau akan melalui proses-proses yang akan menerbitkan tatabahasa visual yang baru, menarik dan segar untuk dihayati. Dalam karya-karya awal siri Kinta, beliau cuba menerapkan unsur-unsur serta teknik yang agak maskulin dengan bantuan cat air Eropah diatas sapuan lembut cat air cina dipermukaan kertas nipis tradisi.


Sememangnya unsur-unsur Ying dan Yang sentiasa berada dalam lukisan-lukisan tradisi Cina tetapi ia lebih kepada falsafah yang digambarkan dengan simbol gunung dan awan atau batu-batu dan air sungai yang mengalir. Tetapi dalam konteks karya-karya dari siri Kinta pengertian serta falsafah Ying dan Yang itu lebih berupa pendekatan yang berciri dan berunsur teknik. Ini adalah sebuah lonjakan terawal yang penuh makna dan cukup menarik dalam sejarah permulaan kerjaya seni lukis Choong Kam Kow. Bermula dari sini kegemarannya meneroka media campuran terus berkembang subur dan membuka ruang- ruang kemungkinan yang lebih besar, jauh lagi bermakna baginya.


Pengalaman di New York dari 1965 hingga 1969 memang tidak dapat dinafikan telah banyak membawa pengaruh besar kepada karyawan Choong Kam Kow. Mengikut cerita dari beliau bahawa diawal 60-an lagi ibu kota New York adalah seperti ‘syurga pendatang’ yang mampu menawarkan segala kemungkinan, bantuan dan kepakaran dalam apa saja bidang yang kita ceburi. Cuma, tepuklah dada tanyalah selera.


Semasa diperantauan, beliau mendapat pendedahan yang begitu meluas dalam bidang dan teknik seni cetak. Sememangnya gelojak dan rangkaian seni cetak begitu memberangsangkan di New York di tahun 60-an dengan terdirinya begitu banyak studio senicetak dan penerbitan. Beliau mula berjinak-jinak dengan teknik cetakan seperti gurisan asid, litografi, sutera saring dan sebagainya. Ini dapat kita lihat dalam karya cetakan gurisan asid yang bertajuk “Conflict”(1967) dan lithografi yang bertajuk ‘Reclining Figure” (1968).


The Conflict 2/3, 45x45cm,Gurisan asid & kolografi 1967
Reclaining Figure 4/7, 34x44cm, Litografi, 1968


Secara peribadi beliau melihat kaedah menghasilkan seni cetak begitu berbeza dari bekerja untuk sebuah lukisan tradisional yang sering dihasilkannya. Walaupun teknik seni cetak pada asasnya menuntut ketelitian dan ketepatan, ini tidak bermakna ia sebagai sesuatu yang agak menyisih kepada keperibadian dan perwatakan Choong Kam Kow. Di sini beliau telah mula menggunakan eksperimentasi dengan alat cetakan iaitu roller sebagai berperanan seperti berus. Dengan bantuan roller beliau cuba untuk membuat teknik stensilan kepada rupa-rupa geometrik yang agak baru dan asing baginya ketika itu.


Ini dapal dilihat dalam karya media campuran yang bertajuk -Sea Beach (1967) yang mana begitu jelas Choong Kam Kow tetap teringat jauh akan pemandangan serta suasana lembah Kinta yang begitu banyak menyumbang kepada pembesaran nilai-nilai sosio budaya dan alam semulajadi dalam dirinya.

Sea Beach 1, 178x138cm,

Media campuran & cat minyak atas kanvas, 1967


Cuma apabila beliau berada disebuah kota metropolitan yang serba maju. ia sering tersentak dan dihimpit oleh persekitaran dan sosio budaya asing setempat. Ini menyebabkan berlaku refleksi semulajadi pada jiwa dan sanubarinya. Choong Kam Kow lalu menebarkan manifestasi itu dengan rupa-rupa geometrik yang berwarna-warni di atas permukaan jalinan kasar impasto di kanvas sebagai bayangan resah diri dan gundah hati ketika berada diperantauan.


Disini beliau meneroka teknik-teknik stensilan dengan lebih rapat, tepat dan lagi mencabar. Kalau dalam karya-karya Sea Beach”, 1967 stensilan itu berupa luahan dan manifestasi jiwa tapi dalam karya siri “Shaped Canvas ,1968 hingga 1972 ia adalah sebuah ‘stensilan mandotori’. Kerana itu adalah ciri-ciri karya ‘hard edge atau catan tepat. la mesti kemas terancang rapi, warna mesti jelas dan menggetarkan deria mata! Tidak ada kompronii. Dalam karya sebegini warna-wama dipisahkan oleh garisan-garisan 'implied’ dan diperkukuhkan oleh teknik stensilan yang mana merupakan satu kaedah bekerja dalam seni cetak. Ini dapat dilihat dalam beberapa karya bertajuk “Vibration” (1970) dan “Illusion” (1969).

Illussion , 122x122cm, Cat Imulsi atas kanvas, 1969

Vibration , 213x152cm, Cat Imulsi atas kanvas, 1970

Karya-karya ini mengingatkan saya kepada beberapa karyawan negara seperti Tang Tuck Kan dan Kok Yiew Puah yang pernah menghasilkan catan tepat dan juga Lim Eng Hooi yang pernah saya lawati beberapa tahun yang lalu di Pulau Pinang. Jelas sekali penghijrahan begitu banyak membuka kemungkinan serta ruang-ruang yang membawa kebaikan kepada yang peka dan bijaksana. Setelah menghasilkan karya-karya catan tepat, Choong Kam Kow sekali lagi meneroka penggunaan teknik stensilan dalam beberapa karya dalam “The SEA-THRU” Series. Cuma kali ini beliau bukan sahaja menggunakan papan lapis sebagai bahan, dia juga menggunakan kepingan-kepingan plastik akrilik yang distensil berbagai warna seolah-olah membentuk ruamg-ruang baru bila digabungkan. Karya-karya ini tampil seperti arca-arca dinding. Dengan penggunaan cermin dan bantuan cahaya karya-karya ini menular kepada ciri-ciri interaktif zamannya. Tanpa disedari jalur-jalur stensilan yang berwarna-warni itu adalah bibit-bibit permulaan rupa-rupa yang membawanya ke siri Festival, dimana bungkusan kuih tradisi serta anyaman kelarai menjadi rujukan-rujukan penting dalam siri ini.


Pada 1977, Choong Kam Kow telah menghasilkan sebuah cetakan foto sutera saring yang telah menjadi koleksi Metropolitan Museum of Art di New York. Karya ini bertajuk “5 Month Festival II” (1977). Gambar anak beliau dan kuih chang dengan berlatarkan tulisan Cina menjadi ciri-ciri utama dalam karya ini. Ini juga merupakan sebuah karya cetakan penting dalam siri Festival, dimana beliau sudah mula mencari dan menggali unsur-unsur persamaan dalam konteks budaya majmuk di Malaysia. Cetakan ini menjadi satu tanda bermulanya siri Festival yang begitu menarik, menyuarakan bukan sahaja pandangan peribadi karyawan tetapi mengajukan satu pemikiran, pendapat yang positif dan konstruktif. Karya ini merupakan sebuah karya cetakan tanpa teknik campuran, dan apabila Choong Kam Kow mahu meneruskan siri Festival ini, beliau sudah semestinya menggunakan ‘formula peribadi’ beliau iaitu media serta teknik campuran. Baginya cukup jelas dan yakin bahawa formula tersebut akan membawanya meneroka bagai sebuah kenderaan ke destinasi baru yang lebih meyakinkan dan menyeronokkan tatkala berkarya.

5 th Moon Festival, 1977, Artist collection

Dalam sejarah pendidikan awal kanak-kanak sebelum dan selepas merdeka kita perlu memahami bahawa perkembangan teknologi dan komunikasi tidaklah berada dalam situasi seperti kita yang ada sekarang ini. Oleh kerana yang demikian setiap generasi sebelum merdeka kebanyakannya terlatih dan sudah biasa dengan aktiviti -aktiviti kraf dan kerja-kerja tangan yang halus. Dari kecil kanak-kanak sudah diajar menganyam, mengukir, mengikat, bertenun, menjahit dan sebagainya. Kerja-kerja tangan sangatlah diperlukan ketika itu kerana zaman tersebut ‘masa' susah dan untuk membeli adalah ‘jauh’ sekali. Segalanya terpaksa dibuat sendiri termasuklah segala persediaan dan keperluan untuk menyambut sebuah jamuan atau perayaan dihari-hari yang dianggap istimewa bagi setiap bangsa di Malaysia.


Choong Kam Kow adalah karyawan yang lahir dari zaman tersebut. Beliau terlatih dengan kemahiran tangan yang bukan sahaja boleh membuat serta memelihara budaya tetapi juga mengembangkanya menjadi karya kesenian yang menarik dan penting dalam masyarakat Malaysia yang berbilang kaum. Sebagai seorang yang sudah sekian lama terlibat dalam pembuatan kerja- kerja tangan, dia mempunyai daya sensitiviti, kemahiran membuat dan kefahaman yang begitu tinggi terhadap bahan. Kemahiran itu terbukti apabila beliau banyak menggunakan bahan dari pulpa kertas dalam siri Festival dan ini adalah berupa keistimewaan untuk siri-siri tersebut. Bukan sahaja penggunaan pulpa kertas malahan juga bahan logam industri lain begitu berjaya dimanipulasi untuk meniru bentuk tiga dimensi objek-objek simbol dalam perayaan yang disatukan diatas permukaan karya-karya beliau. lni dapat dilihat dalam karya beliau yang bertajuk Festive Mood 2 (1987).


Peniruan dan eksploitasi bahan campuran ini agak berbeza dengan pendapat seniman-seniman minimalis dan konseptual ditahun 60-an, kerana mereka percaya bahawa penerokaan idea lebih penting dari bahan, dan bahan itu pula tidak semestinya kekal serta perlu bertahan lama. Maka secara tidak langsung pemikiran sebegini telah memperluaskan proses pengkaryaan aliran dan fahaman tersebut. Tetapi dengan sejarah dan latar belakang yang mantap dalam siri Festival, Choong Kam Kaw berupaya menjana bahan-bahan yang diolah sebagai simbol, identiti dan kemahiran kaum di Malaysia diatas satu platfom besar yang mampu mewarnai pemikiran, kewibawaan dan merungkai pandangan serta pendapat. Ia bukan sahaja karya yang membangun lagi menyegarkan tetapi sebagai wadah untuk kita semua dan wajar untuk dijadikan renungan bersama.


Dalam masa yang sama, objek-objek yang tertera sebagai sebuah karya seni itu seolah-olah menganjurkan kita agar merenung bahawa seni cetak itu bukan hanya di atas kertas dua dimensi sahaja malahan ia juga boleh dihasilkan dalam bentuk objek tiga dimensi seperti yang sering diajar oleh nenek moyang kita semasa berada didapur sejak dulu lagi. Perlu difahami bahawa seni cetak dihasilkan dari sebuah proses pembuatan yang diulang-ulang dengan bantuan acuan atau blok. Kadang-kala juga ia boleh disebut sebagai matrik. Ini adalah kerana kaedah seni cetak tradisi sudah memang begitu. Penggunaan blok atau matrik dalam berkarya itu bertujuan untuk menghasilkan karya yang serupa serta dapat dicetak berulang-ulang. Dengan cara yang demikian karya yang sama dapat dikongsi dan dimiliki oleh orang ramai dan dibeli dengan harga yang berpatutan. Juga kita juga perlu menyedari bahawa setiap karya dari seniman kreatif dan bijaksana akan berkembang lalu berubah mengikut zaman seperti yang berlaku dalam seni arca dan seni catan. Pentakrifan akan berubah mengikut masa apatah lagi pula bila kita berbicara tentang rupa serta gaya sesebuah karya. Begitu sering takrif seni cetak itu dilihat dari sudut teknikal yang begitu sempit dan kaku kerana definisi atau kategorinya selalu ditentukan oleh golongan peniaga dan ilmuan yang tidak berpengalaman dan bukan dari kearifan pemikiran seorang seniman. Maka secara tidak langsung perkembangan seni cetak itu menjadi mundur, jumud dan sering terencat kemajuannya kerana ia dilihat dengan penuh dengan syak wasangka walaupun karya itu penting, benar dan layak diketengahkan seperti seni catan dan seni arca.


Ekspedisi Ke Endau Rompin pada tahun 1985 yang merupakan satu kembara menyahut kempen pemuliharaan hutan tanpa disedari pula telah mendatangkan perasaan keinsafan, tanggungjawab dan kesedaran terhadap alam semulajadi. Beliau terjumpa begitu banyak tumbuhan berupa cendawan atau lingzhi yang hidup liar diatas tunggul dan batang kayu yang sedang melalui proses mereput, hancur untuk kembali ke tanah. Choong Kam Kaw merasakan bahawa cendawan itu seolah￾olah satu penjelmaan kembali yang sering diceritakan dipelajari dan dihayati dalam pemikiran serta falsafah ajaran-ajaran Buddha. Kesyahduan inilah yang mendorong beliau lalu memberi satu sumber inspirasi untuk melahirkan karya dari siri Rhythm of Growth IX (1990).



Rhythm of Growth IX,156x 124x6cm, kertas & akrilik, 1990


Sekali lagi Choong Kam Kow menggunakan kemahirannya mengeksploitasi bahan pulpa kertas untuk membentuk objek-objek yang berupa seperti cendawan tumbuh. Beliau menggunakan teknik semburan cat akrilik untuk mewarnai kepingan-kepingan pulpa dalam siri-siri ini. Warna-warnanya pula adalah sehampir warna semulajadi tumbuhan cendawan tersebut. Tetapi secara halus juga beliau menambah penggunaan teknik cetakan dan ukiran diatas permukaan cendawan-cendawan buatannya itu. Dipermukaan cendawan tersebut didapati kesan-kesan tekan yang biasa digunakan dalam teknik cetakan timbul dalam siri-siri Perayaan. Kesan timbul atau tekan ini secara tidak langsung telah melahirkan kesan-kesan semulajadi yang indah sekali. Apalagi dengan ukuran-ukuran kepingan cendawan yang agak besar dari segi saiz asalnya seperti dalam karya "Rhythm of Growth IX" (1990) karya-karya tersebut begitu memberangsangkan dan memerangkap pemerhatian kita apabila memandangnya.


Amalan menggunakan teknik sutera saring di atas kanvas sebenamya sudah bermula semasa Choong Kam Kow melahirkan karya-karya dalam siri Festival, terutama di bahagian penghujung siri-siri tersebut. Dalam karya-karya yang bertajuk "lmej & ldentiti" (1996) dari siri Festival gambaran-gambaran anyaman seperti ketupat dan kelarai banyak digunakan dengan menggunakan teknik sutera saring


la seolah-olah memberi kesan seperti menebar identiti lokal bila kita menghayati karya tersebut. Warna-warna dari teknik sutera saring yang digunakan bertindan-tindan seperti kelarai menerbitkan lapisan-lapisan warna yang hidup dan begitu menarik sekali. Warna tersebut dicetak berlapis-lapis serta berulang-ulang sehingga menimbulkan struktur rupa dan kiasan-kiasan bungkusan kuih-kuih tradisi itu. Secara tidak langsung warna￾warna tersebut bagai irama indah dalam seni lipatan dan anyaman tradisi. Dengan sentuhan yang minima bentuk-bentuk ketupat, kuih chang serta angku ditonjolkan melalui teknik sapuan berus berwarna gelap yang ringkas dan berkesan bertujuan untuk memberi gambaran yang agak objektif kepada tema siri-siri Festival itu.


Begitu juga dengan siri Naga yang dihasilkan oleh Choong Kam Kow sejak tahun 2000. Siri-siri ini diselimuti oleh warna-warna yang garang serta dinamik melalui teknik sutera saring dan campuran tulisan tangan yang berlapis-lapis. Tulisan-tulisan cina yang diambil dari buku-buku I-chang klasik ini digunakan sebagai struktur dan latar permukaan karya. Secara simbolismanya warna-warna tersebut memancarkan kiasan-kiasan tenaga luar biasa, tangkas dan kembara. la seolah-olah disuntik nafas. baru oleh warna-warna pada wajah naga-naga tersebut berbanding dengan warna-warna tradisi melukis naga dalam lukisan tradisi Cina. Gambar naga dan tulisan-tulisan Cina yang saling bertindan juga mencipta ruang-ruang kabur seperti menggambarkan suasana yang terapung-apung, melayang dan terbang diawangan tetapi dalam situasi yang terkawal oleh garisan-garisan lurus yang dicipta dengan warna-warna yang berbeda nuansanya.





(left) Fit for Life 20 (Taiji Series 17) - Vitalizing the Qi 1,122cm x 152cm, Akrlik atas Kanvas, 2013

(right) Kun, 117x86cm, Akrilik atas Kanvas, 2011




Dipertengahan tahun 2005, Choong Kam Kow telah dikesan menghidap penyakit barah usus. Beliau mengalami tanda-tanda awal penyakit barah tersebut semasa berada di Sri Lanka. Dia bergesa-gesa pulang ke Kuala Lumpur dan menjalani pembedahan moden disebuah hospital di Subang Jaya sehinggalah dirawat sembuh sepenuhnya. Dengan sisa tenaga yang masih ada beliau tetap mahu terus berkarya. Tetapi pengkaryaannya kali ini adalah yang cukup luar biasa. Beliau bukan sahaja perlu berkarya dan 'berhujah' dengan gambar di atas kanvas, tetapi perlu mempelajari, mendalami dan merawat diri berterusan dalam masa yang sama. Dia harus memikirkan bahawa berkarya dan merawat adalah dua perkara yang sama penting. Dengan itu beliau telah memilih kaedah Taiji dan Qigong sebagai senaman yang memulihkan serta mengembalikan tenaga supaya terus sihat dan terpelihara untuk berkarya.


Dalam siri Kung Fu, Choong Kam Kow hidup serentak merawat diri dan meneroka kreativiti seninya. Pergerakan-pergerakan figura dalam Taiji dan Qigong telah dijadikan sebagai satu tema baru dan perkara pokok dalam catan- catan mutahirnya. Amalan senaman serta praktik dalam seni Kung Fu adalah satu pengalaman yang benar-benar dialaminya saban minggu dan ditafsir serta diterjemahkan dalam karya dari siri-siri tersebut.


Sekali lagi Choong Kam Kow menggunakan persembahan yang agak sama seperti dalam siri Naga. Beliau menggunakan teknik cetakan sutera saring sebagai latar belakang. Teks yang berupa cara, peraturan dan amalan dalam Taiji dan Qigong dicetak bertindan-tindan dengan warna-warna monokromatik dan adakalanya teks tersebut ditulis dengan tangan di atas cetakan sutera saring. lni membuat latar belakang itu tidak nampak begitu terlalu keras dan kaku. Selain itu wara-warna monokromatik tersebut nampak samar dan tidak ketara membuatkan karya ini bersepadu antara subjek dan latar belakang. Warna-warna seperti dianyam dalam lipatan-lipatan tikar mengkuang atau kelarai yang mana gambaran ini bukan lagi asing kepadanya.


Jika diteliti dalam keseluruhan pengkaryaan Choong Kam Kow, beliau seorang

yang berjaya meletakkan susunan dan pilihan yang tepat terhadap segala kaedah dan teknik yang diperlukannya untuk berkarya. Walaupun bahan yang digunakan amatlah berbeza daripada asal-usulnya tetapi kemahiran mengadun dan menyatupadukan media adalah cukup istimewa.


Keupayaan dan keahlian itu begitu menarik sekali, kerana dengan kepakaran yang tinggi dia boleh merentas satu perjalanan berkarya dan membentuk fahaman serta gaya yang menuju ke puncak baru. Perjalanan-perjalanan ini adalah sebuah pengembaraan dan ia melalui proses-proses minda yang terbuka lagi bijaksana dari penitian paparan pengalaman yang luas terbentang. lni proses penuh berisi ilmu dan padat dengan harta-harta spiritual yang dikumpul setelah sekian lama. Proses yang pelbagai dalam berkarya serta penggunaan tegar bahan dan media campuran merupakan satu mercu dalam karya-karya beliau. Ternyata Choong Kam Kow percaya bahawa penggunaan media pelbagai yang luas serta kehalusan proses menentukan tunggak rupa serta nilai tinggi sesebuah karya yang dihasilkannya. Dia melihat kaedah serta teknik seni cetak sebagai seorang seniman yang berilmu dan berpengalaman, mampu mengekploitasi teknik serta proses secara serius, tepat dan bermanfaat. Bukan sahaja untuk dirinya malahan untuk perkembangan pensejarahan Seni lukis Malaysia amnya.


Juhari Said , Akal Diulu

June 2014


* Download full text

1,025 views0 comments

Recent Posts

See All

Commentaires


bottom of page