top of page

UNSUR-UNSUR KEBUDAYAAN KEBANGSAAN DALAM KARYA SENI CETAK MALAYSIA: IMEJ SARANG PUTU TRADISI MELAYU

Oleh Mazlan bin Hj. A. Karim dan A. Rahman Mohamed



Sejak Kongres Kebudayaan Kebangsaan 1971 dan Seminar Akar-Akar Kesenian Peribumi 1979, pelukis-pelukis tanahair mula mengambil tema-tema kebudayaan tempatan untuk dijadikan idea karya seni mereka. Karya seni visual bukan sekadar medium untuk ungkapan perasaan peribadi pengkarya (personal functions) tetapi juga boleh berperanan sebagai fungsi sosial (Social function). Sarang kuih putu tradisi Melayu/angku Cina adalah merupakan satu bentuk warisan tradisional yang kini semakin pupus, mendapat perhatian beberapa pelukis seni cetak untuk diangkat sebagai tema karya seni mereka. Objektif penulisan ini ialah untuk mengupas dan memahami secara ilmiah ‘content' yang merujuk kepada mesej yang diterjemahkan menerusi karya seni visual oleh pengkarya seperti Chew Teng Beng, Chong Kam Kow dan Rosiah Mohd. Noor untuk tatapan penghayat. Metodologi yang digunakan adalah gabungan antara kaedah pustaka dan kerja lapangan. Asas penelitian terhadap karya-karya pelukis adalah berasaskan pendekatan Neoformalisme yang bukan sahaja mampu untuk penulis memahami dari segi rupanya (form) semata-mata, tetapi juga makna (content) yang hendak disampaikan oleh pelukis seni cetak tanahair. Data-data dari kerja lapangan diperolehi menerusi kajian kes iaitu pemerhatian dan temu bual secara "in-depth". Dapatan kajian mendapati pelukis bukan sekadar merakam penghargaan terhadap kraf kesenian Melayu/Cina semata-mata tetapi juga mengandungi mesej berkaitan kehidupan dan budaya masyarakat yang mereka wakili.


Pengenalan


Bentuk dan stail karya seni visual di awal perkembangan seni lukis moden Malaysia iaitu pada tahun 1930-an adalah bersifat universal dan kebaratan. Walau bagaimanapun sejak 1970-an dan 1980-an, Muliyadi Mahamood (2001:58) menggambarkan para pelukis tempatan mula merujuk kepada kesenian tradisi dalam memenuhi hasrat pencarian identiti. Seni tradisi seperti batik, ukiran kayu, songket,hikayat, sastera dan seni bina menjadi rujukan pelukis sebagai ‘subjek’ mahupun motif dalam berkarya. Rujukan dan kesedaran terhadap kekayaan seni tradisi semakin memuncak selepas Seminar Akar-Akar Kesenian Peribumi yang diadakan pada tahun 1979 di Kajian Seni Lukis dan Seni Reka, Institut Teknologi MARA, Shah Alam. Merujuk kertas kerja yang dibentangkan oleh Syed Ahmad Jamal (1973:313) di Kongres Kebudayaan Kebangsaan pada 16-20 Ogos 1971 di Universiti Malaya, Kuala Lumpur telah menyarankan tentang kepentingan mewujudkan satu konsep ‘Seni Lukis Malaysia’. Pada pandangan Syed Ahmad Jamal bahawa konsep ‘Seni Lukis Malaysia’ bukan sekadar menggambarkan pokok kelapa, sawah padi, tepi pantai, perahu, pondok atap tetapi lebih daripada itu. Beliau menekankan tentang sifat-sifat seni lukis Malaysia kini.


Menurut Siti Zainon Ismail (1989:65-66) pula, bahawa perkembangan awal seni lukis tanahair yang diwakili oleh cat air menerusi Yong Mun Seng dan Abdullah Arif (1930) masih kurang intinya dengan masalah budaya tempatan. Sekadar menyatakan idea luaran yang diolah berdasarkan beberapa tema atau subjek yang menampakkan pemandangan atau peristiwa di tanahair. Tanpa rujukan khas yang dilakukan oleh

penghasil seni, sejarah seni budaya Tradisi Agung semakin mengecil tanpa menampakkan penggarapan idea tempatan itu menyebabkan seni lukis Malaysia seperti tidak mempunyai

identiti. Beliau mengganggap ‘Kongres Kebudayaan Kebangsaan’ di awal tujuh puluhan dan ‘Akar-Akar Kesenian Peribumi dan Perkembangan Kini’ (1979) merupakan peristiwa yang mencabar dalam perkembangan seni rupa tanahair. Kedua-dua peristiwa itu merupakan satu detik penting kepada seniman atau pelukis terhadap kesedaran tentang pembentukan seni lukis: lukisan dan cat tanahair. Muliyadi Mahamood (2001:58) juga menganggap Kongres Kebudayaan Kebangsaan 1971 merupakan salah satu faktor yang mempengaruhi perkembangan seni lukis moden Malaysia. Kongres tersebut telah membuka arah seni yang baru dengan dasar-dasarnya yang menjurus kepada pembentukkan identiti nasional iaitu “tiga konsep penting dibina sebagai asas Kebudayaan Kebangsaan. Pertama, Kebudayaan Kebangsaan Malaysia haruslah berasaskan kebudayaan asli rakyat rantau ini. Kedua, unsur-unsur kebudayaan lain yang sesuai dan wajar boleh diterima menjadi unsur-unsur kebudayaan kebangsaan, dan ketiga, islam menjadi unsur yang penting dalam pembentukkan kebudayaan kebangsaan itu” (Muliyadi Mahamood, 2001:58).


Latar Belakang Kajian


Karya seni cetak merupakan salah satu disiplin dalam bidang seni halus selain seni catan, seni arca dan mempunyai keunikkan yang tersendiri berbanding disiplin seni yang lain. Definisi seni cetak secara konvensional, lebih menekankan kepada penghasilan hasil cetak atau impression secara tradisi yang terdiri daripada beberapa komponen iaitu menerusi empat kaedah tradisi, penggunaan bahantara kertas dan blok. Misalnya, Carl Zigrosser (1968:73) menyatakan bahawa ciri-ciri utama seni cetak dalam konteks seni halus adalah terletak pada gambaran yang dicetak iaitu “the key to the method of making a print lies in the creation of a master design on a suitable medium, such as a wood block or copper plate, which can be inked and printed to produce a quantity of similar prints. It is a device to produce the “multiple image” – not one but many originals.”


Karya seni mampu dijadikan medium komunikasi antara pelukis dan penghayat sepertimana penjelasan Rosalind Ragans (2005:6) iaitu “You share your ideas and feelings by using words. You can also communicate through the arts. Art is a language that artists use to express ideas and feelings that everyday words cannot express.” Ianya bukan sekadar medium untuk menjadi ungkapan perasaan peribadi pengkarya (personal functions) tetapi juga boleh digunakan sebagai fungsi sosial (Social function): “artists may produce art to reinforce and enhance the shared sense of identity of those in a family, community or civilization.” (Rosalind Ragans, 2005:7).


Maksud istilah subjek (subject) yang digunakan dalam penulisan ini merujuk penjelasan Ocvirk, Stinson, Wigg, Bone & Cayton (2000:10) iaitu: “The subject of visual art can be a person, an object, a theme, or an idea. Though there are many and varied ways of presenting the subject matter, it is only important to the degree that the artist is motivated by it.” Menurut mereka lagi bahawa selain elemen subjek (subject), dua lagi elemen asas sebuah karya seni visual iaitu bentuk (form) dan makna (content) adalah elemen-elemen penting dalam pembentukkan sebuah karya seni visual.


Kertas ini memfokuskan kepada perbincangan tiga karya seni cetak yang menggunakan imej sarang kuih putu dan angku cina sebagai ‘subject‟ . Paparan imej ‘subject’ hasil cetak atau impresi daripada sarang putu dan angku cina bertujuan untuk pelukis menyampaikan mesej secara dwi-makna iaitu ‘personal function' dan 'sosial function'. Perbincangan adalah menumpukan kepada aspek 'sosial function' yang berkaitan kebudayaan setempat menerusi paparan karya seni visual sebagai wadah exspresi pelukis tanahair. Disamping itu juga, aspek ‘makna’ (content) berkaitan mesej yang cuba dikongsikan oleh pelukis kepada penghayat.


Dapatan Kajian


Penulis menggunakan kaedah "content analysis" yang dirumus khusus untuk menganalisa imej visual sepertimana kenyataan Gillian Rose (2001:54) iaitu “a method of analysis visual images that was originally developed to interpret written and spoken texts: content analysis.” Penulis turut mendapatkan data primer iaitu menemu bual pelukis terbabit. Selain data-data yang diperolehi menerusi kaedah "content analysis" yang hanya bergantung kepada kecekapan ketika meneliti karya visual dan pandangan penulis sendiri, pendekatan neoformalism turut digunakan bagi mendapatkan maklumat yang lebih tepat. Oleh itu, justifikasi penelitian karya yang menggabungkan kaedah ‘Content Analysis' dan pendekatan ‘Neoformalisme' amat bertepatan dengan objektif kajian ini iaitu untuk memahami makna (content) dengan tepat berkaitan mesej yang cuba disampaikan oleh pelukis seni cetak tanahair menerusi karya seni cetak yang memaparkan ‘subject' sarang kuih putu dan angku cina.


Penelitian 1: Karya Bertajuk ‘Tujuh Bulan Setengah; (1973) dan ‘Festive Mood 85-3’ (1985).


Karya ‘Tujuh Bulan Setengah' (1973) merupakan hasil karya Chew Teng Beng yang dihasilkan menerusi gabungan dua kaedah imejan iaitu kaedah cetak intaglio tanpa dakwat atau 'blind printing' atas kertas yang memberikan kesan emboss dan tampalan hasil cetak kuih bulan daripada bahan kertas buatan tangan (cast paper pulp) menggunakan angku cina. Manakala karya Choong Kam Kaw bertajuk 'Festive Mood 85-3' (1992) juga menggunakan pendekatan yang sama tetapi sedikit berbeza dalam menghasilkan kesan emboss. Kesan emboss menerusi kaedah 'blind printing', beliau tidak menggunakan plat daripada besi tetapi menggunakan tikar mengkuang yang diberikan tekanan ke atas kertas buatan tangan. Manakala hasil cetak kuih bulan daripada bahan kertas buatan tangan (cast paper pulp) menggunakan angku cina, kemudiannya diikat menggunakan tali ‘parcel' agar kukuh dan tahan lama.


Gambar Foto 1:

(Kiri) Karya Dr. Chew Teng Beng Bertajuk ‘Tujuh Bulan Setengah’ (1973). Paper Cast dan emboss.

(Kanan) Karya Dr. Choong Kam Kow Bertajuk ‘Festive Mood 85-3’ (1992). Paper Cast, Twine dan Acrylic. 114 x 80 x 5 cm.



Imej kura-kura dalam bentuk hasil cetak tiga dimensi mempunyai signifikasi terhadap ‘makna’ yang cuba disampaikan oleh kedua-dua pelukis ini. Imej kura-kura atau

tortoise dalam bentuk kuih ini merupakan simbol yang mempunyai maksud yang positif dalam perspektif ketimuran berbanding perspektif barat. Merujuk Radhika Srinivasan (1994:147) bahawa imej kura-kura: “Although the West looks upon the creature as slow and dull-witted, the East views the tortoise or turtle as a symbol of strength, good fortune and stability.” Dalam konteks ‘personal‟, idea Choong Kam Kow (Temu bual, 27 Oktober 2010) penggunaan hasil cetak yang diperolehi daripada angku cina bermotifkan kura-kura ialah lambang panjang usia pada masyarakat Cina. Beliau menegaskan bahawa ‘subject' yang dipilih iaitu hasil cetak dari kuih bermotif kura-kura, pulut panggang, tikar mengkuang, ketupat dan chung tze adalah amat signicant kepada amalan kebudayaan di Malaysia. Beliau membawa mesej secara simbolik melalui subjek-subjek tersebut kepada

semangat muhibbah dan kesejahteraan dalam hubungan antara kaum di Malaysia. Manakala Chew Teng Beng (Temu bual, 28 Julai 2010) yang merupakan anak jati Terengganu dan anak kepada pegawai perikanan di Pulau Redang, Terengganu menjelaskan bahawa karya-karya seninya mempunyai unsur ‘lyrical'. Karya 'Tujuh Bulan Setengah' (1977) menurut T.K. Sabapathy (1979) bahawa ini merupakan lanjutan daripada siri ‘Mandala' dan ‘Origin of Writing' Chew Teng Beng di penghujung tahun 1960-an dan awal 1970-an: “Tujuh Bulan Setengah has an iconic presence, made up of number of emblems and shapes signifying fecundity, and symbolises an advanced condition of gestation.” Dalam lain perkataan, hasil cetak dalam bentuk kuih bulan berimejkan kura-kura yang diletakkan di bahagian perut ‘gesture' adalah simbolik kepada kesejahteraan, kekuatan dan tuah yang baik kepada zuriat yang sedang dikandungkan oleh wanita.


Dalam konteks sosial, paparan kuih bulan berimejkan kura-kura dalam bentuk hasil cetak daripada kertas buatan tangan yang dipadatkan ke dalam angku kuih bulan, bukan sekadar menyampaikan mesej ‘personal' pelukis semata-mata. Berdasarkan beberapa pandangan, misalnya Sujiah Salleh (1991:77) menyatakan bahawa tema tradisi yang didokongi oleh Choong Kam Kaw: “Apart from lanscapes, Choong is also very much preoccupied with what he calls the Malaysian Festival Series – works which depict traditional and cultural values. He derives creative expressions from local kueh (cakes), such as angku and pulut panggang, ketupat (another traditional food) and tikar (mats). The series has been exhibited in Denmark. For Choong, this is his contribution to promoting his country.” Manakala, menurut Luo Yiping (2004:13) berkenaan simbol￾simbol yang digunakan oleh Chong Kam Kow iaitu: “The art symbols in Choong's works reveal his thorough understanding of Eastern philosophy. His works manifest the profound meaning of ying-yang relation of I-Ching. All this, is the basis why his works can have such important influence.” Menurut Sejarahwan seni tanahair, Muliyadi Mahamood (2001:79-80) menjelaskan bahawa Choong Kam Kow telah menggunakan motif-motif budaya pemakanan tempatan sebagai subjek kajiannya. Karyanya menggabungkan bentuk kuih tradisi, dengan memberi penekanan kepada pembungkusannya yang dapat dianggap sebagai simbol kepada konsep kesatuan dalam kebudayaan Malaysia. Ketupat dan pulut panggang menjadi sebahagian bentuk yang diketengahkan.


Penelitian 2: Karya Siri ‘Putu’ Rosiah Mohd. Noor (2008-2010)

Bermula dengan karya yang simple iaitu ‘Antara Dua (Siri I-V)' (2008), sebuah karya cetakan campuran potongan lino atas kertas dan 'cast paper pulp', Rosiah Mohd. Noor meneruskan penerokaan dengan karya-karya lebih mencabar minda penghayat menerusi karya seperti 'Antara Mug Dengan Secawan Kopi...' (2009), 'Putu Oh Putu'{2009) dan ‘Instant' (2010). Dalam konteks ‘personal', Rosiah Mohd. Noor ingin menyampaikan mesej melalui siri-siri karya ‘Putu' beliau berkaitan isu ‘instant' menerusi paparan imej ‘mug', secawan kopi dan hasil acuan kuih putu. Paparan ‘subject’ sedemikian adalah sebagai mewakili kepekaannya terhadap kesan makanan atau barangan dapur yang banyak berunsurkan ‘instant' terhadap nilai, adat dan kesantunan budaya Melayu.



Gambar Foto 2: Karya Rosiah Md. Noor ‘Putu Oh Putu’. (2009). ‘Cast Paper Pulp’ Guna Sarang Putu dan Cetakan Kayu atas Kertas. 75 x 60 cm.


Beliau membangkitkan polimik khususnya dalam soal budaya penyediaan makanan dan minuman dalam masyarakat Melayu yang secara tradisinya amat mementingkan ketertiban dan kesantunan. Beliau menganggap budaya tersebut semakin terhakis berdasarkan pengalaman dan pemerhatiannya sendiri. Berdasarkan pengalaman beliau sendiri yang pernah terlibat dengan pembuatan kuih putu ini menjelaskan bahawa kuih putu ini merupakan ‘snek' yang biasa dihidang waktu minum petang dan kebiasaannya adalah sinonim dengan kopi. Beliau bukan sekadar ingin mendokumentasikan kuih putu tetapi dari ‘content' tadi beliau cuba untuk mengaitkan dengan isu ‘instant'. Menurutnya, kuih semakin tidak popular kerana dominasi pelbagai jenis biskut atau ‘cookies'. Jenis￾jenis biskut tersebut amat mudah diperolehi hanya dengan membeli berbanding dengan menyediakan kuih putu yang mempunyai beberapa peringkat penyediaan yang meletihkan

dan memakan masa yang lama.


Dalam konteks ‘sosial' pula, karya-karya siri ‘Putu' Rosiah Mohd. Noor ini juga turut memberikan peluang kepada penghayat untuk menghargai kembali kraf tradisi Melayu. Jika nilai estetika seni cetak terletak kepada keunikkan unsur garisan dan jalinan iaitu kesan kehalusan torehan atau turisan pada permukaan blok, sarang putu atau koya daripada kayu terletak kepada ukiran di bahagian dasarnya. Pelbagai motif tunggal terutama berunsurkan flora sebenarnya amat menarik untuk dikaji. Secara umumnya, hiasan yang diukir pada dasar sarang tersebut adalah untuk menambahkan lagi keindahan keseluruhan kuih putu dan koya. Proses melakar dan mengukir adalah jenis ukiran timbul pada dasar sarang putu atau koya ini diukir secara terbalik atau 'carve in reverse'. Ini kerana corak yang sebenar adalah dapat dilihat pada hasil kuih putu atau koya itu. Daripada pemerhatian penulis terhadap sarang putu di Terengganu dan Kelantan, motif yang diukir tidak hanya terbatas kepada unsur flora tetapi juga unsur-unsur daripada objek kesenian Melayu seperti pending dan caping. Terdapat juga motif-motif yang diilhamkan daripada objek harian, misalnya sarang putu di Terengganu yang memaparkan objek seperti kapak, alat muzik, pistol, teko, kaligrafi dan jam dinding. Menurut Zulkefli bin Hanafi (2000:3) bahawa kebanyakkan orang Melayu seni ukir merupakan satu daripada cara untuk melahirkan cita rasa naluri manusia yang sememangnya cinta akan sesuatu yang indah kerana yang indah akan melahirkan rasa ketenangan. Walau di mana seni ukiran itu digunakan konsep dan falsafah seni di dalam kebudayaan Melayu tetap sama. Dari segi falsafahnya, seni ukir sebenarnya adalah ekspresi kecintaan pada keindahan. Keindahan pula lahir dari kejujuran seni. Sedangkan sesuatu yang berseni itu hanya dapat dilahirkan melalui kesabaran dan ketekunan. Inilah falsafah seni yang diamalkan oleh kebanyakkan tukang dan pengukir Melayu sejak zaman-berzaman.


Berdasarkan pengalaman dan tinjauan penulis, masih ada pengusaha ukiran kayu di Kelantan yang menghasilkan sarang putu tetapi sebagai objek hiasan dinding. Ukiran motifnya yang tidak diberikan penekanan kepada kehalusan dan ketelitian dalam mengukir motif sepertimana yang ditunjukkan oleh pengukir tradisi Melayu. Kini sarang putu daripada kayu yang berukir indah dengan pelbagai motif semakin menghilang dan hanyamenjadi objek tatapan umum di muzium tempatan. Daripada tinjauan penulis di beberapa negeri terutama Terengganu dan Kelantan, sarang kuih putu kacang kini telah menjadi barangan antik. Penulis sendiri telah membeli sebuah sarang putu daripada sebuah kedai antik di Kelantan dengan harga RM350. Sukar untuk menjejak seniman yang menghasilkan sarang tersebut atau warisnya dan maklumat bertulis juga amat terbatas. Justeru itu, kajian terhadap sarang putu ini mampu memberikan sumbangan berharga terhadap banyak pihak seperti pihak muzium untuk memelihara khazanah tradisi rakyat yang kini semakin pupus dan digantikan dengan bahan acuan daripada plastik.


Kesimpulan

Dapatlah dirumuskan bahawa karya seni visual juga mampu dijadikan sebagai wadah untuk merakam penghargaan terhadap imej-imej budaya setempat menerusi kebijaksanaan pelukis memilih ‘subjek’ (subject) yang relevan dengan makna (content) yang hendak dipaparkan melalui bentuk (form) seni. Dalam konteks falsafah seni, penulis melihat bahawa ketiga-tiga pelukis ini telah memainkan peranan mereka sebagai mewakilimasyarakat kaum Cina dan Melayu sepertimana kenyataan Georgio Vasari, seorang ahli sejarahwan seni dunia telah menegaskan bahawa ilmu pengetahuan yang lalu adalah penting bagi menentukan kejayaan dan kemajuan seni. Pelukis juga boleh berperanan untuk memperkenalkan bentuk seni yang mewakili nilai estetika masyarakat yang diwakilinya berdasarkan tinggalan masyarakat silam. Merujuk dapatan kajian ini, penulis percaya bahawa mereka telah berjaya mengangkat nilai budaya dan kesenian tempatan sebagai ‘subjek’ dalam penghasilan karya seni moden mereka. Transformasi daripada hasil kraf seni untuk tujuan makanan yang diterjemahkan kepada konteks seni halus dalam bentuk karya seni visual amat berkesan dan berjaya. Penghayat bukan sahaja dapat merasai mesej ‘personal' yang hendak dikongsikan oleh pelukis tetapi juga turut menghargai keunikkan dan kehalusan nilai budaya setempat yang mungkin tidak diketahui sebelum ini.


Bibliografi

Rose, Gillian. (2001) Visual Methodologies. London: SAGE Publication.

Ragans, Rosalind. (2005). Arttalk. United States of America: McGraw Hill.

Salleh, Sujiah. (1991). Eartly Visions. In Malaysian Tatler. April. Kuala Lumpur.

Sabapathy, T.K. (1979). Material, Medium...And So Forth. Dalam Artscene. Majalah

The National Echo, Bertarikh 13 Februari 1979. Pulau Pinang.

Srinivasan, Radhika. (1994) The Lotus Unfolds: A Study of Asian Art and Thought.

Singapura: Printworld Services Pte. Ltd.

Hanafi, Zulkefli. (2000). Perkembangan Seni Hiasan Dalam Kebudayaan Melayu. Dalam

Pola-Pola Hiasan Di dalam Bangunan Tradisional Melayu. Kuala Lumpur: Dewan

Bahasa dan Pustaka.

Ismail, Siti Zainon. (1989). Seni Rupa: Tradisi dan Sezaman. Dalam Percikan Seni.

Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Jamal, Syed Ahmad. (1973). Syor-Syor Bagi Mencapai Objektif-Objektif Seni Dalam

Perkembangan Kebudayaan Malaysia. Dalam Asas Kebudayaan Kebangsaan. Kuala

Lumpur: Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan Malaysia.

Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia. (1980). Serian Ukiran. Kuala Lumpur:

Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia.

Mahamood, Muliyadi. (2001). Era Pencarian Identiti Dalam Seni Moden Malaysia.

Dalam Seni Lukis Moden Malaysia. Kuala Lumpur: Utusan Publications &

Distributors Sdn. Bhd.

Ocvick & Stinton & Wigg & Bone & Cayton (2009). Art Fundamental. Eleven Edition.

New York: McGraw-Hill International Edition.

Yiping, Luo. (2004) Reading The Works of Chong Kam Kow. Dalam Katalog Pameran

The Art of Choong Kam Kow: Manifestation of Culture and Nature. Taiwan:

Guangdong Museum of Art.

Zigrosser, Carl. (1968) Prints. Dalam Forum Lecturers: The Visual art. United States:

The Voice of America.


Rujukan Temu Bual

Temu bual bersama Dr. Chong Kam Kow pada 27 Oktober 2010 di 25, Jln. SS1/35,

Petaling Jaya, 47300 Selangor.

Temu bual bersama Dr. Chew Teng Beng pada 28 Julai 2010 di No. 6, Solok Brook, Pulau

Pinang.

Temu bual bersama Rosiah Md. Noor pada 13 Oktober 2010 di Pejabat Pensyarah,

Universiti Teknologi Mara, Shah Alam, Selangor.








899 views0 comments

Recent Posts

See All
bottom of page