Pengaruh Ekologi Terhadap Karya Artis Seni Cetak Kontemporari
- Dec 27, 2025
- 21 min read
Oleh Mursyidah Zainal Abidin, Sabzali Musa Kahn dan Fakhrur Razi Maamor
ABSTRAK
Pengaruh ekologi dalam pembentukan idea dan penghasilan karya seni kontemporari memiliki potensi dalam amalan seni artis seni cetak. Seni cetak menjadi salah satu medium menyampaikan isu-isu semasa dalam konteks peribadi secara global. Hal ini sekaligus mencerminkan kesedaran terhadap hubungan dinamik antara manusia dengan ekosistem sekitarnya. Namun, terdapat kekurangan kajian kritikal yang mendalam tentang pengaruh ekologi terhadap proses kreatif penghasilan karya. Oleh itu, kajian ini bertujuan untuk memahami pengaruh ekologi melalui pemilihan bahan, teknik dan tema serta impaknya terhadap karya seni cetak. Metodologi kajian kualitatif melibatkan analisis visual terhadap karya seni cetak daripada dua artis terpilih iaitu Haafiz Shahimi dan Fadli Mokhtar. Kaedah temu bual separa struktur dan pemerhatian terhadap proses penghasilan karya dijalankan berpandukan kerangka teori ekologi oleh Urie Bronfenbrenner. Analisis dinilai berdasarkan hubungan kompleks antara artis dengan persekitaran mikro, meso, eksosistem dan makro yang mempengaruhi pemikiran dan pengolahan idea melalui pengkaryaan artis. Dapatan kajian menunjukkan bahawa artis seni cetak kontemporari memanfaatkan bahan dan teknik cetakan untuk menyampaikan mesej bersifat naratif peribadi. Motif dan simbolisme berasaskan alam seperti flora dan fauna digunakan untuk menghidupkan naratif yang menekankan hubungan harmoni antara manusia dan alam sekitarnya. Kesimpulannya, integrasi ekologi dalam seni cetak kontemporari bukan sahaja memperkayakan naratif visual tetapi juga menyumbang kepada wacana seni yang lebih mendalam di samping meningkatkan kesedaran terhadap isu global. Kajian lanjutan disarankan untuk meneliti perbandingan antara pendekatan ekologi melalui karya seni cetak di pelbagai konteks budaya sebagai sumbangan kepada bidang seni cetak di Malaysia.
Kata kunci: Artis Seni Cetak, Ekologi, Kontemporari, Seni Cetak, Teori Ekologi
PENGENALAN
Penyelidikan ini bertujuan untuk memahami pengaruh ekologi terhadap kandungan dan konteks karya disiplin seni cetak kontemporari di Malaysia. Pemahaman ini bukan sekadar susunan visual atas kanvas tetapi juga melalui pemilihan bahan, teknik dan tema yang aplikasikan. Perkara ini menawarkan suatu perspektif yang meluas terhadap hubung kait antara ekologi dan seni cetak kontemporari. Penelitian terhadap faktor persekitaran mempengaruhi ekspresi kreatif serta identiti disiplin termasuklah aspek estetika, simbolisma dan gaya penghayatan artis terhadap tindak balas ekologi sekeliling mereka. Kreativiti dalam proses penghasilan karya bukan sekadar membentuk identiti dan makna tetapi juga berperanan sebagai medium komunikasi antara seniman dan audiens. Selain ekspresi visual, setiap karya mengandungi unsur tersirat seperti subjek, metafora dan elemen budaya yang mempunyai pemaknaan yang mendalam serta memperkaya naratif seni cetak.
Dari perspektif ekologi seni, pemahaman masyarakat terhadap makna tersirat karya seni dipengaruhi oleh latar belakang budaya, nilai sosial dan persekitaran tempat karya tersebut dihasilkan dan dipersembahkan. Misalnya, konteks seni cetak kontemporari di Malaysia, elemen alam dan falsafah Melayu sering diterapkan bagi mengekspresikan hubungan antara manusia dengan ekosistem sekeliling. Justeru, interaksi antara seniman dengan ekologi budaya dan sosial mereka akan membentuk naratif yang lebih kaya dalam karya seni. Oleh itu, kepentingan unsur tersirat dalam karya bukan sahaja terletak pada estetika tetapi juga pada fungsinya sebagai alat komunikasi yang memungkinkan wacana kritikal, penyampaian ideologi dan kesedaran terhadap isu-isu tertentu dalam masyarakat. Apabila masyarakat memiliki keupayaan untuk menafsirkan makna tersirat ini, apresiasi terhadap seni akan lebih mendalam sekaligus memperkukuh peranan seni dalam kehidupan sosial dan budaya.
Ekologi seni menekankan bahawa seni tidak wujud dalam “vakum” tetapi dipengaruhi oleh interaksi dinamik antara artis dan persekitaran mereka. Menurut Syed Alwi et al. (2018), model ekologi seniman visual dalam industri seni visual kontemporari Malaysia menekankan pentingnya memahami amalan bukan teknikal dalam penghasilan karya. Perkara ini termasuk faktor-faktor seperti sokongan komuniti, dasar kerajaan dan kesedaran alam sekitar yang semuanya memainkan peranan dalam membentuk proses kreatif artis. Tema yang diangkat dalam karya seni cetak turut dipengaruhi oleh persekitaran ekologi artis. Kajian oleh Sugiarto et.al (2017) menunjukkan bahawa faktor persekitaran di kawasan pesisir Semarang menjadi sumber inspirasi dalam proses berkarya seni rupa, khususnya kanak-kanak. Interaksi langsung dengan alam sekitar membentuk persepsi dan ekspresi artistik yang unik dalam mencerminkan hubungan erat antara manusia dan alam.
Ekologi Seni
Pelbagai istilah yang diterjemahkan dalam konteks seni visual di Malaysia seperti dijelaskan oleh Sarena (2018). Tambahnya lagi, istilah ini terdiri daripada lanskap seni, ekosistem seni dan ekologi seni. Lanskap seni merujuk kepada aktiviti seni secara umum termasuk artis, galeri dan pameran. Ekosistem seni pula menggambarkan interaksi dinamik antara artis seperti cara mereka berkomunikasi, berkongsi idea, bekerjasama dan berkembang bersama. Ekosistem yang kukuh membentuk budaya yang menyokong aliran idea, bakat dan sumber dalam dunia seni. Manakala ekologi seni memfokuskan kepada hubungan artis dengan persekitaran semula jadi, sosial dan binaan mereka melihat elemen ini mempengaruhi proses kreatif dan karya seni. Ketiga-tiga konsep ini saling melengkapi bidang seni visual di Malaysia berkembang melalui hubungan dinamik antara artis, komuniti dan persekitaran mereka.
Istilah ekologi tidak terhad penggunaannya dalam konteks sains malah sering dikaitkan dalam pelbagai bidang. Berdasarkan penyelidikan ini, ekologi merujuk kepada maksud kewujudan manusia, artis dan pengaruh persekitaranny ( Winczek et al., 2018). Ekologi dalam konteks seni rupa, merupakan sebuah interaksi manusia, artis dengan alam sekeliling mereka yang terbentuk melalui pemilihan bahan, teknik penghasilan atau tema karya. Perkara ini dapat dilihat pada cara artis seni cetak kontemporari di Malaysia yang memanfaatkan ekologi sebagai inspirasi pengkaryaan dan refleksi terhadap hubungan budaya, sosial, rohaniah dan alam sekitar. Ini jelas dinyatakan oleh Anggrian et al. (2022) bahawa ekologi seni dan persekitaran tidak dapat dipisahkan oleh seniman yang menjadikan krisis ekologi yang bersifat kontekstual serta menjadikan isu alam sekitar dalam karya. Melalui pendekatan pelbagai disiplin, seniman memperjuangkan kesedaran ekologi dengan menggunakan seni sebagai medium meningkatkan kesedaran masyarakat, refleksi kritis dan aktiviti konservasi.
Manakala Bronfenbrenner (1979) merujuk ekologi kepada cabang ilmu yang mengkaji hubungan dan interaksi antara organisma hidup dengan persekitaran fizikal mereka. Pemahaman terhadap konsep kesimbangan ekosistem dan hubung kait setiap elemen saling mempengaruhi termasuk manusia, haiwan, tumbuhan serta elemen bukan hidup seperti tanah, air dan udara. Walau bagaimanapun, bidang ekologi tidak terhad kepada kepada bidang sains semula jadi semata malah menghubungkan manusia dengan persekitarannya. Implikasinya dilihat melalui pelbagai konteks sosial, budaya dan seni khususnya.
Seiring dengan itu, ekologi seni merujuk kepada pendekatan yang menekankan hubungan antara seni, alam sekitar dan isu-isu ekologi. Tema kelestarian, konservasi alam, perubahan iklim dan kemusnahan ekosistem diterjemahkan melalui eksplorasi artistik. Konsep ini melihat seni sebagai medium untuk menggambarkan keprihatinan terhadap alam sekitar, serta alat untuk meningkatkan kesedaran awam terhadap isu-isu berkaitan ekologi. Mohamad Kamal (2016) menegaskan bahawa seni visual adalah refleksi langsung pengalaman artis terhadap masa, keadaan dan persekitaran mereka. Setiap generasi menghasilkan karya seni yang mencerminkan realiti sosial, budaya dan menjadikan seni visual sentiasa berevolusi. Walaupun karya seni kontemporari sering kali dipengaruhi oleh karya generasi terdahulu ia tetap berubah mengikut ruang dan konteks sezaman yang sentiasa relevan dengan perubahan masyarakat. Sim, 2023)
Setiap artis mempunyai kanvas yang berbeza, karya seni mereka berkongsi persamaan dalam mempersembahkan idea atau cerita serta menyampaikan mesej tersirat melalui visual. Tema yang berhubung dengan persekitaran dan alam sekitar sering menjadi sumber inspirasi kepada artis di Malaysia. Hal ini berkait rapat dengan respon dan tindak balas artis terhadap isu-isu semasa yang memberi kesan kepada komuniti, masyarakat setempat dan negara. Peranan artis dalam merekod dan menggambarkan kisah serta cerita berdasarkan tema-tema ini sangat penting sebagai rujukan untuk audiens. Nirmala Dutt Shanmughaligham pada tahun 1970-an merupakan antara artis terawal yang mengetengahkan isu-isu alam sekitar melalui karya seninya. Antara karya beliau yang menggunakan medium fotografi dan cetakan sutera saring menggambarkan isu pembalakan haram di Sarawak pada tahun 1980-an. Menjelang tahun 1990-an, semakin ramai artis mula mengangkat tema berkaitan persekitaran dan permasalahan alam sekitar dalam karya mereka.
Walaupun tema dan idea yang diangkat oleh artis-artis ini mungkin serupa, perbezaan dapat dilihat dalam aspek konsep, teknik, gaya dan kepakaran teknikal masing-masing. Kepelbagaian media dan teknik yang digunakan memberi audiens peluang untuk melihat dan menghayati seni dari pelbagai perspektif melalui ekspresi kreatif yang unik. Penghasilan karya seni ini juga bertujuan untuk membolehkan artis bereksperimentasi serta memberikan tindak balas terhadap persekitaran mereka melalui seni visual (Mursyidah et al., 2024). Selain itu, cabaran bagi seniman visual bukan sekadar menghasilkan karya malah dilihat pada peluang memasarkan karya seni mereka juga. Ia menunjukkan kepentingan ekologi seniman visual sebagai sistem yang saling berkait melibatkan faktor ekonomi, sosio-politik, psikologi dan persekitaran fizikal. Syed Alwi et al. (2018) dalam kajiannya membangunkan kerangka kerja yang dapat memperkasa ekosistem budaya seniman visual serta meningkatkan produktiviti industri seni visual Malaysia. Melalui kerangka ini, ia mampu menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi kreatif negara dan menyediakan peluang kepada artis-artis baru.
Perkembangan Seni Cetak Kontemporari di Malaysia
Seni kontemporari di Malaysia mula berkembang sekitar tahun 1930-an didorong oleh tiga faktor utama iaitu penjajahan Inggeris, kemasukan imigran asing dan perkembangan dalam bidang pendidikan. Perkembangan seni kontemporari tempatan berkait rapat dengan proses pemodenan negara yang merangkumi pelbagai bentuk seni. Ini dapat dilihat melalui seni visual, kartun, kesusasteraan serta bentuk seni lain yang menyumbang kepada pembangunan budaya Malaysia. Istilah kontemporari itu sendiri merujuk kepada sifat yang mutakhir dan terkini selari dengan seni visual. Perkara ini dibincangkan oleh Tunner C. (1999) dan Issarezal et. al (2020), fenomena yang terjadi terdahulu, masa kini dan masa hadapan dalam pelbagai bidang saling berinteraksi. Seni visual kontemporari di Malaysia adalah cerminan interaksi antara tradisi dan inovasi dalam konteks global. Ia menawarkan ruang kreatif yang mempertemukan sejarah dan budaya tempatan dengan pengaruh moden menjadikannya medium yang dinamik untuk menyuarakan identiti, menyampaikan naratif dan mencipta dialog antara masa lalu dan masa kini. Pendekatan ini memperkaya wacana seni visual, menjadikannya lebih inklusif dan relevan dalam era globalisasi (Issarezal et al., 2023).
Manakala perkembangan seni cetak menurut Rosiah et al. (2014), dipengaruhi oleh faktor sejarah awal kedatangan seni cetak di Malaysia, pengaruh pendidikan dalam dan luar negara, Dasar Kebudayaan Kebangsaan dan evolusi seni cetak kontemporari melalui karya artis pelopor. Seni cetak di Malaysia mula berkembang daripada kaedah tradisional kepada bentuk kontemporari dengan sumbangan signifikan daripada artis dan institusi pendidikan. Walaupun menghadapi pelbagai cabaran seni cetak terus relevan melalui penggabungan teknologi moden dan penghayatan nilai budaya tempatan. Ini turut dinyatakan oleh Muliyadi (2007) dan Mohd Fawazie et al. (2022), era pluralis membawa angin perubahan yang membebaskan seni cetak daripada batasan tradisional dengan memberikan ruang kepada eksplorasi teknologi dan pendekatan kontemporari. Gabungan teknik konvensional dan digital oleh Ponirin Amin mencerminkan keberanian artis untuk bereksperimen dengan teknologi menjadikan seni cetak lebih dinamik dan relevan dalam era moden. Hal ini bukan sahaja memperkaya wacana seni cetak tetapi juga membuka peluang kepada seniman lain untuk meneroka medium baharu.
Pada era 1990-an hingga kini seni cetak kontemporari di Malaysia menjadi lebih kompleks merangkumi pelbagai teknik seperti cetakan timbul, intaglio, screen printing, lithography dan teknik campuran. Seniman tempatan mula memanfaatkan seni cetak sebagai medium untuk meneroka isu-isu sosial, politik, budaya dan alam sekitar. Ponirin Amin dan Juhari Said telah memperluaskan pendekatan seni cetak dengan memanfaatkan bahan tidak konvensional melalui teknik pemasangan (installation art). Menurut Mohamed Saat et al. (2021), bahan alternatif memberi ruang kepada artis untuk bereksperimentasi melalui bentuk tiga dimensi dan penggunaan acuan yang membenarkan elemen cetakan yang lebih daripada konvensional. Kepentingan acuan atau matriks dalam seni cetak adalah elemen penting dalam penghasilan karya seni yang konsisten dan berulang. Ia bukan sahaja menjadi asas teknik cetakan tetapi juga pemahaman terminologi. Ini menunjukkan bahawa seni cetak tidak hanya bersifat teknikal tetapi juga menawarkan dimensi konseptual yang dapat diperluas ke bidang seperti reka bentuk produk, pendidikan seni dan inovasi teknologi (Mursyidah et al., 2016).
Artis seni cetak mencipta sintesis yang unik dengan mendalami seni cetak sebagai medium utama dan menggunakannya sebagai alat untuk menterjemahkan pelbagai bahasa visual. Karya yang dihasilkan meletakkan seni cetak di kedudukan penting dalam seni kontemporari di mana artis semakin melangkaui batas label tradisional dengan meneroka disiplin yang pelbagai. Pendekatan ini bukan sahaja merangkumi pelbagai medium seni tetapi juga melibatkan interaksi dengan filem, persembahan, aktivisme serta isu-isu ekologi menjadikan seni cetak relevan dan dinamik dalam konteks global (McMahon, 2014). Kemunculan pameran "GO-BLOCK" pada tahun 2009 di Galeri Petronas menandakan satu titik penting dalam sejarah seni cetak tempatan yang mencerminkan keberanian seniman untuk bereksperimen dan mencabar batasan tradisional. Pameran ini bukan sahaja merangsang inovasi tetapi juga memperkukuh kedudukan seni cetak sebagai medium seni yang dinamik di peringkat tempatan dan global. Pameran ini mencetuskan jangkaan yang lebih tinggi terhadap pemahaman seni cetak di Malaysia bukan sahaja pada masa kini tetapi juga untuk masa depan. Dengan memberi tumpuan kepada pendekatan alternatif pameran ini mencabar kefahaman tradisional seni cetak dengan memperkenalkan pelbagai bentuk persembahan yang inovatif dan tidak konvensional (Hamidi et al., 2019).
Pameran Go Block pertama telah mempamerkan karya lima seniman tempatan terkemuka iaitu Juhari Said, Zulkifli Yusuf, Izan Tahir, Ng Kim Peow dan Shahrul Jamili. Setiap seniman membawa perspektif unik yang memperlihatkan kebolehan seni cetak sebagai medium yang mampu berevolusi dan menyesuaikan diri dengan konteks seni kontemporari. Melalui eksplorasi teknik, bahan dan konsep baharu pameran ini tidak hanya memaparkan karya seni tetapi juga berfungsi sebagai dasar untuk memperluas bidang seni cetak di Malaysia. Ini dibuktikan dengan siri rangkaian pameran berkumpulan yang mengekalkan konsep Go Block sebagai dasar menggerakkan seni cetak kontemporari dengan penglibatan lebih ramai artis.
METODOLOGI
Kajian ini menggunakan pendekatan mengkaji data sedia ada, temu bual separa berstruktur dan kaedah pemerhatian untuk meneroka hubungan rumit antara artis dan persekitaran ekologi mereka. Dalam proses pengumpulan data, penyelidik menerapkan teori Winckelmann (2013) yang merangkumi empat peringkat utama: mengumpul, mengkategori, menganalisis dan penggunaan data. Pendekatan ini menekankan pengumpulan data secara menyeluruh sebelum dikategorikan mengikut objektif serta persoalan kajian yang telah ditetapkan. Data yang dikumpulkan kemudian dianalisis secara sistematik dan digunakan secara relevan dalam penulisan kajian. Pendekatan ini juga membolehkan penyelidik memberi tumpuan kepada maklumat yang diperlukan, sekali gus memastikan ketepatan dan kesesuaian data yang digunakan.
Selain itu, kaedah ini digabungkan dengan hasil temu bual yang telah dianalisis bagi memberikan gambaran yang lebih menyeluruh dan mendalam terhadap dapatan kajian. Anggrian et al. (2022) menekankan kaedah temu bual dan pendekatan kualitatif bagi menganalisa data berkesan dalam memperoleh pandangan terperinci. Fleksibiliti yang wujud dalam temu bual separa berstruktur membolehkan penyelidik meneliti topik khusus dengan lebih mendalam memudahkan pemahaman menyeluruh tentang perspektif peserta dan faktor kontekstual yang mempengaruhi amalan mereka.
Kaedah kualitatif membolehkan penyelidik untuk meneroka implikasi seni yang lebih luas dalam konteks ekologi. Penyelidikan kualitatif digunakan bagi melihat proses artistik artis seni cetak kontemporari melalui rangka kerja teori ekologi yang dicadangkan oleh Bronfenbrenner (1979) adalah penting untuk menggunakan metodologi yang sesuai yang memastikan kekayaan dan kedalaman data yang dikumpul. Perspektif ini menyokong tanggapan bahawa penyelidikan kualitatif boleh menjadi alat yang berkuasa untuk memahami cara artis menavigasi dan bertindak balas terhadap cabaran persekitaran melalui kerja mereka. Kaedah pemerhatian mengukuhkan temu bual dengan memberikan pengalaman langsung proses kreatif artis. Pendekatan ini membolehkan pengetahuan yang lebih komprehensif tentang cara sistem ekologi yang berbeza mikrosistem, mesosistem, eksosistem dan makrosistem berinteraksi untuk membentuk ekspresi artistik.
Curtis (2009) menekankan kepentingan seni ekologi dalam mengajar empati dan kesedaran tentang cabaran alam sekitar, dengan alasan bahawa pemerhatian secara langsung terhadap amalan artistik boleh mendedahkan motivasi asas dan pembolehubah kontekstual yang mempengaruhi karya artis. Rangka kerja teori ekologi ini melihat tingkah laku individu dipengaruhi oleh persekitaran sekeliling mereka. Ini disokong oleh Mogashoa dan Makaring (2024) dalam kajiannya yang menggabungkan temu bual separa berstruktur dengan perbincangan kumpulan fokus boleh memberikan pandangan berharga tentang cabaran dan fasilitator penyepaduan teknologi dalam konteks pendidikan. Gabungan kedua-dua kaedah ini menekankan keperluan untuk melakukan triangulasi sumber data untuk meningkatkan kesahan dapatan kajian kualitatif.
Kaedah pengenalpastian informan berdasarkan kriteria khusus sering digunakan dalam penyelidikan kualitatif bagi memastikan pemilihan peserta yang relevan dengan objektif kajian. Penyelidikan ini memilih informan adalah berdasarkan artis seni cetak muda kontemporari yang berpengalaman lebih daripada lima tahun dan aktif. Seramai dua orang artis seni cetak iaitu Fadli Mokhtar dan Haafiz Shahimi dipilih bagi kajian ini. Perkara ini adalah berpandukan pada kajian Rosiah and Mohd Zahuri (2010) yang menggunakan pendekatan kajian lapangan dalam mengenal pasti dan memilih seniman cetak Melayu di Malaysia. Tujuan kajian beliau bagi menganalisis perkembangan karya artis yang dipilih dalam konteks seni rupa tempatan. Maka, pemilihan informan dalam kajian ini didasarkan pada pengalaman dan penglibatan mereka dalam arena seni cetak Malaysia, selaras dengan keperluan kajian yang meneliti perkembangan teknik dan makna dalam karya mereka. Jelas menunjukkan aspek pemilihan adalah berpadanan dengan konsep kajian Rosiah and Mohd Zahuri (2019).
Kajian oleh Nur Ain Elzira (2018) turut dijadikan panduan terhadap kaedah pemilihan informan berdasarkan pemenuhan syarat kelayakan yang ditetapkan. Peserta dipilih sekiranya mereka memenuhi sekurang-kurangnya tiga daripada lima kriteria yang telah ditentukan, pengalaman dalam bidang sekurang-kurangnya lima tahun dan penglibatan aktif dalam pendekatan kolaboratif profesional. Kaedah ini memastikan bahawa hanya individu yang memiliki pengalaman dan kepakaran yang sesuai dilibatkan dalam kajian, seterusnya meningkatkan kredibiliti dan ketepatan data yang diperoleh. Pendekatan ini menunjukkan bahawa pemilihan informan dalam sesuatu kajian bukan sahaja bergantung kepada ketersediaan peserta, tetapi turut memerlukan pematuhan kepada kriteria khusus yang dapat menjamin kesesuaian dan ketepatan data yang dikumpulkan. Melalui proses pengenalpastian, saringan dan pemilihan yang sistematik menghasilkan dapatan yang lebih mantap serta seiring dengan objektif penyelidikan.
Teori Ekologi
Dalam hal ini, bagi memahami artis dan karya seni mereka pendekatan teori ekologi digunakan untuk melihat interaksi pelbagai sistem persekitaran dari yang paling dekat (mikrosistem) hingga yang paling luas (makrosistem). Sehubungan dengan itu, teori ekologi oleh Bronfenbrenner (1979), menekankan hubungan dinamik antara individu dengan sistem persekitaran yang mempengaruhi perkembangan mereka. Teori ekologi merangkumi lima sistem ekologi iaitu mikrosistem, mesosistem, ekosistem, makrosistem dan kronosistem. Kesemua sistem ini saling terkait di antara satu sama lain dengan persekitaran di mana individu itu berkembang. Namun untuk analisa karya bagi penyelidikan ini tidak dikaitkan dengan kronosistem.
Bronfenbrenner menggariskan kerangka analitikal yang berkesan untuk memahami ekologi seni, dengan menekankan interaksi kompleks antara pelbagai sistem persekitaran dalam membentuk perkembangan individu. Rajah 1 merujuk kepada empat sistem ekologi yang digariskan oleh Bronfenbrenner. Elemen mikrosistem, mesosistem, eksosistem dan makrosistem dilihat mempunyai pengaruh signifikan terhadap pengalaman dan ekspresi artistik seseorang seniman.

Rajah1. Teori Ekologi
(Sumber: Bronfrenbrenner, 1979)
Mikrosistem merujuk kepada persekitaran terdekat yang mempunyai pengaruh langsung terhadap seniman, seperti keluarga, rakan sebaya dan komuniti setempat. Faktor-faktor ini memainkan peranan penting dalam membentuk pengalaman serta hasil kreativiti mereka. Rosyidah et al. (2024) menunjukkan kolektif seni di aplikasikan dalam memperjuangkan isu ekologi setempat, mencerminkan kesan persekitaran sosial terhadap amalan artistik dan aktivisme ekologi artis. Mesosistem pula merangkumi hubungan antara pelbagai mikrosistem yang berbeza, yang secara kolektif mempengaruhi perkembangan dan amalan seni seseorang seniman. Sebagai tambahan kolaborasi antara kumpulan masyarakat dan institusi pendidikan mewujudkan ekosistem yang kondusif bagi perkembangan seni. Neal dan Neal (2013) menggariskan sistem ekologi boleh difahami sebagai rangkaian bertindih yang menghubungkan pelbagai lapisan sosial, memperlihatkan bahawa interaksi antara pelbagai entiti ini memberi kesan terhadap ekspresi dan perkembangan artistik.
Ekosistem mencakupi faktor-faktor luar yang tidak secara langsung melibatkan seniman tetapi tetap mempengaruhi mereka, seperti dasar kerajaan, perubahan ekonomi dan infrastruktur budaya. Faktor-faktor ini mempunyai implikasi mendalam terhadap sumber daya yang tersedia bagi aktiviti seni serta iklim budaya secara keseluruhan. Makrosistem, yang merangkumi nilai budaya, ideologi dan struktur masyarakat secara keseluruhan turut memainkan peranan yang kritikal dalam membentuk naratif seni. Maanen (2009) menegaskan bahawa memahami ekologi seni memerlukan perhatian terhadap konteks budaya dan sosial yang membentuk motivasi serta tema yang diangkat dalam karya seni. Evolusi landskap seni akibat perubahan sosial, teknologi dan politik mencerminkan faktor ini dapat mempengaruhi perkembangan karya seni dan nilai yang terkandung di dalamnya.
Secara keseluruhannya, teori ekologi Bronfenbrenner memfokuskan perspektif holistik dalam mengkaji ekologi seni dengan meneliti hubungan dinamik antara pelbagai sistem persekitaran. Dengan mempertimbangkan mikrosistem, mesosistem, eksosistem dan makrosistem, penyelidik memperoleh pemahaman yang lebih mendalam mengenai faktor-faktor kontekstual yang membentuk amalan seni, sekaligus memperkaya wacana mengenai hubungan antara seni, masyarakat dan alam sekitar.
DAPATAN KAJIAN
Pemilihan karya dalam kajian ini dibuat berdasarkan gabungan teknik konvensional dan cetakan alternatif yang mencerminkan pendekatan unik kedua-dua artis terhadap kandungan dan konteks karya mereka. Analisis karya dijalankan dengan memberi tumpuan kepada bukti visual yang terdapat dalam karya seni, termasuk elemen formal seperti komposisi, tekstur dan warna selain interpretasi simbol yang dikaitkan dengan konteks karya. Selain itu, penelitian turut disokong oleh rujukan daripada sumber akademik, kajian terdahulu, serta temu bual bagi memperkukuh pemahaman terhadap pengaruh ekologi dalam seni cetak kontemporari. Melalui pendekatan ini, kajian ini dapat memberikan gambaran yang lebih mendalam mengenai bagaimana ekologi membentuk ekspresi seni, pemilihan bahan serta perkembangan teknik dalam seni cetak Malaysia.


Bagi menghuraikan pengaruh ekologi terhadap karya, Jadual 1 memperincikan maklum balas informan melalui sesi temubual yang telah dijalankan. Maklumat yang diperoleh menggambarkan faktor persekitaran yang mempengaruhi proses kreatif dalam penghasilan karya seni secara menyeluruh.






Comments