top of page

PENGARUH PERSEKITARAN MELALUI BENTUK DAN MAKNA DALAM KARYA ARTIS SENI CETAK MELAYU DI MALAYSIA

  • Writer: Fadli Mokh
    Fadli Mokh
  • Dec 27, 2025
  • 22 min read

Oleh Mursyidah Zainal Abidin, Sabzali Musa Kahn dan Fakhrur Razi Maamor




ABSTRAK


Pengaruh persekitaran merupakan faktor terhadap pembentukan idealisasi dan pemikiran yang membentuk perkembangan minda setiap manusia; tidak terkecuali artis cetak Melayu dalam pengkaryaan mereka. Oleh itu, kajian ini bertujuan untuk menerokai faktor persekitaran yang mempengaruhi artis Melayu melalui bentuk dan makna dalam penghasilan karya seni cetakan. Penyelidikan ini mengaplikasikan kajian kualitatif dengan melaksanakan kaedah kajian lapangan dan analisis subjek berpandukan teori. Melalui kaedah kajian lapangan, seramai tiga orang artis seni cetak Melayu di Malaysia dipilih bagi menganalisis karya-karya yang dihasilkan oleh mereka. Sementara itu, analisis dijalankan dengan berpandukan teori Terry Barret dengan memberi tumpuan kepada bentuk dan makna karya-karya terpilih. Hasil kajian mendapati bahawa persekitaran memberi impak kepada produktiviti karya dalam memberikan inspirasi dan impak melalui seni visual. Setiap artis menginterpretasikan persekitaran mereka dengan cara yang unik, melalui simbolisme, tema dan gaya diterapkan dalam karya mereka. Kesimpulannya, pengaruh persekitaran artis bukan sahaja penting dalam membentuk ideologi dan kreativiti artis, malah mampu menghasilkan karya seni cetak yang mendalam dan menarik dalam bentuk visual. Kajian ini memperlihatkan betapa pentingnya memahami konteks persekitaran yang memberikan implikasi terhadap penghasilan karya serta impaknya terhadap analisis seni.


Kata Kunci: persekitaran; seni cetak; Terry Barrett; bentuk; makna



Pengenalan


Persekitaran dan alam sekitar sering dijadikan sumber inspirasi dan berpotensi mempengaruhi seseorang individu dalam menjalani kehidupan seharian. Persekitaran didefinisikan sebagai keadaan sekeliling termasuklah keadaan fizikal, iklim, sosiobudaya, politik dan interaksi di antara manusia sesama manusia dan alam sekitarnya. Menurut Mahyuddin dan Elias (2002), persekitaran adalah rangsangan yang mempengaruhi perkembangan individu. Persekitaran menurut Bronfenbrenner (1979), terdapat lima komponen ekologi yang digariskan, iaitu mikrosistem, mesosistem, ekosistem, makrosistem dan kronosistem. Setiap komponen melihat pengaruh persekitaran secara khusus, persekitaran ekosistem dan persekitaran umum. Persekitaran khusus terdiri daripada ahli keluarga, rakan, jiran dan guru; persekitaran ekosistem ialah pekerjaan ibubapa, sistem pendidikan dan sistem pentadbiran; manakala persekitaran umum ialah budaya, nilai, agama, kepercayaan, teknologi, media massa dan pelbagai lagi.


Kajian berkaitan konteks karya adalah satu kajian yang dilakukan bagi memahami kandungan, lantar belakang, kedudukan tematik seni atau isu dan idea bagi sesebuah karya yang dihasilkan. Isu-isu seperti sosiologi, politik, ekonomi dan budaya sering diketengahkan oleh pengkarya sama ada dalam bentuk lukisan atau catan baik cetakan mahupun arca (Arif et al, 2015). Pembuatan kandungan atau makna memainkan peranan penting dalam membangunkan pemahaman dan idea yang baik bagi sesebuah karya. Penyelidikan studio individu seseorang artis secara teori membantu mereka untuk menyampaikan mesej melalui visual, subjek, media dan teknik yang digunakan. Daichendt (2012) menekankan bahawa komponen penulisan kandungan adalah aspek yang berharga dalam pendidikan seni dan alam banyak cara, satu-satunya bentuk penyelidikan yang diiktiraf oleh universiti kontemporari. Merujuk kepada pengertian seni, Hamid (2004) menyatakan bentuk ialah tatacara, kaedah dan susun atur elemen atau unsur seni seperti garisan, bentuk, warna, ruang dan jalinan sementara prinsip seni melibatkan unsur pergerakan, imbangan, kontra, penegasan, komposisi dan lain-lain.


Othman (2025) dalam buku Seni Visual, memahami karya seni perlu bagi masyarakat untuk menghargai dan mengetahui bahawa imej visual serta mesej yang ingin dipersembahkan. Pemahaman bentuk, makna atau isi karya diterjemahkan menjadi wacana seni yang perlu di bincangkan dari pelbagai peringkat untuk meningkat pengetahuan dan kesedaran dalam masyarakat. Keunikan seni sebagai satu bidang telah menjadi minat seseorang individu walau mungkin tanpa disedarinya. Bagi sesetengah individu, bidang ini bukan hanya sekadar minat, malahan boleh menjadi kerjaya, sumber pendapatan dan sebagainya (Hamid, 2004).


Perkembangan seni di Malaysia semakin mendapat perhatian masyarakat sebagai satu budaya hidup seiring dengan kehidupan manusia. Kategori seni yang umum ketahui seperti seni kraf tradisi, seni gunaan, seni hiasan dalaman, seni anyaman, seni sastera, seni reka grafik, seni halus termasuklah catan, cetakan, arca dan banyak lagi. Seni halus merupakan antara cabang seni yang sering bertindih penggunaan istilahnya seperti seni rupa, seni visual dan seni tampak. Abdullah (2017) menolak persepsi istilah seni halus yang dianggap eksklusif dan menyarankan wacana seni moden Malaysia perlu membincangkan terminologi secara inklusif terhadap praktis seni yang sentiasa berubah-ubah.


Manakala seni cetak merupakan disiplin seni yang mempamerkan pelbagai teknik pemindahan imej daripada sebuah blok ke permukaan yang lain. Menurut Khoo et al (2012), kemunculan seni cetakan pada 1950-an di Malaysia mula mendapat pengiktirafan dan terus berkembang seiring dengan sokongan kerajaan dengan adanya penubuhan Dasar Kebudayaan Kebangsaan pada tahun 1970-an.



Persoalan Kajian dan Objektif


Kajian ini bertujuan untuk menerokai persekitaran yang mempengaruhi artis Melayu melalui bentuk dan makna dalam penghasilan karya seni cetakan mereka. Pemahaman ‘bentuk’ menurut Ocvirk (2013) adalah bersifat tangible, iaitu sesuatu yang boleh dilihat, disentuh, dirasa, didengar dan dihidu manakala ‘makna’ pula bersifat intangible, iaitu hal yang berkaitan dengan konsep dan falsafah sama ada tersurat atau tersirat. Perkara ini turut dinyatakan oleh Hadi (2022) yang berpendapat persoalan bentuk dan makna di dalam penghayatan karya seni amat penting dalam memberikan nilai tambah kepada sesebuah karya. Kepelbagaian gaya penghasilan karya seperti abstrak mengakibatkan kesukaran untuk difahami khalayak, namun terdapat beberapa kaedah tertentu yang boleh menghuraikannya dengan baik.


Selain daripada memahami bentuk dan makna, proses apresiasi dilakukan dengan mengumpul, menghurai, menganalisis, mentafsir dan memberikan penilaian di dalam sesebuah karya. Terdapat pelbagai kaedah dan teori seni yang boleh digunakan seperti teori apresiasi dan kritikan seni yang dianjurkan oleh Edmund Feldman, Terry Barret dan Lucy Lippard. Keupayaan pengkaji dalam menganalisis bentuk dan mentafsir makna diperlukan dari segala aspek keseluruhan tanda, simbol, motif dan komposisi di dalam karya. Pengetahuan, pengalaman dan intuisi sebelum tafsiran intrinsik dan ekstrinsik yang menjadi petunjuk makna sesebuah karya dihasilkan oleh artis (Panofsky,1955).


Isa (2022) dalam kajiannya menyatakan pelbagai faktor membentuk gaya visual dalam karya artis seni cetak di Malaysia. Ini termasuk konteks sejarah, pilihan medium dan latar belakang budaya lokal yang memperlihatkan hubungan antara bentuk dan makna karya. Oleh itu, persoalan kajian menekankan bahawa faktor-faktor yang mempengaruhi bentuk dan makna perlu dikaji untuk memahami konteks karya yang ingin di sampaikan. Ini turut di sokong oleh Abdullah et.al (2022), menegaskan pemilihan bahan, penggunaan teknik cetakan mono, hibrid dan eksperimentasi medium baru membuka ruang kepada tafsiran makna yang lebih kompleks.


Menurut Noor (2022), seni cetak kontemporari di Malaysia mula berkembang apabila artis berkarya melalui eksplorasi media baru, manipulasi bentuk cetakan bukan tradisi dan mencetuskan makna dari pelbagai konteks persekitaran sosiobudaya tempatan. Pemahaman bentuk bukan hanya melalui pemilihan subjek atau pilihan simbol-simbol tertentu, tetapi bentuk dilihat berdasarkan elemen dan prinsip seni yang diterapkan di dalam karya seperti garisan, warna dan komposisi.


Pengaruh Persekitaran dalam Konteks Seni Visual


Kanvas dan idea setiap artis adalah berbeza. Walau bagaimanapun, karya seni itu mempunyai satu persamaan iaitu mempersembahkan idea atau naratif bagi menyampaikan mesej tersirat dalam sesuatu bentuk visual. Seni visual itu sendiri mempunyai kekuatan dalam menterjemahkan isu-isu besar seperti ekologi dan budaya ke dalam bentuk simbolik atau perlambangan yang mudah difahami oleh audiens. Tema yang berkaitan dengan ekologi sering menjadi rujukan dan inspirasi kepada kebanyakan artis di Malaysia kerana ia berkait rapat dengan kehidupan harian yang turut mengubah landskap sosial mereka. Respons dan reaksi mereka terhadap isu semasa bukan sahaja menjadi cerminan sensitiviti mereka terhadap keadaan semasa, tetapi turut memberi impak besar kepada komuniti setempat dan masyarakat secara amnya. Dengan itu, peranan artis tidak lagi dilihat hanya sebagai pencipta objek estetik, sebaliknya sebagai perekod visual, pengkritik sosial dan agen kesedaran terhadap isu-isu sejagat.


Dalam konteks seni visual kontemporari, tema persekitaran dan ekologi dilihat merentas disiplin, fungsi dan medium. Penghasilan karya tidak lagi terikat kepada nilai estetika semata-mata, sebaliknya turut mengangkat peranan seni sebagai wacana kritikal terhadap krisis ekologi, hubungan manusia dengan alam, serta pelestarian budaya. Sejak tahun 1970-an, artis seperti Nirmala Dutt Shanmughalingam telah menggerakkan kesedaran awam melalui karya-karyanya yang merakamkan isu alam sekitar. Fotografi dan cetakan sutera saring beliau, khususnya yang berkaitan dengan isu pembalakan haram di Sarawak, menjadi antara contoh awal bagaimana seni boleh digunakan sebagai instrumen advokasi sosial. Perkembangan ini semakin ketara pada era 1990-an apabila artis-artis lain mula menjadikan isu ekologi sebagai tema utama dalam karya mereka, sejajar dengan peningkatan kesedaran masyarakat global tentang perubahan iklim dan kerosakan alam sekitar.


Peranan dasar kebudayaan negara juga tidak boleh diketepikan dalam memahami arah aliran ini. Dasar Kebudayaan Kebangsaan 1971, dan terkini Dasar Kebudayaan Negara 2021, memberi ruang kepada seni visual untuk berfungsi bukan sahaja sebagai wahana estetik tetapi juga sebagai instrumen pembinaan identiti, nilai budaya dan kesedaran sosial. Dalam kerangka ini, karya seni bertemakan persekitaran turut mengisi agenda nasional yang menekankan keseimbangan antara pembangunan moden dengan kelestarian ekologi. Justeru, karya seni tidak terasing daripada realiti masyarakat, malah bergerak seiring dengan misi nasional untuk mengekalkan warisan, jati diri dan tanggungjawab sosial terhadap alam.


Dalam perbincangan kontemporari, teori kritikan seni seperti yang dikemukakan oleh Terry Barrett dan Edmund Burke Feldman memberikan asas penting untuk menafsir karya. Barrett (2011) menegaskan bahawa makna sesebuah karya bergantung kepada konteks keadaan, pengalaman artis serta latar sosialnya. Melalui kerangka ini, karya seni bertemakan persekitaran dapat difahami bukan sahaja daripada aspek bentuk dan medium, tetapi juga melalui mesej tersirat yang disampaikan. Feldman (1985) pula menekankan apresiasi melalui deskripsi, analisis, interpretasi dan penilaian – satu proses yang membuka ruang untuk audiens memahami karya bukan sekadar objek tetapi sebagai naratif visual yang menghubungkan manusia dengan ekologi.

Kepelbagaian teknik, gaya dan media yang digunakan artis membolehkan audiens melihat karya daripada pelbagai perspektif. Sebagai contoh, Pasak Bumi (2017) karya Faizal Suhif mengangkat tumbuhan tongkat ali sebagai simbol keseimbangan manusia dengan alam, menggunakan metafora seni bina Melayu untuk menekankan konsep kesinambungan ekologi dan falsafah hidup. Haafiz Shahimi melalui Self-Fish (2014) pula menggabungkan potret dirinya dengan simbol ikan koi dan teknik pyrography yang menampilkan unsur introspeksi peribadi serta sindiran sosial. Sementara itu, Fadli Mokhtar dalam karya Sacred Mountain (2021) memanifestasikan pengalaman peribadi ketika berada di Jepun dengan mengolah landskap minda melalui bentuk organik dan geometri. Tiga karya ini membuktikan bahawa isu persekitaran tidak sekadar menjadi latar visual, tetapi juga menjadi pemangkin kepada pencarian identiti, kritikan sosial dan refleksi diri


Fenomena ini turut diperkukuh dengan kajian antarabangsa. Lorusso & Braida (2012) menegaskan bahawa seni berperanan sebagai media eko lestari, etika dan estetika, manakala Myrzabayeva (2023) melihat seni ekologi sebagai agen pendidikan global yang berupaya menyeimbangkan keperluan manusia dengan tanggungjawab terhadap alam. Perbandingan ini memperlihatkan bahawa artis Malaysia sebenarnya turut bergerak dalam arus wacana sejagat, dengan seni mereka menjadi sebahagian daripada dialog global tentang kelestarian dan tanggungjawab sosial.


Kajian Izwanna et al. (2020) membuktikan bahawa elemen budaya dan alam sekitar dalam karya seni cetak bukan sahaja menampilkan ekspresi estetik tetapi turut menegaskan identiti kebangsaan. Seni dalam hal ini menjadi wadah yang menghubungkan warisan budaya dengan kesedaran ekologi. Tambahan pula, Abidin et al. (2024) menekankan bahawa subjek persekitaran berfungsi sebagai pemangkin konsep, bentuk, medium dan makna dalam naratif seni kontemporari Malaysia. Hal ini seiring dengan pandangan bahawa seni tidak hanya membincangkan idea atau mempersembahkan hasil, tetapi memainkan peranan penting sebagai agen perubahan sosial yang mampu membentuk kesedaran masyarakat tentang kepentingan menjaga alam sekitar.


Kesimpulannya, peranan artis dalam mengangkat tema persekitaran bukan sahaja menekankan aspek estetik tetapi juga merangkumi aspek ideologi, budaya, falsafah dan tanggungjawab sosial. Karya seni bertemakan ekologi dan persekitaran di Malaysia membuktikan bahawa seni berupaya menjadi instrumen advokasi yang menghubungkan manusia dengan alam, menyemai kesedaran budaya serta memperkukuh identiti nasional. Seni yang lahir daripada persekitaran ini bukan sekadar objek tontonan, tetapi merupakan wacana kritikal yang menuntut renungan mendalam daripada audiens. Dalam era kontemporari, artis Malaysia terus mengekalkan tradisi ini, sambil menyumbang kepada perbincangan global tentang kelestarian dan masa depan ekologi.


Seni Cetak di Malaysia


Bidang seni cetak mula bertapak sekitar tahun 1930-an di Malaysia kesan penghijrahan orang Cina dari Singapura pada ketika itu. Aktiviti seni cetak dan karya cetakan yang dihasilkan menjadi bukti kewujudan seni cetak oleh artis yang terawal menggunakan medium cetakan. Abdullah Arif dan Chuah Thean Teng merupakan artis yang direkod menghasilkan karya seni menggunakan teknik cetakan timbul. Menurut Isa (2023) dalam kajiannya “Tracing and Tracking Printmaking Exhibitions in Malaysia: 1960-2020”, teknik cetakan lino oleh Abdullah Arif telah dijadikan sebagai ilustrasi hiasan dalam majalah sekolah dan poster promosi pada tahun 1935. Manakala, pada tahun 1938, Chuah Thean Teng memaparkan potret, keindahan dan kegiatan sosial masyarakat setempat melalui teknik cetakan kayu berskala kecil. Karya beliau bertajuk ‘Portrait’, ‘Break Time’ dan ‘Go to Market’ merupakan karya yang menjadi penanda aras kepada perkembangan seni cetakan di Malaysia (Sakdudin, 2018).


Perkembangan seni cetak tempatan memaparkan subjek-subjek kemasyarakatan seperti alam pekerjaan serta landskap persekitaran dilihat dalam pengolahan karya. Sebagaimana yang dinyatakan oleh Hadi et al. (2019), selepas era kemerdekaan artis seni cetak menerapkan kepelbagaian gaya dan tema terus berkembang sekembalinya mereka ke tanah air setelah menuntut di luar negara. Manakala dari segi teknik cetakan, Mahamood (2001) berpendapat selain cetakan konvensional, dekad 1990-an telah memperlihatkan teknik baru cetakan komputer dan cetakan gabungan pelbagai teknik seperti gurisan foto dan sutera saring.


Pendidikan seni yang berfokus terhadap seni cetakan juga menjadi titik tolak kepada perkembangan seni cetak di Malaysia. Pada 1960-an, penubuhan institusi pendidikan seni menjadi platform ilmu seni cetakan diajar dan dikongsikan kepada pelajar-pelajar di sekolah. Pengaruh pendidikan dari luar negara turut mempengaruhi bidang seni cetak apabila artis seperti Lee Joo For dan Abdul Latiff Mohidin pulang dari pengajian di luar negara. Mereka juga merupakan guru yang aktif mengembangkan pengetahuan dan kemahiran seni cetak selain daripada berkarya menggunakan teknik tersebut.


Menurut Jamal (1992), keperluan pendidikan peringkat tertiary menjadi penting apabila permintaan yang meningkat terhadap artis visual dan pereka berbakat berlaku dengan kemunculan proses perindustrian. Menjelang akhir dekad 1960-an dan awal 1970-an, bidang seni cetak dijadikan sebagai bidang pengajian khusus di Institut Teknologi MARA dan Universiti Sains Malaysia dan diikuti oleh institusi yang lain. Situasi ini telah menjadi titik tolak lahirnya seniman seni cetak negara seperti Ponirin Amin, Ismail Latiff, Mansor Ibrahim, Juhari Said, Bahaman Hashim, Awang Damit Ahmad dan Jamil Mat Isa.


Pengaruh gaya barat sangat mempengaruhi artis dalam penghasilan karya awal seni cetak di Malaysia pada era 70-an hingga 80-an. Namun begitu, penekanan terhadap tema berkaitan isu jati diri dan identiti mula timbul apabila Dasar Kebudayaan Kebangsaan (DKK) dibentuk pada 1971. Menelusuri tema-tema awal dalam penghasilan karya artis seni cetak, Long Thien Shih yang menampilkan cetakan sutera saring dengan gaya Seni Pop berubah kepada persoalan kemasyarakatan dan alam sekitar melalui karya bertajuk “Untitled” (1991). Tema kemasyarakatan, unsur-unsur Islam seperti kaligrafi, kesenian tradisi menerusi motif-motif batik dan isu-isu budaya antara yang diketengahkan, namun pada peringkat akhir dekad 1990-an karya kritikan sosial mula dijadikan idea di dalam karya. Juhari Said antara artis seni cetak terawal yang menggunakan pendekatan peribahasa dalam menyampaikan mesej di dalam siri karya ‘Katak nak jadi lembu’. Karya ini sangat bertepatan dengan DKK yang menyarankan tiga konsep penting berkaitan dengan kebudayaan Melayu dan peribumi serta Islam yang menjadi unsur penting dalam penghasilan karya seni di Malaysia.


Seni cetak dan kaedah penghasilannya sering dikaitkan dengan cetakan tradisi yang wujud dalam budaya di Malaysia. Sebagai contoh, acuan pembakar untuk kuih bahulu dan kuih loyang sama seperti blok atau matriks yang digunakan dalam proses pembuatan cetakan. Juhari Said melalui pameran Go Blok (2018) yang ketiga turut menyatakan bahawa cetakan telah wujud dalam kegiatan seharian masyarakat Melayu melalui penghasilan alat seperti sarang kuih putu, kuih loyang dan penghasilan jala yang disamakan dengan cetakan dengan mengambil kira elemen pengulangan. Elemen pengulangan dengan menggunakan blok ini dilihat melalui karya Juhari bertajuk Untitled (2009) yang menggunakan bahan tanah sebagai medium dalam pengkaryaan.


Artis seni cetak di Malaysia sering menggunakan bahan-bahan dan teknik yang mencerminkan hubungan mereka dengan persekitaran semula jadi. Contohnya, penggunaan bahan-bahan tempatan seperti kayu dan batu dalam teknik cetakan, serta inspirasi dari flora dan fauna tempatan. Karya-karya ini bukan sahaja menonjolkan keindahan alam semula jadi Malaysia, malahan turut menyampaikan mesej tentang pemeliharaan dan kesedaran alam sekitar. Faizal Suhif (2014) melalui pameran solo beliau, iaitu “stories from the soil” yang berlansung di Galeri G13, menyatakan:

‘Seeds can grow into trees, they are food and oxygen supplier, we have too many reasons to appreciate seeds’


Beliau bukan sahaja menginspirasikan alam sebagai kandungan karya, malah bahan itu sendiri (tanah) menjadi medium dalam menghasilkan karya cetakan. Bahan yang digunakan turut memberikan makna selain dari kesan, bentuk dan warnanya.


Muhamad et.al (2023) dalam kajiannya menegaskan bahawa hubungan makna dalam karya seni cetak bertitik tolak di antara medium dan teknik yang berpotensi mengubah cara makna dibentuk dan difahami. Seni cetak bukan sekadar proses reproduksi visual, ia melibatkan interaksi medium, teknik dan makna dalam penghasilan kreatif (Abidin et al, 2013). Menurut Abdullah et.al (2022), perkembangan monoprint di Malaysia membuka ruang makna baru terhadap tafsiran melalui eksperimentasi teknik cetakan dan bukan sekadar perubahan bentuk.


Sementara itu, Omar (2009) menyatakan perkembangan gaya seni cetak di Malaysia dari era 1970-an sehingga 1990-an dapat dibezakan berdasarkan perbezaan formal, teknik, subjek dan konteks penghasilan karya seniman. Kajian beliau memperlihat bagaimana lingkungan seni seperti institusi galeri, pihak kuratorial dan sokongan seni negara mempengaruhi perkembangan bentuk, makna dan konteks karya. Perkara ini menjelaskan bahawa bentuk dan makna tidak hanya wujud daripada persekitaran umum seniman malah turut dipengaruhi oleh ekosistem seni termasuklah jaringan artis, motivasi serta konteks pameran seni tempatan.


Kaedah Penyelidikan


Kajian ini mengaplikasikan penyelidikan kualitatif bagi memahami dan menjawab persoalan yang timbul. Interpretasi karya diperoleh melalui kaedah pemerhatian dan analisis dokumen seperti katalog pameran, buku dan data digital daripada laman sesawang yang berkaitan. Pengaplikasian kajian kualitatif ini membolehkan pemahaman terhadap hubung kait persekitaran dan pemaknaan melalui bentuk yang wujud pada karya cetakan terpilih diperjelas. Sebanyak tiga buah karya daripada tiga orang artis seni cetak melayu dianalisis menggunakan disiplin ilmu apresiasi seni oleh Terry Barret bagi meneroka pemahaman bentuk dan makna. Hal ini turut dinyatakan oleh Ali (1989) dan Hamid (2004) dalam proses membuat sesebuah apresiasi seni catan dan cetakan melibatkan deria pandang dan deria sentuh.


Tiga artis seni cetak yang dipilih dalam kajian ini ialah Faizal Suhif, Haafiz Shahimi dan Fadli Mokhtar. Mereka dipilih berdasarkan tema persekitaran yang mempengaruhi artis sepanjang penghasilan karya dan hal ini selari dengan tujuan kajian ini yang memilih tiga artis bersama karya cetakan masing-masing. Fungsi seni bukan sekadar hiburan malah berperanan sebagai medium pendidikan bagi meningkatkan kesedaran terhadap isu global. Pengalaman dan motivasi berkarya artis membentuk naratif visual daripada pelbagai faktor persekitaran sekali gus menyumbang kepada wacana seni yang kritis (Mat & Baharuddin,2016)


Karya Pasak Bumi oleh Faizal Suhif (Gambar 1), Self-Fish oleh Haafiz Shahimi (Gambar 2) dan Sacred Mountain oleh Fadli Mokhtar (Gambar 3) antara yang dikenal pasti bagi melihat pengaruh persekitaran dalam karya. Bersandarkan kepada kerangka Terry Barret (Rajah 1), karya ditumpukan pada kaedah mentafsir bentuk dan makna yang terkandung di dalam karya seni cetakan terpilih.



Gambar 1:

Pasak Bumi (2017) oleh Faizal Suhif






Gambar 2

Self-Fish oleh Haafiz Shahimi








Gambar 3

Sacred Mountain oleh Fadli Mokhtar







Teori Kritikan Seni oleh Terry Barret



Kajian Lerma (2023) menyatakan Terry Barret merupakan seorang tokoh yang mengajar pendidik, pengkaji, pelajar seni dan audiens untuk melihat dan memahami karya seni visual. Bidang kritikan dan pendidikan seni perlu diajar, dibincangkan dan ditafsirkan berdasarkan falsafah dan pendekatan tafsirannya. Teori kritikan seni Barret memperkasa individu berfikir secara mendalam, menekankan tafsiran reflektif, pemahaman konteks dan berdialog tentang budaya visual bukan sekadar di dalam bilik kuliah malah wacana seni secara terbuka. Kritikan seni yang baik menyerlahkan hasil pembelajaran di antara pelajar dan guru, peningkatan kendiri pelajar, pemantapan kerja dan mengambil kira respons daripada audiens (Blair, 2019).


Barret (2011) menjelaskan bahawa makna karya seni bergantung kepada konteks keadaan yang membentuk latar belakang artis. Keadaan ini pula berbeza-beza, dari mana dan bagaimana sesuatu objek diletakkan, cara objek dikaitkan dengan sejarah, pengalaman artis dan keadaan di dunia luar. Teori yang digariskan oleh Terry Barret ini sering digunakan bagi membuat apresiasi dan tafsiran bentuk dan makna dalam karya seni. Sebagaimana yang dipaparkan dalam Rajah 1 berikut, kerangka Barret memperlihatkan lima perkara, iaitu Subjek (Subject), Media (Medium), Bentuk (Form), Konteks (Context) dan Makna (Meaning) dalam memahami sesebuah karya.






Rajah 1

Kerangka Terry Barret






Kerangka apresiasi karya melalui bentuk dan makna seperti dalam Rajah 1 diterjemahkan berdasarkan (1) subject (subjek), karya seni dilihat pada subjek, objek atau imej yang digunakan; 2) medium, bahan dalam penghasilan seni; 3) form (bentuk), kaedah atau teknik karya dihasilkan; 4) context (konteks), hubungan sifat (1) subjek yang wujud dalam sesuatu keadaan atau fungsinya; dan (5) meaning (makna), cerita atau mesej yang ingin disampaikan dalam sesebuah karya seni. Sehubungan itu, pengaplikasian kerangka Barret ini berkemampuan dalam menganalisis karya seni cetak yang dipilih secara sistematik berdasarkan lima perkara tersebut.


Analisis ini melibatkan tiga langkah utama iaitu deskripsi, interpretasi dan penilaian. Teori Barret menekankan tafsiran dengan menyatakan elemen visual yang nyata (subjek, media dan bentuk) dengan mengambil kira konteks sejarah, sosial dan biografi artis agar makna yang diterjemahkan tidak sekadar subjektif tetapi dibincangkan secara kritis (Barret, 2000).



Dapatan dan Perbincangan


Kajian ini membincangkan tiga karya cetakan mono yang dihasilkan secara tunggal tanpa edisi seperti teknik cetakan konvensional. Jadual 1 memaparkan dapatan analisis yang mengaplikasikan pendekatan Terry Barret bagi memahami subjek, medium, bentuk, konteks dan makna karya;


Analisis karya cetakan ini memperlihat bahawa ketiga-tiganya mempunyai pengaruh persekitaran bukan sekadar visual dalam bentuk dan makna semata-mata. Persekitaran artis sangat mempengaruhi mereka dalam penghasilan karya termasuklah penggunaan media dalam setiap karya. Kepelbagaian media dan teknik juga memberikan perspektif yang saling berkaitan dalam memberikan makna dan cerita pada karya. Hal ini dinyatakan oleh Blankenship dan Tan (2020), bahawa pengaruh persekitaran dalam karya seni tidak terhad kepada tema, malah diintegrasikan ke dalam struktur formalistik dan simbolik. Walaupun kurang diberikan perhatian, elemen visual budaya yang sering dilihat dalam bentuk corak, warna atau objek tradisi memperlihatkan naratif sejarah, kepercayaan dan nilai yang mendalam.


Karya Faizal Suhif bertajuk Pasak Bumi (2017), sangat berkait rapat dengan pengalaman diri, keluarga dan persekitarannya yang rapat dengan alam. Aktiviti bertani, mengumpul hasil bumi dikaitkan dengan estetika dan metafora tentang bumi, tanah menjadi sumber pekerjaan dan rezeki keluarga beliau. Agama Islam sendiri amat menekankan hubungan suci di antara manusia, tanah dan keadaan sekeliling. Kaitan ini dimanifestasikan oleh artis dalam ‘body of work’, proses kerja melalui hubungan antara subjek, media, medium dan penceritaan dalam karya. Makna di dalam karya adalah refleksi peribadi artis terhadap hal yang berlaku di persekitaran beliau. Subjek tumbuhan yang digunakan Pasak Bumi dikenali sebagai Tongkat Ali atau nama saintifiknya Eurycoma Longifolia merupakan tumbuhan yang boleh ditemui di dalam hutan Malaysia dan Indonesia. Pasak bumi adalah sejenis tumbuhan yang sering dikaitkan fungsinya dengan kesuburan lelaki.


Selain itu, perkataan ‘pasak’ yang dimaksudkan oleh artis merujuk kepada kaedah cantuman di antara sekeping kayu yang berslot untuk menguatkan sambungan di antara dua struktur. Elemen pasak ini dapat dilihat dalam unsur seni binaan rumah Melayu yang diasimilasikan dengan hubungan manusia dengan alam sekitar (Abdul Wahab & Bahauddin, 2018). Sementara itu, istilah ‘bumi’ menurut Okafor (2013) berperanan sebagai sumber utama manusia melalui aktiviti seni yang bukan sekadar menyumbang bahan malah menjadi simbol kesedaran terhadap alam sekitar demi kelestarian hidup di antara manusia dan seni. Refleksi artis terhadap perlambangan budaya dan kesedaran ekologi bertindak sebagai pemerhati dan manifestasi dalam bentuk visual. Oleh itu, gabungan istilah ‘pasak’ dan ‘bumi’ adalah tindak balas artis terhadap kesedaran alam sekitar yang dilihat dalam konteks sosial dan falsafah Melayu.


Penggunaan media campuran seperti kesan daripada tanah, bitumen, stensil dan cat minyak di atas kanvas juga memberikan gambaran bentuk dan makna dalam karya. Kesan stensil yang terhasil seperti bentuk permukaan tanah dan batu-batu kecil pada tujuh bentuk tumbuhan organik turut memberikan impak kepada visual yang realistik. Warna merah pada salah satu subjek dan disusun di tengah-tengah menjadikannya sebagai tumpuan utama karya. Teknik cetakan Faizal terapkan ini di kenali sebagai Imprint atau Impression yang menghasilkan kesan tektura hasil daripada tekanan dan gosokkan permukaan objek dari alam dengan menggunakan dakwat. Istilah frottage juga merujuk kepada kaedah yang sama (Pindyck,2018).


Selanjutnya, Haafiz Shahimi melalui karya Self-fish (2014), merupakan karya yang bersifat biografi artis sendiri. Terjemahan selfish daripada bahasa Inggeris membawa maksud mementingkan diri sendiri mencerminkan sifat ego dan introspeksi diri. Dua patah perkataan yang menjadi tajuk karya self (diri) dan fish (ikan) menggambarkan subjek di dalam karya cetakan disampaikan secara literal. Permainan bahasa dan visual digabungkan dalam menyampaikan unsur sinikal melalui potret wajah artis sendiri dan susunan ikan sebagai komposisi di sekelilingnya.


Sifat seseorang manusia terbentuk sejak lahir berdasarkan pengaruh dari lingkungannya terutama keluarga. Perasaan dan sifat pentingkan diri sendiri merupakan sifat yang dimiliki oleh setiap manusia. Bergantung kepada situasi dan bagaimana cara seseorang respons terhadap masalah yang ada, setiap manusia akan mempamerkan sifat ini bagi memastikan apa yang dimiliki atau diperjuangkan terpelihara. Sifat ini terlihat negatif bagi sesetengah manusia namun menjadi titik tolak kepada bagaimana manusia bereaksi dan berinteraksi dengan lingkungan sosialnya. Subjek ikan Koi di dalam karya disusun secara dinamik sama seperti sifat ikan itu yang sering berenang berkumpulan. Sususan ikan yang seolah-olah berenang ke sekeliling wajah dalam karya membawa mesej ingin menguasai seseorang atau sesuatu. Hal ini, memperkukuh naratif mengenai pengaruh luar terhadap keperibadian manusia.


Susunan subjek ikan menimbulkan kesan yang dramatik ditambah dengan kesan seperti asap dan terbakar. Teknik cetakan pyrography adalah teknik yang menggunakan api dan kesan terbakar sebagai media dan medium penyampaian karya Haafiz. Warna hitam yang terdapat dalam karya adalah hasil daripada kesan terbakar dan asap yang memberikan refleksi kepada sifat negatif pentingkan diri. Sementara itu, warna kuning pada potret seperti bercahaya ibarat menarik perhatian unsur-unsur alam menuju ke arahnya. Perkara ini jelas menunjukkan bahawa bahan, kesan dan warna yang digunakan turut memberi impak di dalam sesebuah karya.


Pengaruh dari pengalaman hidup yang pernah berhijrah ke Jepun, landskap persekitaran yang jauh dan berbeza dari negara sendiri menjadi konteks dalam karya cetakan Fadli Mokhtar. Karya yang bertajuk “Sacred Mountain” (2021), adalah satu bentuk landskap minda artis yang digambarkan menggunakan bentuk-bentuk organik dan geometrik. Setiap bentuk yang digubah dalam karya mempunyai makna dan cerita yang ingin dikongsi oleh pengkarya. Pengalaman berada di negara Jepun yang terdedah dengan suasana dan budaya yang berbeza membuatkan artis lebih mencari jati diri bagi pembangunan identiti. Proses kreatif penghasilan karya ini menjadikannya bukan sekadar karya malah menelusuri serpihan kenangan dan kerinduan artis yang tidak terungkap secara verbal.


Karya yang menjadi salah satu daripada pameran siri mind(E)scape pada asasnya ialah peta di mana artis merekod dan menavigasi perubahan dalam hidupnya. Bentuk segi tiga pada karya melambangkan sebuah gunung atau bukit yang menjadi mercu tanda negara matahari terbenam tersebut. Selain itu, bentuk geometrik segi tiga juga sangat rapat dengan alam Melayu sering dijadikan sebagai motif yang menjadi simbol ketuhanan. Alam semula jadi sering memberikan inspirasi kepada pengkarya apabila elemen-elemen persekitaran diasimilasi dalam bentuk-bentuk organik yang dikolaj untuk mencapai keseimbangan dalam karya. Penggunaan teknik dan kesan cetakan yang dihasilkan juga terlihat begitu rapat dengan alam dengan gabungan skema warna yang terang, harmoni dan spontan.


Sebagaimana yang dinyatakan oleh Milani (2009), landskap bukan sekadar ruang fizikal malah merujuk kepada ruang kontemplatif yang menggambarkan pengalaman estetik dan spiritual manusia. Pendekatan karya ini yang menggabungkan elemen cetakan dan kolaj melalui bentuk dan simbol memperlihatkan penerokaan identiti dan pengalaman peribadi. Karya seni kontemporari berperanan sebagai satu organisma yang menghubungkan pengalaman, permainan emosi dan simbol budaya membentuk visual ekspresif (Ding,2023).


Hasil perbincangan mendapati bahawa interaksi artis dengan alam sekitar dan persekitaran mereka memberikan inspirasi dan idea. Hal ini jelas bahawa latar belakang ekologi artis sangat mempengaruhi tema dan medium yang digunakan dalam karya seni cetakan mereka. Apresiasi seni dilihat dari konteks perspektif yang berbeza-beza berdasarkan pengalaman pengkarya dalam pembentukan dan penciptaan imej dan simbol berdasarkan refleksi dengan lingkungan kehidupan peribadi, sosial masyarakat, ketuhanan dan kebudayaan. Melalui teori Terry Barret, seni melihat dan membaca sesebuah karya seni dengan kaedah dan ilmu yang tertentu dapat difahami. Cara audiens yang mempunyai ilmu dalam bidang seni dan yang tiada langsung latar belakang tentang kesenian akan menilai dan membaca sesebuah karya itu dengan cara yang berbeza. Hal ini dinyatakan oleh Berger (1972) dalam buku beliau bertajuk ‘The way of seeing’ atau Seni Melihat terjemahan Alina Abdullah (2022):


“Seeing comes before words. The child looks and recognizes before it can speak.”


Petikan ayat ini menjelaskan bahawa kita melihat sesuatu sebelum kita dapat menyatakan pemahaman kita tentang persekitaran. Situasi ini sama seperti apabila seorang artis berkarya dengan cara melihat sesuatu dipengaruhi oleh cara berfikir, pengalaman dan perspektif yang ingin disampaikan dalam bentuk visual. Menurut Daud (2011) faktor persekitaran mempengaruhi hasil kreativiti dengan memberikan kesan visual yang kekal dalam ingatan. Hal ini, mendorong individu meluahkan pemikiran dan perasaan melalui karya seni. Tambahan pula, Saat (2022), menyatakan unsur visual dalam karya seni cetak sering kali dipengaruhi oleh perlambangan dari alam dan persekitaran yang digunakan untuk menyampaikan mesej tentang budaya. Selari dengan pendapat Abdullah (2012), ramai generasi artis baru Malaysia menerapkan kesedaran isu alam sekitar dan refleksi mereka terhadap realiti persekitaran di dalam karya. Artis bukan sekadar menggambarkan keindahan alam, malah menyisipkan sindiran terhadap warisan dan ekologi tempatan impak daripada pembangunan.


Perkara ini seiring dengan Dasar Kebudayaan Kebangsaan (DKK,1971) yang memainkan peranan penting dalam mempengaruhi dunia seni rupa moden Malaysia, terutamanya dalam mengimbangi isu-isu budaya tempatan dan sosial. Hal ini turut disarankan oleh Abdulah et al. (2022) dengan mencadangkan penyelidikan lanjutan yang berfokuskan karya-karya yang memartabatkan unsur budaya tempatan. Elemen budaya seperti warisan lisan dan tradisi budaya pelbagai kaum dalam karya diperluas dalam melestarikan identiti kebudayaan negara.


Kesimpulan


Perbincangan kajian ini memperlihatkan pengaruh persekitaran memainkan peranan penting dalam pembentukan visual dan makna sesebuah karya seni. Teori Barret dalam menganalisis karya seni melalui kaedah deskripsi, interpretasi dan penilaian mendapati karya bukan sekadar objek estetik malah menjadi medan wacana seni. Karya seni yang dihasilkan oleh artis seni cetak jelas mencerminkan naratif identiti daripada pelbagai konteks persekitaran dan refleksi budaya. Unsur persekitaran peribadi artis dalam memberikan respons terhadap isu politik, agama atau warisan budaya diartikulasikan melalui bentukan simbolik dengan penggunaan teknik dan bahan yang diatur dalam komposisi yang menarik. Selari dengan kaedah kritikan seni yang merujuk kepada makna seni yang bersandarkan konteks dan hubungannya dengan bentuk dan proses tafsirannya. Karya seni yang sarat dengan idea melalui bentuk dianggap membawa kekayaan mesej dan cerita yang ingin dikongsikan kepada audiens. Pengkritik dan penulis seni seperti Roger Fry dan Clive Bell menyatakan bahawa setiap karya seni penuh dengan makna dan nilai yang tersendiri melalui gubahan bentuk-bentuk.


Seni bukan sekadar dihayati secara luaran (bentuk) semata-mata tetapi secara dalaman (makna) yang tersurat dan tersirat juga perlu difahami. Hal ini, kerana perspektif dan tafsiran audiens mungkin berbeza sebelum mereka membaca makna sebenar yang ingin disampaikan oleh artis. Implikasi kajian ini menunjukkan bahawa pemahaman yang mendalam tentang ekologi perlu diperkukuh melalui praktik seni cetakan. Penelitian masa hadapan harus memberi tumpuan kepada eksplorasi lebih lanjut mengenai interaksi antara artis dan persekitaran mereka dalam konteks yang lebih luas. Penglibatan emosi dan ekspresif penting dalam menerokai apresiasi seni dalam menerokai estetika dan etika penghayatan karya seni.


Penyelidik disarankan untuk mengkaji lebih ramai artis cetakan dan bidang yang lain juga dalam melihat hubungan antara seni dan ekologi. Kajian ini memperkukuh keperluan untuk menilai lebih banyak karya seni yang lain dengan panduan dan pendekatan teori seni seperti Barret dan lain-lain. Perkara ini membuka ruang kepada pembacaan yang bersifat akademik dan berdialog secara terbuka sekali gus memperkasa budaya melalui wacana seni yang lebih kritikal dan inklusif.




Rujukan


Abdulah, N. H., Mohd Yusoff, M. Y., Ibrahim, D., Wan Mohd Zin, W. N. A., & Roshdi, S. (2022). The development of visual art in Malaysia: Focus on traditional element. International Journal of Art & Design, 6(2/SI), 1–11. https://doi.org/10.24191/ijad.v6i2/si.1117

Abdullah, S. (2017). Changing Approaches: Installations Produced in the Malaysian Art World. Wacana Seni Journal of Arts Discourse, 16.

Abidin,M. Z., Daud, W. S. A. W. M., & Rathi, M. R. M. (2013). Printmaking: Understanding the terminology. Procedia - Social and Behavioral Sciences, 90, 405–410. https://doi.org/10.1016/j.sbspro.2013.07.109

Abidin, M.Z, Sabri, N. S., Wan Mohd Daud, W. S. A., & Wulandari, W. S. (2024). Waste materials as a sustainable medium in contemporary art: An analysis of Malaysian artists’ creative practices. Environment-Behaviour Proceedings Journal, 9(28), 91–97. https://doi.org/10.21834/e-bpj.v9i28. 5919

Ali, Z. (1989). Seni dan Seniman: Esei-Esei Seni Halus. DewanBahasa dan Pustaka.

Arazzi, A., & Sayahdikumullah, D. (2022). Printmaking expansion by the other form of presentation. In ICON ARCCADE 2021: The 2nd International Conference on Art, Craft, Culture and Design.

Arif, M. F. M., Lugiman, F., & Mohamad, N. (2015). Elaborating context from the content making framework. In O. Hassan et al. (Eds.), International Colloquium of Art and Design Education Research (i-CADER 2014). https: //doi.org/10.1007/978-981-287-332-3_31

Barrett, T. (2000). Studio critiques of student art: As they are, as they could be with mentoring. Theory Into Practice, 39(1), 29–35. https://doi.org/10.1 207/s15430421tip3901_5

Barrett, T. (2011). Making art: Form & meaning. McGraw-Hill.

Berger, J. (2022). Ways of seeing (A. Abdullah, Trans.). British Broadcasting Corporation & Penguin Books.

Blair, L. (2019). Book review for Critics: A student manual, by Terry Barrett. The Canadian Review of Art Education. https://doi.org/10.26443/CRAE.v46 i2.79

Blankenship, S. F., & Tan, K. K. H. (2020). The survival of cultural patterns in Malaysia’s contemporary visual landscape. In Springer. https://doi.org/1 0.1007/978-981-15-4335-7_7

Daichendt, G. J. (2012). Artist scholar: Reflections on writing and research. Intellect Ltd.

Ding, R. (2023). The multidimensional interpretation of contemporary art as an organism. Art and Design Review, 11(3), 207–215. https://doi.org/10.4236/ adr.2023.113016

Fadli. (2015). Kyoto Series #1: Living Subject. Kyoto, Japan.

Faizal, S. (2014). Stories from the soil. G13 Gallery.

Feldman, E. B. (1985). Thinking about art. Prentice-Hall.

Hadi, H.A, Musa Kahn, S., Hamidon, N. A., & Harun, Z. (2019). Tema dan gaya dalam Sinar Mata Mu oleh Ponirin Amin. Jurnal Melayu Sedunia, 2(1),406–438. https://ijie.um.edu.my/index.php/jurnalmelayusedunia/article /view/21840

Hamid, M.J.A, (2004). Falsafah dan Kritikan Seni.Universiti Pendidikan Sultan Idris. Kuala Lumpur.

Isa, M. J. M. (2023). Tracing and tracking Malaysian printmaking exhibitions: 1960–2020. Idealogy Journal, 8(1).

Izwanna, N., Legino, R., & Mohd Salleh, N. (2020). An element of culture on printmaking artworks. Environment-Behaviour Proceedings Journal, 5(SI1), 107–110. https://doi.org/10.21834/EBPJ.V5ISI1.2306

Khoo, J., & Mohamed, R. (2012). Development of printmaking in Malaysia. In Macau Printmaking Triennial.

Lerma, V. (2023). Biography of Dr Terry Barrett: Teaching us how to look at art. Visual Inquiry, 12(2), 93–100. https://doi.org/10.1386/vi_00092_1

Lorusso, S., & Braida, A. M. (2012). Art and environment as media for eco sustainability, ethics and aesthetics. Conservation Science in Cultural Heritage, 12(1), 55–78. https://doi.org/10.6092/ISSN.1973-9494/3382

M. Zooy. (2016). Faizal v Haafiz: Dawn of extended printmaking. Core Design Gallery.

Mat, M. F., & Baharuddin, M. N. (2016). Issues and Problems in Malaysian Contemporary Visual Arts. Journal of Visual Art and Design, 7(2), 131. https://doi.org/10.5614/j.vad.2016.7.2.4

Mahmood, M. (2001). Seni lukis moden Malaysia. Utusan Publications.

Mahyuddin, R., & Elias, M. (2002). Psikologi pendidikan untuk perguruan. Karisma Publications.

Mat Isa, M. J. (2022). Factors which influenced the style of Malaysian printmaking: 1930–2000. Environment-Behaviour Proceedings Journal, 7(SI9), 197–202. https://doi.org/10.21834/ebpj.v7iSI9.3939

Md Noor, R., & Khairani, M. Z. (2019). Seni cetak masa kini di Malaysia: Tinjauan umum menerusi pameran berkumpulan. KUPAS SENI, 7, 22–30. https://doi.org/10.37134/kupasseni.vol7.3.2019

Md Noor, R., Khairani, M. Z., & Abd Manan, M. A. (2014). Seni cetak dulu dan kini dalam perkembangan seni rupa di Malaysia.

Milani, R. (2009). The art of the landscape. https://www.amazon.com/Art-Landscape-Raffaele-Milani/dp/0773535470

Ministry of Tourism, Arts and Culture (2021). Dasar Kebudayaan Negara 2021. MZR Global Sdn. Bhd. https://www.motac.gov.my/en/download/category/123-dasar-kebuday aan-negara-2021

Muhamad, N. A. Y., Tahir, A., Ramli, I., Bakar, S. A. S. A., Aripin, N. A. N. M., Desa, N. E., & Arshad, M. F. (2023). The visual representation of Malaysian cultural identity in 1950s printmaking artworks. Idealogy Journal, 8(1).

Myrzabayeva, Z. E. (2023). Environmental art and its impact in the modern world. Arts Academy. https://doi.org/10.56032/2523-4684.2023.4.8.81

Noor, R. Md. (2022). Beyond the boundaries of conventional printmaking. Environment-Behaviour Proceedings Journal, 7(SI9), 427–432. https://doi .org/10.21834/ebpj.v7iSI9.3948

Noor, R. M., Manan, M. A. A., & Khairani, M. Z. (2018). A conceptual framework study on fringe printmaking among Malaysian contemporary visual artists. In Art and Design International Conference (AnDIC 2016). Springer.

Ocvirk, O. G., Bone, R., Stinson, R., & Wigg, P. (2013). Art fundamentals: Theory and practice. McGraw-Hill.

Okafor, M. A. (2013). The earth as a resource for art and creativity. Journal of Educational and Social Research, 3(5), 87. https://doi.org/10.5901/JE SR.2013.V3N5P87

Omar, M. A. (2009). A study on style in Malaysian contemporary printmaking (Doctoral dissertation, Universiti Teknologi MARA).

Othman, M. N. (2025). Seni Visual: Memahami Karya Seni. Dewan Bahasa dan Pustaka.

Panofsky, E. (1955). Meaning in visual arts. University of Chicago Press.

Pindyck, M. (2018). Frottage as inquiry. International Journal of Education Through Art, 14(1), 13–25.

Saad, M. N., Razali, R., Abdul Razak, R., Zakaria, M. S., & Said Ahmad @ Syed Ahmad, S. H. (2022). Significant of frog image as a cultural symbol in printmaking. KUPAS SENI, 10(1), 12–20. https://doi.org/10.37134/kupass eni.vol10.1.2.2022

Sakdudin, S. M. K., (2018). Seni Cetaka Seni Sepanjang Zaman. Muzium dan Galeri Seni Bank Negara Malaysia. Kuala Lumpur

Sibat, R., & Yasin, R. M. (2022). Pengaruh persekitaran sosial bilik darjah terhadap tahap penguasaan kemahiran dan motivasi murid. Malaysian Journal of Social Sciences and Humanities, 7(4). https://doi.org/10.47405/mjssh.v7i4.1446

Jamal, S. A.S (1992). Rupa dan Jiwa. Dewan Bahasa dan Pustaka.

Wahab, M. H.A, & Bahauddin, A. (2018). Merantau: Agents of developments of Malay heritages built environment. In Springer (pp. 163–171). https://doi .org/10.1007/978-981-13-0487-3_19

Warni, T., & Damajanti, I. (2020). Seni lukis penyandang tunanetra komunitas Balvi. Ultimart, 12(1), 43–53. https://doi.org/10.31937/ultimart.v12i1.1399




*Penulisan ini telah diterbitkan di Jurnal Melayu Sedunia VOL 8, ISSUE 1, 2025

 
 
 

Recent Posts

See All

Comments


bottom of page