SENI CETAK MALAYSIA DALAM DIALOG PERADABAN: MENELUSURI CHINA–ASEAN PRINTMAKING EXHIBITION 2026
- Jul 16
- 6 min read
oleh Fadli Mokhtar
Imprints of Civilizations: China–ASEAN Printmaking Exhibition 2026 merupakan sebuah platform pertukaran seni budaya yang menghimpunkan seniman, akademik, kurator serta institusi seni dari China dan negara-negara ASEAN. Program yang berlangsung di Beijing, China dari 18 Jun hingga 8 Julai 2026 ini melibatkan institusi seni terkemuka yang diterajui oleh Academy of Arts & Design, Tsinghua University dengan sokongan Beijing Culture and Arts Foundation serta Kerjasama beberapa institusi penting termasuk Today Art Museum, China Guanlan Original Printmaking Industry Base, Beijing Artists Association, Central Academy of Fine Arts (CAFA), dan Pulau Ketam Art Association, Malaysia.
Lebih daripada sebuah pameran antarabangsa, program ini menghimpunkan seniman, akademik, kurator dan institusi seni dari China dan negara-negara ASEAN melalui pameran, simposium akademik, lawatan institusi dan aktiviti pertukaran profesional yang berasaskan medium seni cetak. Dengan penyertaan lebih 180 karya daripada lebih 100 seniman dari China dan sepuluh negara ASEAN, program ini menjadi salah satu platform seni cetak serantau yang signifikan dalam memperkukuhkan dialog budaya dan hubungan antara institusi seni di Asia.
Sebagai seorang seniman yang turut terlibat dalam pameran dan simposium tersebut, saya melihat program ini bukan sekadar ruang untuk mempersembahkan karya, tetapi juga sebagai peluang untuk memahami bagaimana seni cetak terus berfungsi sebagai medium pertukaran budaya, pembangunan ilmu dan hubungan antara negara dalam dunia yang semakin saling terhubung.

Seni Cetak Sebagai Platform Dialog Serantau
Tema The Imprint of Civilizations memberi penekanan kepada hubungan antara warisan budaya dan inovasi kontemporari melalui medium seni cetak. Dalam konteks ini, seni cetak dilihat bukan sahaja sebagai satu disiplin seni visual, tetapi juga sebagai medium yang merekod pengalaman budaya, sejarah dan identiti masyarakat.
Penyertaan negara-negara ASEAN bersama China memperlihatkan kepelbagaian pendekatan yang wujud dalam amalan seni cetak di rantau ini. Walaupun setiap negara mempunyai sejarah, bahasa dan latar budaya yang berbeza, terdapat kesamaan dalam usaha menggunakan seni sebagai medium untuk memahami perubahan sosial, warisan budaya dan pengalaman kontemporari.
Apa yang menarik ialah bagaimana seni cetak terus menjadi ruang pertemuan antara tradisi dan inovasi. Banyak karya yang dipamerkan memperlihatkan gabungan teknik konvensional dengan pendekatan baharu yang dipengaruhi oleh teknologi digital, fotografi, pemasangan dan media silang. Perkembangan ini menunjukkan bahawa seni cetak masih mempunyai keupayaan untuk berkembang dan menyesuaikan diri dengan perubahan zaman tanpa kehilangan asas material dan proses yang menjadi identitinya.

Membawa Naratif Seni Cetak Malaysia ke Beijing
Salah satu komponen utama program ini ialah China–ASEAN Printmaking Symposium yang menghimpunkan seniman dan akademik dari pelbagai negara untuk berkongsi pengalaman serta perkembangan semasa seni cetak di negara masing-masing. Dalam simposium tersebut, saya telah membentangkan syarahan bertajuk Printmaking in Malaysia: Tradition, Innovation and Contemporary Practice.
Pembentangan tersebut memberi fokus kepada perkembangan seni cetak Malaysia daripada aspek sejarah, pendidikan dan amalan kontemporari. Saya memperkenalkan bagaimana kepelbagaian budaya Malaysia menjadi sebahagian daripada asas pembentukan identiti visual negara, sebelum menjelaskan kemunculan seni cetak moden melalui institusi pendidikan dan perkembangan seterusnya melalui studio bebas, kolektif seni dan inisiatif yang digerakkan oleh seniman sendiri.
Turut dibincangkan ialah perkembangan expanded printmaking yang semakin ketara dalam amalan seni cetak Malaysia hari ini. Medium ini tidak lagi terhad kepada cetakan atas kertas semata-mata, tetapi berkembang ke dalam bentuk instalasi, objek, projek komuniti dan pendekatan rentas disiplin yang lebih luas. Dalam masa yang sama, penggunaan teknologi digital dan kemunculan kecerdasan buatan (AI) turut membuka perbincangan baharu mengenai kreativiti, keaslian dan masa depan seni cetak.
Apa yang menggembirakan ialah minat yang ditunjukkan oleh peserta antarabangsa terhadap perkembangan seni cetak Malaysia. Perbincangan yang berlaku selepas sesi pembentangan memperlihatkan bahawa pengalaman Malaysia dalam membangunkan seni cetak melalui gabungan institusi pendidikan, studio bebas dan komuniti seni mempunyai nilai yang relevan dalam konteks Asia Tenggara.
Institusi, Pendidikan dan Ekosistem Seni
Selain pameran dan simposium, program ini turut memberi peluang kepada peserta untuk melawat beberapa institusi seni dan pendidikan yang memainkan peranan penting dalam pembangunan seni visual di China. Antaranya termasuk Academy of Arts & Design, Tsinghua University, Central Academy of Fine Arts (CAFA), National Art Museum of China, Guardian Art Center serta beberapa pameran dan studio seni cetak yang berkaitan dengan program tersebut.
Bagi saya, lawatan-lawatan ini memberikan perspektif yang lebih luas tentang bagaimana sesebuah ekosistem seni dibangunkan secara menyeluruh. Apa yang dapat diperhatikan ialah hubungan yang sangat erat antara institusi pendidikan, muzium, galeri, pusat penyelidikan dan komuniti seni. Institusi-institusi ini bukan sahaja berfungsi sebagai tempat pembelajaran atau ruang pameran, tetapi turut memainkan peranan penting dalam penyelidikan, dokumentasi, penerbitan dan pembangunan profesional seniman.
Salah satu perkara yang paling memberi kesan ialah penekanan yang diberikan terhadap dokumentasi dan pengarkiban. Dalam banyak keadaan, pembangunan seni bukan sahaja bergantung kepada penghasilan karya baharu, tetapi juga kepada usaha merekod, menyimpan dan menulis sejarah seni secara berterusan. Dokumentasi yang baik membolehkan perkembangan sesebuah medium difahami, dikaji dan diwariskan kepada generasi akan datang.
Pengalaman ini memberikan peringatan bahawa pembangunan seni cetak Malaysia juga memerlukan perhatian yang berterusan terhadap aspek penyelidikan, dokumentasi dan penerbitan. Selain menghasilkan karya, usaha membina rekod sejarah seni cetak negara turut penting bagi memastikan perkembangan medium ini dapat difahami dalam konteks yang lebih luas.






Sebahagian dari lawatan profesional yang mengambil tempat di Guardian International Print Fair 2026, National Art Museum of China, Academy of Arts & Design, Tsinghua University dan Central Academy of Fine Arts (CAFA)
Seni Cetak sebagai Diplomasi Budaya
Salah satu aspek yang paling menarik dalam program ini ialah bagaimana seni cetak berfungsi sebagai medium diplomasi budaya. Walaupun para peserta datang daripada latar budaya, bahasa dan pengalaman yang berbeza, seni menjadi ruang yang membolehkan dialog berlaku secara semula jadi.
Dalam konteks hubungan China dan ASEAN, program seperti ini mempunyai peranan yang jauh lebih besar daripada sekadar sebuah pameran seni. Ia mewujudkan ruang pertemuan antara institusi, seniman dan masyarakat yang membolehkan pertukaran idea, pengalaman dan perspektif berlaku secara langsung. Hubungan yang terbina melalui seni sering kali menjadi asas kepada kerjasama yang lebih luas dalam bidang pendidikan, penyelidikan dan pembangunan budaya.
Sepanjang program berlangsung, saya berpeluang berinteraksi dengan seniman, kurator dan akademik dari pelbagai negara. Perbincangan yang berlaku bukan sahaja berkisar tentang teknik dan proses seni cetak, tetapi juga mengenai cabaran yang dihadapi oleh seniman, pembangunan institusi seni dan peranan budaya dalam masyarakat kontemporari.





Comments